Dilaporkan seorang daripada yang maut adalah pemilik premis, manakala lima lagi merupakan pekerja sambilan dengan empat daripadanya pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Menglembu.

Banyak pertanyaan yang masih memerlukan jawapan termasuk bagaimana premis yang menyimpan bahan letupan seperti mercun dan bunga api boleh beroperasi di sebelah rumah kedai dua tingkat tempat mangsa bekerja.

Pada masa sama, ramai pihak yang ingin tahu adakah para pelajar dibenarkan bekerja dan jika boleh, adakah mereka mendapat perlindungan sewajarnya?

Pengambilan kanak-kanak dan belia terletak di bawah Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966. Ia telah mentakrifkan kanak-kanak sebagai ‘orang yang belum mencapai umur 15 tahun’ dan orang muda sebagai ‘orang yang belum mencapai umur 18 tahun’.

Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) (Pindaan) 2018 yang baru diluluskan di Parlimen menetapkan bahawa menjadi kesalahan menggaji seorang kanak-kanak berusia bawah 15 tahun.

Mereka yang melakukan kesalahan tersebut boleh dipenjara maksimum dua tahun atau maksimum lima tahun bagi kesalahan berulang.

Kerja bawah tanah

Selain hukuman penjara, denda juga dinaikkan daripada tidak melebihi RM5,000 kepada tidak melebihi RM50,000 dan jika kesalahan itu diulang, boleh didenda tidak melebihi RM100,000.

Pindaan akta itu menetapkan kanak-kanak dan orang muda tidak dibenarkan melakukan kerja berbahaya seperti mengendali jentera selain dilindungi daripada terdedah kepada bahan kimia berbahaya, berdebu, suhu melampau dan bunyi bising.

Kerja-kerja berisiko tersebut telah diklasifikasikan di bawah Akta Kilang dan Jentera 1967, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Akta Bekalan Elektrik 1990. Remaja di bawah 18 tahun juga tidak dibenarkan terlibat dalam apa-apa pekerjaan yang memerlukan mereka untuk bekerja bawah tanah.

Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran dilaporkan berkata, akta itu dipinda bagi melindungi kanak-kanak dan orang muda daripada dieksploitasi dan didiskriminasi pihak tertentu.

Majikan juga tidak dibenarkan menggaji kanak-kanak dan orang muda untuk menjual alkohol, pekerjaan berkaitan perjudian dan loteri, perkhidmatan urut dan refleksologi, pelacuran atau mengambil mereka sebagai pengiring sosial.

Undang-undang sedia ada sebenarnya memberikan perlindungan secukupnya kepada semua kumpulan pekerja. Apa yang menjadi masalah adalah penguatkuasaan yang masih lemah serta tahap kesedaran yang rendah dalam kalangan majikan dan orang awam.

Kelangsungan hidup

Kita harus menerima hakikat bahawa ada dalam kalangan remaja dan kanak-kanak terpaksa bekerja demi membantu keluarga mereka mencari rezeki demi meneruskan kelangsungan hidup.

Namun ia tidak bermakna mereka boleh dieksploitasi oleh mana-mana pihak.

Di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA0 1994, menjadi tanggungjawab majikan untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja dan mereka yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan denda atau didakwa di mahkamah.

Majikan yang gagal menyediakan persekitaran kerja yang selamat dan sihat untuk pekerja mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 15 OSHA 1994, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.

Begitu juga undang-undang berkaitan pengendalian bahan letupan dan bahan berbahaya yang lain. Sememangnya telah ada undang-undang dan peraturan berkaitan.

Isunya adalah aspek penguatkuasaan yang lemah oleh mereka yang diberi kuasa oleh undang-undang termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).

Oleh itu, semua pihak terbabit perlu meningkatkan aspek penguatkuasaan dan memastikan semua premis perniagaan dan kilang, tidak kira apa saiz mereka, perlu berdaftar dan mematuhi undang-undang.

Tidak ada pengecualian seharusnya diberikan kepada mana-mana syarikat atau individu yang bergelar majikan dan pemeriksaan secara kerap perlu dilakukan.

Mata dan telinga

Orang ramai pula perlu bertindak sebagai mata dan telinga pihak berkuasa manakala ibu bapa harus lebih bertanggungjawab dengan mengambil tahu di mana anak mereka bekerja dan apakah risiko yang dihadapi di tempat kerja.

Mungkin ramai yang telah lupa atau tidak langsung mengetahui bahawa pada tahun ini, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) telah memilih tema Generasi Selamat dan Sihat bagi sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja pada 28 April lalu.

Ia sejajar dengan matlamat ILO untuk menjamin persekitaran kerja yang selamat untuk semua pekerja menjelang 2030 dan menamatkan semua bentuk buruh kanak-kanak pada 2025.

Menurut ILO, kira-kira 541 juta pekerja muda berumur antara 15 dan 24 tahun menyumbang lebih daripada 15 peratus tenaga buruh dunia. Malangnya mereka mencatatkan sehingga 40 peratus lebih tinggi kecederaan pekerjaan yang tidak menyebabkan kematian berbanding pekerja dewasa. Pekerja muda ini termasuk 37 juta kanak-kanak yang bekerja dalam keadaan berbahaya.

Kita juga perlu mengumpul maklumat mengenai jumlah sebenar dan risiko yang dihadapi pekerja muda di Malaysia dan mencari jalan menangani cabaran ini dengan meningkatkan aspek keselamatan dan kesihatan untuk mereka.

Faktor lain yang boleh menyebabkan pekerja muda berhadapan risiko lebih tinggi termasuk kemahiran dan latihan yang tidak mencukupi; kekurangan kesedaran mengenai hak mereka dan tanggungjawab majikan; tidak mempunyai keyakinan untuk bersuara dan majikan pula tidak mengiktiraf perlindungan tambahan yang diperlukan oleh pekerja muda.

Budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) yang baik juga perlu disemai pada usia muda dan ini adalah salah satu sebab utama mengapa Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) telah membawa budaya KKP ke sekolah kerana percaya ia dapat membantu para pelajar memahami konsep tersebut dan mengamalkannya.

Di bawah program KKP di Sekolah contohnya, NIOSH berhasrat untuk mendidik dan mewujudkan kesedaran KKP dalam kalangan pelajar yang boleh bertindak sebagai mata dan telinga pengurusan sekolah yang mengamalkan konsep pengenalan bahaya, penilaian risiko dan kawalan risiko (HIRARC).

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).