Baru 12 Mei tahun lalu, politikus veteran ini dinobatkan sebagai penerima anugerah Tokoh Melayu Terbilang UMNO 2016 pada majlis sambutan Hari UMNO ke-70 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Allahyarham yang berasal dari Jasin, Melaka mula aktif dalam politik sejak tahun 70-an dan pernah menyandang beberapa jawatan penting antaranya Ahli Dewan Negara (1975-1977), Spea­ker Dewan Undangan Ne­geri (DUN) Me­laka (1978-1982) dan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Nyalas (1978-1982).

Dilahirkan pada 13 Jun 1923, beliau memulakan kerjaya sebagai askar sukarela di Rejimen Polis Kem Port Dickson pada 1940 sebelum menjadi guru dari 1945 hingga 1974 de­ngan jawatan terakhir sebagai Guru Besar Sekolah Rendah Kebangsaan Alor Gajah, Melaka.

Atas sumbangannya kepada dunia pendidikan dan masyarakat, beliau dianuge­rahkan Tokoh Guru Kebangsaan/Melaka pada 1986, Anugerah Tokoh Budaya Melaka (2003) dan Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1427H/2006M Me­laka (2006).

Penglibatannya dalam politik bermula lebih awal lagi iaitu sebelum negara mencapai kemerdekaan dengan menyertai Persatuan Melayu Semenanjung Johor cawangan Me­laka, sebuah gerakan anti-Malayan Union yang diketuai oleh Datuk Onn Jaafar pada 1946, sebelum meng­anggotai UMNO selepas parti itu ditubuhkan.

Beliau pernah meme­gang beberapa jawatan dalam UMNO antaranya Bendahari cawangan Merlimau pada 1955, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jasin (1974), Naib Ketua UMNO Bahagian Jasin (1978), Bendahari Badan Perhubu­ng­an UMNO Melaka (1978-1986).

Selain politik, Abdul Aziz juga memegang beberapa jawatan antaranya Ahli Majlis Penasihat Kebudayaan Kebangsaan (1972-1996), Ahli Lembaga Amanah Ba­lai Seni Lukis Negara (1976-1988), Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (1978) dan Ahli Lembaga Pengarah Majlis Amanah Rakyat (1975-1977).

Mendirikan rumah tangga de­ngan Puan Sri Maznah Lasim, pasang­an ini dikurniakan sembilan anak.

Ketika hayatnya, Abdul Aziz antara veteran UMNO yang pa­ling lantang bersuara jika ada pihak yang ‘menyentuh’ parti keramat Melayu itu. Pernah suhu amarah veteran UMNO itu dihamburkan kepada Lim Guan Eng yang menyindir perwakilan UMNO kerana menangis semasa Perhimpunan Agung UMNO 2012.

Sebagai orang lama dan lebih dahulu ‘makan garam’, Abdul Aziz cukup masak dengan sepak terajang politik tanah air. Baginya, UMNO akan terus memerintah kerana tidak ada parti lain yang boleh menandinginya. Keyakinan itu dapat dilihat menerusi kenya­taan tegasnya kepada Utusan Malaysia pada 2012: “Eksperimen untuk menukar kerajaan yang ada sekarang hanya akan memakan diri. Tengoklah berapa tahun dah Barisan Nasional memerintah...apa dah jadi dengan Malaya...Malaysia sudah jadi negara maju. Daripada tak ada lampu (elektrik), disediakan lampu, daripada tak ada pekan, disediakan pekan baharu.”

Sebagai pejuang bangsa yang tegar, Abdul Aziz sentiasa mengikuti perkembangan UMNO. Beliau tidak pernah lupa membaca akhbar terutama Utusan Malaysia setiap hari bahkan tidak pernah ketinggalan menghadiri perhimpunan agung parti itu saban tahun walaupun dalam kudrat yang terhad ketika usia emasnya.

Baginya UMNO umpama ‘anak’ yang membesar di depan mata. Beliau juga dapat melihat beza UMNO dahulu dan sekarang, ketika perjuangan bukan berpaksikan wang ringgit sebaliknya kesetiaan ikhlas kepada ketua.

Begitupun beliau tidak menolak bahawa zaman telah merubah UMNO daripada sebuah parti yang berjuang demi membebaskan orang Melayu daripada cengkaman British kepada sebuah parti yang memimpin sebuah kerajaan.

Sayangnya Abdul Aziz terhadap bangsa Melayu dapat dilihat apabila matanya berkaca semasa bercerita tentang generasi muda Melayu sekarang yang semakin lupa tentang perjuangan dan pe­ngorbanan UMNO demi menjamin masa depan bangsa.

Dalam satu temu bual dengan Bernama pada 2015, wajah beliau juga berubah apabila diajukan soalan sekiranya tiada UMNO apa akan terjadi kepada orang Me­layu? Berikut jawapan tegas beliau:

“Tanpa UMNO berkuburlah orang Melayu. Di mana kita hendak mengadu nasib, perjuangkan hak dan masa depan anak cucu kita? Parti mana dalam negara ini yang ada tulis Melayu dalam dia, UMNO sahaja ada. Kenapa kita nak serah negara kepada parti politik yang tidak pedulikan orang Me­layu? Saya amat sedih apabila sekarang ini ada orang Melayu sendiri nak jatuhkan UMNO!”

Bagi Abdul Aziz, hidup matinya bersama UMNO.