Penulis tidak pasti indikator apa yang digunakan oleh pemimpin terbabit yang terus-menerus menganggap orang Melayu malas sedangkan malas atau rajin itu adalah sikap individu tanpa mengira kaum dan bangsa manakala rezeki pula sebagai orang Islam adalah yakin dan percaya, datang daripada Allah SWT.

Benarlah kata warganet, bukan semua orang Melayu bernasib baik menjadi anak atau cucu seorang Perdana Menteri yang boleh hidup mewah sejak daripada buaian. Andai mereka juga ditakdirkan lahir dalam kalangan rakyat biasa seperti kami, apakah mereka mampu tinggal di mahligai, bercuti di atas kapal mewah milik sendiri seperti hari ini?

Andai ibu bapa kami seorang pemalas, apakah mungkin mereka boleh menyara hidup kami sekeluarga sembilan beradik sehingga ke menara gading dan mendapat pekerjaan yang baik serta mampu pula menyara hidup ibu bapa kami?

Jika benar orang Melayu itu pemalas, masakan ada anak-anak Melayu yang sudah bergelar jutawan dan usahawan yang berjaya dalam usia yang masih muda. Jika betul orang Melayu pemalas, tidak mungkin sebahagian besar syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) kini diketuai oleh anak-anak Melayu lulusan luar negara. Jika Melayu pemalas, masakan universiti-universiti awam dipenuhi oleh anak-anak muda Melayu?

Gelaran-gelaran negatif terhadap orang Melayu seperti itu nyata telah mengguris hati majoriti kaum tersebut terutama golongan marhaen seperti kami yang siang malam, pagi petang membanting tulang untuk menyara hidup keluarga ketika harga getah dan kelapa sawit merudum jatuh sedangkan harga barang semakin melambung tinggi, biarpun kerajaan sudah berganti.

Sudahlah sekian lama anak-anak muda Melayu sukar mendapat jawatan yang baik dalam syarikat-syarikat bukan Melayu lantaran amalan rasisme sesetengah majikan, ditambah pula perakuan oleh pemimpin negara bahawa orang Melayu malas seperti ini seolah-olah memberi bola tanggung kepada majikan untuk tidak mengambil pekerja Melayu. Sebabnya? Melayu malas!

Penulis faham, kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin terbabit berniat baik untuk menyedarkan orang Melayu supaya lebih rajin bekerja agar dapat bersaing dengan bangsa lain tetapi jika skrip yang sama diulang-ulang berkali-kali seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena di mata pemimpin berkenaan.

Pakar-pakar motivasi sering kali menyarankan agar kita sebagai ibu bapa dapat menyalurkan aura positif kepada anak-anak dengan puji-pujian, kata-kata yang elok dan tidak menyakitkan hati anak. Ini kerana melalui kata-kata positiflah akan terbit aura positif dalam kalangan anak-anak kita.

Begitulah juga kami kalangan rakyat, lebih-lebih lagi bangsa sendiri, mengharapkan kata-kata yang positif dapat lahir dari mulut seorang pemimpin ulung negara, bukannya hanya kata-kata nista dan negatif yang akhirnya membuatkan bangsa sendiri yang sudah mula bangkit akhirnya hilang semangat dan terus kembali rebah.

Kini kita telah memasuki 2019, marilah kita sama-sama bergerak ke depan, bukan mengimbau kisah-kisah silam kerana penulis percaya Melayu sudah bukan lama tidak dalam dilema, apatah lagi di bawah kerajaan baharu. Ayuhlah pemimpinku!