Bayangkan berapa banyak peluang pekerjaan, latihan keusahawanan, industri hiliran dan aktiviti ekonomi lain hasil daripada pelaburan itu yang tidak akan wujud sekiranya perjanjian itu dibatalkan. Bayangkan juga implikasinya terhadap ekonomi Malaysia sekiranya syarikat-syarikat China menarik pelaburan mereka di negara ini kerana pelbagai tuduhan yang dibuat oleh pembangkang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, DATU K SERI RAHMAN DAHLAN berkata, tindakan pembangkang memanipulasi isu dan memburuk-burukkan dasardasar kerajaan serta keadaan di negara ini sudah sampai ke tahap mensabotaj ekonomi dan boleh memudaratkan negara.

Bercakap kepada wartawan Mingguan Malaysia, HA FIZAHRIL HAMID dan AMI ZUL TUNI ZAR AHMAD TERMIZI serta jurufoto, SHAHARANI SAIBI di pejabat beliau di Putrajaya Khamis lalu, Abdul Rahman yang juga Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN ), berkata, tidak salah untuk berpolitik tetapi mesti ada garis pemisah agar tidak keterlaluan sehingga boleh merugikan negara dan rakyat.

"Bagi saya, berpolitik sebegini sangat mengecewakan dan merugikan seluruh rakyat Malaysia dan seperti mensabotaj negara sendiri," ujarnya.
 

MINGGUAN: Datuk Seri pernah menyatakan bahawa tindakan pembangkang memanipulasi isu dan memburuk-burukkan 1MDB, Tabung Haji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sangat berbahaya dan boleh mensabotaj ekonomi negara. Sejauh mana impaknya?

ABDUL RAHMAN: Pembangkang membuat tuduhan terhadap 1MDB setiap hari dan kadangkala kenyataan sama diulangi walaupun telah dijawab secara terbuka atau di Parlimen. Tabung Haji difitnah secara berterusan sehingga 3,600 pendeposit menarik diri daripada buat haji dan RM500 juta wang simpanan dikeluarkan sepanjang 2016.

KWSP pula dituduh ada masa­lah kewangan walhal setiap tahun KWSP tidak pernah gagal memberi dividen. Dari tahun 2000 hingga 2008, KWSP merekodkan kadar pembayaran dividen purata sebanyak 4.99 peratus dan dari 2009 hingga 2016, purata ini me­ning­kat kepada 6.1 peratus dan di­viden pada 2016 adalah 5.7 peratus.

Hakikatnya, pembangkang lebih senang kalau ekonomi lumpuh dan kerajaan sukar mendapat pelaburan. Bila kita gagal bawa pelaburan, mereka akan tuding jari kepada kita. Dalam apa jua suasana pun mereka akan dapat kepentingan politik.

Walaupun cerita-cerita itu diluahkan di pentas politik ceramah pembangkang di sebuah kampung yang terpencil, cerita itu akan keluar ke seluruh dunia juga akhirnya. Sudah tentu syarikat yang ingin melabur di Malaysia akan berfikir dua atau tiga kali.

Agensi-agensi penarafan anta­rabangsa seperti Moody’s, Fitch Ratings, Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) akan melihat kepada keseluruhan sentimen antara lain dalam membuat penarafan ekonomi sesebuah negara dan ini sudah tentu akan memburukkan keadaan.

 

Berbaloikah berpolitik sampai ke tahap boleh merosakkan negara?

ABDUL RAHMAN: Pembangkang harus ingat apabila mereka bercakap terlalu buruk tentang Malaysia dan keadaan negara kita, yang akan mendapat kesan buruk bukan BN tetapi rakyat sebab tidak akan ada peluang pekerjaan, pelaburan serta kegiatan ekonomi. Kita boleh berpolitik 24 jam tetapi di mana garis pemisahnya? Ini yang saya katakan sabotaj ekonomi.

Tidak ada masalah untuk memeriksa secara rapi setiap projek atau pelaburan yang kerajaan lakukan tetapi biarlah berasas dan berlandaskan fakta.

Banyak tohmahan dan fitnah yang dilakukan secara sengaja dan berbaur hasutan bagi memastikan ekonomi negara lumpuh.

Ini akan mengurangkan kepercayaan pelabur untuk melabur di Malaysia. Bagi saya, berpolitik sebegini sangat mengecewakan dan merugikan seluruh rakyat Malaysia dan seperti mensabotaj negara sendiri.

Bayangkan jika pelaburan RM31 bilion daripada Saudi Aramco tidak dimeterai, maka tiada pelu­ang pekerjaan baharu, latihan dan keusahawanan, keyakinan pela­bur asing lain berkurang, pelu­ang untuk berkoloberasi dengan syarikat minyak gergasi seper­ti Saudi Aramco terjejas. Pembangkang juga perlu patriotik dan berusaha bersama melihat negara membangun dan bergerak ke hadapan.

 

Betulkah perjanjian kerjasama antara Petronas dan Saudi Aramco hampir tidak diteruskan kerana Arab Saudi beranggapan Malaysia negara berisiko tinggi disebabkan cerit-cerita buruk yang timbul?

ABDUL RAHMAN: Memang wujud kebimbangan tersebut di Arab Saudi. Dalam kes Saudi Aramco, kita bernasib baik kerana pelaburan itu antara Petronas dengan Saudi Aramco, dua syarikat milik kerajaan masing-masing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan saya pergi ke Arab Saudi beberapa kali untuk memastikan rundingan itu berjalan dengan baik. Saya jelaskan keadaan semasa ekonomi dan politik negara dan akhirnya mereka bersetuju untuk melabur di negara kita.

Laporan saya turut disokong oleh pelbagai pihak antarabangsa seperti Bank Dunia, IMF, Moody’s, Fitch Ratings dan S&P. Dari situ saya dapat menjelaskan kesahihan laporan ekonomi negara berbanding fitnah dan tuduhan oleh pihak-pihak tertentu.

Namun begitu, itu adalah sebahagian daripada pelaburan kerajaan-dengan-kerajaan (GTG). Saya harap pelaburan swasta lain yang tidak melibatkan kerajaan tidak terjejas dari penilaian "risiko negara" ini, kerana keadaan sebenar tidaklah seperti yang diuar-uarkan oleh pembangkang.

Bayangkan kalau ada pelabur luar negara yang tidak mendapat penerangan daripada kerajaan, secara diam-diam membatalkan hasrat mereka untuk melabur kerana mendengar tohmahan pembangkang. Yang rugi adalah rakyat jika kita tidak dapat pelaburan yang dapat meningkatkan ekonomi negara.

Kita perlu kekal fokus. Segala gerak kerja dilakukan nampak hasilnya dan alhamdulillah banyak pelaburan asing yang diterima. China dan Arab Saudi adalah testi­moni dan bukti kestabilan ekonomi nega­ra walaupun berhadapan dengan ekonomi global yang mencabar.

 

Datuk Seri pernah menyebut bahawa syarikat 1MDB menghadapi masalah kerana disabotaj oleh pembangkang. Boleh jelaskan?

ABDUL RAHMAN: Sebelum ini 1MDB merancang menyenaraikan aset kuasanya di bawah Edra Global Energy Berhad (Edra) di bursa saham dan sepatutnya meraih AS$3 bilion (RM13.3 bilion) daripada penyenaraian tersebut.

Disebabkan serangan dan asakan bertalu-talu oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dan pembangkang, ia mewujudkan sentimen negatif terhadap 1MDB dan ini menyebabkan pelabur-pelabur yang berpotensi melanggan tawaran saham Edra lebih berhati-hati dan kurang berminat untuk melanggan IPO Edra.

Sekiranya 1MDB berjaya menyenaraikan Edra beberapa tahun yang lalu, segala masalah seperti aliran tunai tidak seimbang dan penyelesaian hutang jangka pendek tidak akan timbul.

Sentimen negatif yang ditimbulkan itu juga menyebabkan IPO tidak berjaya. Ini adalah ke­san-kesan daripada fitnah dan toh­mahan pembangkang yang menye­babkan 1MDB terjerumus ke dalam masalah aliran tunai sebelum kerajaan mengumumkan pelan rasionalisasi 1MDB pada tahun lalu.

Saya kata kepada mereka apa yang sebenarnya mereka hendak? Setiap hari mereka desak kerajaan supaya selesaikan masalah 1MDB tetapi setiap kali kerajaan memberikan cadangan, mereka juga yang awal-awal lagi mengkritik setiap cadangan penyelesaian.

Memang dari awal nampak sangat mereka tidak berminat sangat hendak menyelesaikan masalah 1MDB tetapi menggunakan peluang itu untuk menghentam kerajaan dan kepimpinan Najib hanya untuk politik.

 

Kenapakah Dr. Mahathir begitu berminat dengan isu 1MDB?

ABDUL RAHMAN: Bila Mahathir membuat pengumuman bahawa beliau tidak lagi menyokong Perdana Menteri pada Ogos 2014, beliau mencari banyak isu untuk menjatuhkan Najib. Pada awalnya kritikan beliau lebih banyak kepada dasar seperti isu jambatan bengkok dan Proton. Tak ada pun nama 1MDB disebut walaupun sekali pada masa itu.

Bila isu ini tidak mendapat sambutan daripada rakyat, beliau berpindah kepada isu lain yang lebih sensasi dan berbentuk peribadi seperti pembunuhan Altantuya Shaariibuu, perkahwinan anak Najib dan fitnah cincin Datin Seri Rosmah Mansor.

Bila lihat benda ini tidak dapat sokongan daripada rakyat, kita tahu beliau bersekongkol dengan beberapa pihak dalam UMNO untuk menjatuhkan Najib dari dalam UMNO. Itulah bermulanya Tan Sri Muhyiddin Yassin mengkritik kerajaan di bawah kepimpinan Najib pada perasmian sayap-sayap dalam Perhimpunan Agung UMNO 2014.

Bila Najib masih kuat, Mahathir perlu mencari satu isu yang agak sensasi tapi sukar difahami oleh rakyat. Sebab itu saya fikir bila isu 1MDB timbul, ia menjadi satu isu yang diguna pakai oleh Mahathir kerana isu ini kompleks dan tidak ramai yang akan faham.

Wang yang digembar-gembur pula agak sensasi iaitu RM42 bilion hilang. Bayangkan RM42 bilion hilang. Ia adalah satu tuduhan yang sangat berat oleh seorang bekas perdana menteri kepada perdana menteri yang berkhidmat.

Tetapi jumlah wang yang digembar-gembur itu makin lama makin kurang. Dari RM42 bilion turun ke RM37 bilion, turun ke RM16 bilion dan akhirnya turun ke RM2.6 bilion.

Apakah pembangkang jujur dalam mengkritik dasar-dasar kerajaan?

ABDUL RAHMAN: Pembangkang tidak pernah jujur dalam mengkritik dasar-dasar kerajaan. Prinsip mereka adalah mengkritik semua dasar kerajaan walaupun dasar itu bagus untuk negara dan rakyat. Mereka mengamalkan prinsip membangkang semata-mata kerana membangkang.

Hipokritnya pembangkang adalah apabila Selangor dan Pulau Pinang di bawah pentadbiran mereka juga menarik pelaburan dari China. Invest Selangor, syarikat pelaburan milik penuh kerajaan negeri Selangor contohnya, mempromosikan industri halal untuk menarik pelabur dari China. Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng juga mengetuai delegasi ke China pada tahun lalu untuk menarik pelaburan dari sana.

Syarikat dari China melabur lebih RM600 juta untuk membuka kilang panel solar di Pulau Pinang. Adakah mereka juga menjual kedaulatan negara kepada China?

Kenapa apabila kerajaan Persekutuan menarik pelaburan dari China dituduh sebagai menjual negara dan dalam masa yang sama mereka cuba menarik pelaburan dari China?

 

Kalau dengar cerita pembangkang, semuanya tidak elok seolah-olah Malaysia adalah sebuah negara yang gagal.

ABDUL RAHMAN: Dari dahulu lagi, pembangkang sudah pun mula melontarkan fitnah dan mengatakan Malaysia ini adalah failed state, negara bom jangka dan negara bankrap. Semuanya negatif.

Hasil lawatan ke China, kita mendapat kerjasama bernilai RM144 bilion tetapi dituduh seperti menjual negara kepada China. Hasil lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud pula, kita menerima suntikan pelaburan lebih RM41 bilion tetapi pembangkang menuduh kita mahu menutup cerita tentang dana RM2.6 bilion.

Logiknya, kalau Malaysia adalah negara gagal, kenapa nega­ra yang berpengaruh di dunia seper­ti China dan Arab Saudi sanggup melabur berbilion ringgit dan mengadakan kerjasama perdagangan dengan Malaysia.

Selepas ini, Perdana Menteri akan ke India dan saya jamin dengan kepimpinan Najib, lebih banyak pelaburan akan masuk ke dalam negara.

Apakah ekonomi negara seteruk yang dicanang oleh mereka?

ABDUL RAHMAN: Kalau kita lihat ekonomi negara berada pada tahap baik ketika ekonomi global yang tidak menentu. Kita mencatatkan Keluaran Dalam Nega­ra Kasar (KDNK) 4.2 peratus pada 2016. Amerika Syarikat bera­da pada tahap empat peratus mana­kala Thailand hanya mencatatkan pertumbuhan 3.5 peratus.

Kadar pengangguran kekal pada tahap 3.5 peratus dan dijangka menurun dengan sokongan sektor swasta dan komuniti perniagaan. Pelaburan langsung asing (FDI) pula meningkat dengan tahun ke tahun (y-o-y) 11 peratus, menunjukkan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia.

Kaji selidik oleh BAV Consulting and Wharton School of the University of Pennsylvania, menyatakan Malaysia adalah destinasi pelaburan terbaik pada 2017. Ini sekali gus menyangkal dakwaan sesetengah pihak kononnya ekonomi Malaysia teruk.

 

Apakah tindakan yang boleh diambil ke atas mereka yang memburuk-burukkan negara sehingga memudaratkan ekonomi?

ABDUL RAHMAN: Terdapat banyak cara. Jika fitnah itu memudaratkan, kita perlu berani dengan mengambil tindakan undang-undang supaya perkara sama tidak berulang kembali.

Sabotaj ekonomi adalah cukup berbahaya dan pada saya ia adalah isu keselamatan ekonomi negara. Sebab itu saya telah bercakap dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan mengesyorkan kepada mereka supaya memanggil dan memberikan amaran kepada individu yang melakukan fitnah atau dakwaan yang tidak berasas sehingga menjejaskan ekonomi negara.

Keselamatan negara bukan saja tentang keganasan. Fitnah ekonomi adalah perkara serius kerana kesannya amat berat dan boleh menyebabkan keselamatan ekonomi negara kita tergugat.