Kasih sayang adalah perkataan yang tidak kedengaran disebut oleh mana-mana pemimpin Pas sebelum ini yang cenderung kepada gaya berpolitik ‘secara keras’ sehingga menyebabkan umat Islam di Malaysia berpecah belah dan ada ahli keluarga bergaduh sesama sendiri semata-mata kerana perbezaan fahaman politik.

Pendekatan baharu itu diper­­kenalkan Ahmad Samsuri berikutan perubahan suasana semasa, apabila beliau mendapati pengundi muda lebih cenderung kepada gaya berpolitik yang bersandarkan kepada persaudaraan.

Perkara sama turut diulas oleh Ketua Pemuda MCA, Datuk Chong Sin Woon baru-baru ini yang menegaskan pengundi lebih mementingkan nilai-nilai positif yang bersifat sejagat seperti ke­telusan dan toleransi serta tidak lagi melihat kepada perbezaan dari segi budaya dan agama.

Buku yang memuatkan 20 artikel tulisan enam ahli akademik ini turut menyentuh perkara sama dengan menyifatkan mana-mana pemimpin yang menggunakan isu perbezaan etnik, budaya dan agama bagi meraih sokongan kepada parti mereka sebagai sudah ketinggalan zaman.

Pemimpin yang asyik berpo­litik sehingga menyebabkan masyarakat berpecah belah akan ditolak oleh rakyat yang semakin bersikap matang.

Oleh itu, pemimpin yang ha­nya mementingkan diri sendiri dan tidak mengutamakan kepen­tingan masyarakat dan negara perlu dipastikan tidak lagi me­nerajui mana-mana parti politik.

Selaras dengan angin peruba­han yang bertiup kencang di negara ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), setiap pemimpin perlu kreatif untuk mencari kaedah baharu bagi menarik sokongan pengundi yang tidak menyebabkan masyarakat berpecah belah. Langkah itu penting bagi memastikan parti yang dipimpin mereka kekal re­levan dan disukai rakyat.

Untuk melakukan perubahan itu, pemimpin harus memiliki tahap kesabaran tinggi kerana setiap perkara baharu yang diperkenalkan akan mengambil masa sebelum dapat diterima ahli parti dan rakyat.

Persengketaan dalaman juga harus dielakkan kerana matlamat utama bukan untuk menjadi presiden sebaliknya bagi memastikan parti terus relevan.

Dalam pada itu, buku ini menarik untuk dibaca dalam konteks bantahan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berfahaman liberal terhadap pelantikan Dr. Maszlee Malek sebagai Menteri Pendidikan.

Bekas pensyarah perundangan Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) didakwa mereka sebagai individu tidak bertoleransi terhadap pihak-pi­hak lain yang mempunyai fahaman berlainan tetapi cuba me­nonjolkan diri beliau dengan imej ‘terbuka dan memahami’.

Maszlee yang didakwa NGO terbabit cenderung kepada fahaman Salafi Wahabi pernah me­nyatakan sokongan terhadap pendakwah terkenal, Dr. Zakir Naik yang dikehendaki di India atas dakwaan pengubahan wang dan ekstremisme.

Bagi memastikan ibu bapa berbilang kaum tidak bimbang mempunyai menteri yang didakwa NGO terbabit berpegang kepada fahaman agama yang bersifat ‘radikal’, maka saranan penulis dalam buku ini wajar diamalkan.

Menurut penulis, mana-mana individu yang dilantik menjadi pe­mimpin harus mengelak untuk membawa pandangan peribadi ke dalam organisasi yang diterajui mereka.

Apabila menerajui organisasi, pemimpin perlu mempromosikan Islam dalam konteks lebih luas dan bukan setakat taksub kepada tafsiran Islam yang menjadi pegangan peribadinya sehingga tidak bertoleransi dengan pihak lain yang berbeza mazhab atau anutan agama.

Perlulah diseimbangkan antara maqasid syariah (objektif sesuatu hukum) dan mematuhi secara terperinci amalan keagamaan yang telah menjadi pegangan individu itu sejak sekian lama.

Kegagalan untuk menyeimbangkan antara kedua-dua aspek ini boleh menyebabkan seseorang itu bersikap ekstrem dalam mengamalkan ajaran agama sehingga tidak dapat menerima umat Islam lain yang berpegang kepada tafsiran agama berbeza.

Contohnya, individu terbabit terlalu taksub dengan reka bentuk dan warna pakaian yang disifatkan mereka benar-benar Islam seperti yang dipakai Nabi Muhammad SAW dan mahu semua pihak dalam organisasi yang di­terajuinya memakai pakaian sama sehingga lupa objektif utama berpakaian dalam Islam adalah untuk menutup aurat.

Sepatutnya, yang dianjurkan oleh pemimpin terbabit adalah semua kakitangan menutup aurat dan berilah kebebasan kepada mereka untuk memilih apa sahaja jenis pakaian yang digemari.