Walaupun jika dilihat kepada bahasa tubuh Muhyiddin ketika bersalaman dengan Najib ia seolah-olah menggambarkan ‘peperangan tetap diteruskan’, namun itu adalah hak beliau. Muhyiddin boleh memilih untuk terus menyusuri arus bersama bahtera UMNO atau cuba melawan arus.

Tugas perwakilan dan ahli UMNO akar umbi dalam melaksanakan misi mendamaikan antara pemimpin-pemimpin yang bertelagah sudah selesai. Biarpun ada dalam kalangan ahli UMNO membuat tafsiran songsang kononnya mereka sudah ‘dikawal’ untuk menyokong pucuk pimpinan membuta tuli.

Kelompok yang berpandangan demikian sebenarnya sudah dilumuri atau otak mereka sudah berulat dengan sentimen untuk melihat Najib disingkirkan. Mereka tidak mahu kedua-dua pemimpin itu bersatu biarpun demi kepentingan Melayu dan UMNO.

Tetapi biarlah kelompok terus menjadikan aplikasi whatsapp, Facebook atau apa sahaja media sosial termasuk blog untuk terus dengan pendirian bagai ‘gunting lipatan’ bukan sahaja kepada UMNO tetapi juga orang Melayu.

Apa yang lebih penting sekarang UMNO perlu mula melaksanakan tugas untuk meraih sokongan rak­yat khususnya orang Melayu dalam pilihan raya umum akan datang. Yang tidak mahu bersama bahtera UMNO kononnya atas prinsip mahu menegakkan kebenaran, biarkan sahaja. UMNO sudah tidak ada masa lagi untuk melayan karenah seumpama itu.

Sebaliknya UMNO harus terus melaksanakan agenda untuk rakyat terutamanya dalam meyakinkan orang Melayu bahawa parti tersebut satu-satunya harapan mereka. Dalam memperkatakan hal ini, UMNO perlu memperkasakan agenda turun padang bertemu rakyat.

Tidak boleh lagi ada program-program yang diihat hanya ‘syok sendiri’. Seluruh kepemimpinan UMNO bermula dari pusat hingga cawangan perlu lebih aktif dalam memastikan UMNO benar-benar inklusif bukannya eksklusif.

Dalam masa sama, kepemimpinan UMNO yang berada dalam pentadbiran kerajaan perlu mengkaji semua masalah yang diketengahkan oleh rakyat khususnya melibatkan kos sara hidup. Seperti mana kata Wakil UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir, rakyat tidak peduli pun soal 1MDB mahupun derma RM2.6 bilion apa yang mereka mahu ialah kerajaan meringankan beban hidup mereka.

UMNO tidak boleh membuang masa dengan isu dalaman. Rakyat tidak mahu ambil peduli perkara itu. Harapan mereka khususnya orang Melayu terhadap UMNO terlalu tinggi. Mereka mahu melihat UMNO benar-benar menjadi pejuang dan pembela kepada orang Melayu bukannya sekadar retorik yang dilaungkan di Dewan Merdeka sahaja.

Survival politik UMNO bukannya bergantung kepada sekerat dua pemimpin UMNO yang ‘merajuk’ atau merasakan dia sahaja yang betul. Tetapi survival parti itu bergantung kepada sokongan padu orang Melayu.

UMNO adalah benteng terakhir orang Melayu. Mereka tidak boleh mengharapkan kepada PKR yang sering tunduk kepada kehendak DAP atau Pas yang sering sahaja membuat keputusan berdasarkan perhitungan politik.

Agenda-agenda untuk orang Melayu perlu diperkasakan de­ngan kuasa yang dimiliki oleh UMNO sebagai tonggak pemerintahan negara. UMNO tidak perlu apologetik dalam soal tersebut. Usahlah ditakutkan sangat kaum lain akan berkecil hati atau tersinggung. Usaha memperkukuhkan kedudukan orang Melayu dalam apa juga bidang bukan bertujuan merampas hak orang lain.

Lagipun keputusan pilihan raya umum lalu sudah menjadi bukti, buatlah apapun masih ada kelompok yang tidak tahu bersyukur dan terus menyokong pakatan pembangkang. Biarpun pelbagai tuntutan dipenuhi dan pelbagai peruntukan diberikan namun mereka tetap menolak Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun sama ada usaha itu berjaya atau tidak, ia bergantung kepada keikhlasan pemimpin dan ahli UMNO di semua peringkat dalam menjalankan amanah untuk parti.

Tidak boleh wujud pemimpin atau ahli UMNO yang lebih mengutamakan ‘politik isi perut sendiri’ sedangkan ‘periuk nasi’ orang Melayu tidak dipedulikan. Mereka perlu bersatu bagi menggerakkan agenda-agenda bagi membela nasib orang Melayu.

Pemimpin-pemimpin di pe­ringkat bahagian tidak boleh bercakaran sesama sendiri sehingga menyebabkan semasa pilihan raya UMNO tewas. Begitu juga program yang diatur oleh pusat. Tidak payahlah buat program-program penerangan yang dilihat hanya membazirkan waktu dan sekadar hendak tunjuk biro tertentu membuat kerja sahaja.

Sebaliknya banyakkan program melakukan penyelidikan dan kajian bagi mendapatkan maklum balas orang Melayu terhadap UMNO. Melalui maklum balas itu kerajaan melalui UMNO boleh melakukan penambah baikkan.

Ketika ini rakyat lebih banyak disumbatkan dengan kajian-kajian pihak tertentu yang kita tahu terang-terang ‘tidak sebulu’ de­ngan kerajaan. Ia termasuklah juga kaji selidik dari segi sokongan.

Tetapi UMNO tidak payah buang masa untuk buat kajian seumpama itu kerana pengalaman dalam pilihan raya umum lalu sudah menjadi bukti bagaimana hanya laporan ‘semua ok bos’ sahaja dihantar ke pusat, sedangkan fakta sebenarnya di peringkat akar umbi kedudukan UMNO bukan lagi ‘TKO’, malah dah hampir ‘masuk kuburpun’.

Oleh itu, lakukanlah gerakan dari sekarang untuk membuktikan UMNO adalah pejuang nasib orang Melayu dan pembela rakyat. Parti itu hanya mempunyai masa dua tahun sahaja lagi untuk berbuat demikian. Kalau berdasarkan situa­si semasa, tempoh itu sebenarnya tidak mencukupi tetapi UMNO tidak ada pilihan selain ber­usaha bersungguh-sungguh bagi mengekalkan pemerintahannya.

Percayalah UMNO berjuang atas dasar kebenaran. UMNO bertarung demi Islam dan UMNO ‘berperang’ demi rakyat. Oleh itu jika ada orang Melayu mahu memusuhi UMNO atas apa juga alasan, usah­lah gundah gulana sesungguhnya perjuang­an suci dem bangsa, agama dan negara pasti diberkati Allah.