Contoh jika kita seorang ibu bapa yang garang, kemungkinan besar disebabkan kita mendapat didikan yang kasar dan keras daripada ibu bapa kita dahulu yang garang. Maka berlakulah kitaran ganas dalam sistem pendidikan keluarga kita, dan kita mesti hentikan segera kerana tabiat itu bukan contoh yang baik untuk diwarisi.  

Fitrahnya setiap insan ada kehebatan/tenaga yang tersendiri. Keperibadian setiap individu itu bergantung pada akidah, sistem kepercayaan dan sistem nilai yang ibu bapa berikan kepada anak-anak. Jom audit diri, adakah nilai yang kita bina pada imej diri anak-anak itu berlandaskan kepentingan pembangunan fizikal semata-mata, atau turut disertakan dengan pembangunan jiwa/kerohanian? Adakah kita membina imej diri anak-anak untuk budaya hidup “memberi” yakni menjadi seorang yang kuat berusaha untuk mampu membantu orang lain, atau “mendapat” yakni berserah kepada untung nasib dan sentiasa mengharap pertolongan dan simpati daripada orang lain? Seterusnya adakah anak kita menjadi “kuda pacuan” yakni tolong buat sesuatu yang membuatkan ibu bapa bangga, atau tolong buat sesuatu yang memberatkan timbangan kita sebagai ibu bapa di padang mahsyar dengan pahala? 

Kedua, ibu bapa perlu memberikan kasih sayang tanpa syarat, yakni tidak mengharapkan apa-apa balasan daripada anak-anak apabila mereka dewasa nanti, serta tidak memberikan pelbagai alasan atas kegagalan kita mendidik anak-anak menjadi orang yang berguna kepada agama, keluarga, bangsa dan negara. Anak-anak yang berumur 14 – 21 tahun akan lebih mempercayai dan terpengaruh dengan kawan-kawan dan orang luar yang rapat dengan mereka. Maka mereka perlu didisiplinkan secara diplomasi dan psikologi. Persoalannya bolehkah mereka mendengar nasihat kita kalau mereka tidak sayang akan kita? Sebab seseorang itu hanya akan mendengar nasihat orang yang disayanginya. 

Ketiga, ibu bapa perlu menggunakan setiap saat umur kita untuk menghargai orang yang kita sayang, hinggakan setiap kali anak-anak berinteraksi dengan kita, mereka berasakan mereka dihargai, difahami dan disayangi. Kita perlu didik dan dekati anak-anak pada umur remaja yang sudah mula terdedah dengan kehidupan sosial, sebagai kawan. Boleh tidak kita jadikan anak itu kawan kita, kalau kita tidak berjaya disiplinkan mereka? Ingatlah, anak remaja menjadi “nakal” sebab kurang kasih sayang, tidak dapat didisiplinkan dan ibu bapa gagal dekati mereka seperti kawan. Lebih bermasalah lagi apabila ketika bersama-sama kawan-kawannya, mereka mendapat penghargaan, disebut kebaikan kehebatan mereka, diambil tahu dan diberikan perhatian tentang diri mereka.  

Ibu bapa yang sering memuji anak-anak, menyebutkan dan membelai serta memeluk anak-anak dengan rasa kasih sayang,   juga memberikan sangkaan baik kepada anak-anak, sebenarnya telah membina keperibadian positif kepada mereka. Setiap pagi sebelum berpisah dengan anak-anak, tinggalkan kepada mereka pesanan-pesanan yang positif, yang kita hendak anak kita lakukan. Kata-kata positif yang menjadi perangsang kepada anak-anak seperti berikut, “Jadi anak yang baik hari ini – kesihatan baik, tenaga baik dan kuat, perangai yang baik, jumpa kawan-kawan cakap yang baik dan berbuat baik, jumpa guru tolong guru jadi orang yang menghormati dan mengenang jasa, suka belajar untuk bahagia dan membahagiakan guru dan ibu bapa”. 

Tinggalkan pesanan    

Pesanan kita itu jangan sampai anak berasa sebagai satu “bebelan”, tetapi biarkan anak berasa ia sebagai satu “harapan” ibu ayah kepada anak. Tip yang penting dalam mendidik anak-anak adalah, “pesan” kepada anak apa yang mereka patut buat, bukan “larang” anak apa yang mereka tidak patut buat. Misalnya, jangan main-main di sekolah”, “jangan degil”, “jangan buat perkara yang tidak senonoh” dan seumpamanya.

Seterusnya tinggalkan pesanan kepada anak-anak, balik nanti cerita kepada emak dan ayah apa yang telah berlaku di sekolah. 

Kajian menunjukkan ini adalah cara psikologi hendak menyuruh anak kita rajin belajar apabila mereka berada di sekolah. Sebab anak-anak yang dititipkan dengan pesanan dan harapan yang baik-baik dan positif akan set, “goal" dalam “minda sedar” (roh dan jiwa) mereka. Anak-anak tidak bertindak dengan “minda sedar” (akalnya) sahaja, tetapi mereka melakukan kesemua pesanan positif ibu bapanya, dengan menggunakan minda dan emosi. Akal yang bergabung dengan roh dan jiwa (minda dan emosi) akan mendorong fikiran kita untuk bertindak merealisasikan sesuatu yang menjadi azam atau “goal” . 

Apabila anak-anak balik dari sekolah, atau ibu bapa yang bekerja apabila balik dari kerja, sebaik-baik bertemu anak-anak, tanya mereka apa yang dia belajar hari dan berlaku di sekolah dan dengar dengan penuh minat, seperti yang kita janjikan. Sebab anak akan suka jika mereka “dirasakan penting”. Apabila ibu bapa suka serta ada masa untuk mendengar apa yang mahu dinyatakan dan bersedia mendengar maklumat baharu yang mahu dikongsikan mereka kepada orang yang penting dalam hidup mereka (ayah dan ibu), anak-anak berasa diri mereka penting dan  diperlukan. Oleh sebab itu mereka akan sentiasa tanamkan azam atau “gold” mereka menjadi insan yang baik dan berguna.

Namun begitu, persoalannya bagaimana pula sistem pendidikan di sekolah? Adakah sistem pendidikan sekolah mengajar anak-anak untuk menjadi pandai atau menjadi baik? Konsep pemikiran “Reset Minda” yang berteraskan “minda sedar” dan “minda bawah sedar” mengklasifikasikan perbezaan kesan antara kedua-dua bentuk pendidikan ini. Iaitu, untuk menjadi pandai perlukan kekuatan akal (pandai di akal), tetapi untuk menjadi baik perlukan kekuatan hati (baik di hati).  Hati adalah “raja” yang boleh mengusai emosi, minda dan fizikal. Sesungguhnya orang yang baik boleh menjadi pandai, tetapi orang yang pandai belum tentu menjadi baik. Pandai itu akal keduniaan tanpa keimanan. Oleh itu sebagai ibu bapa jom audit diri adakah kita telah memberikan didikan yang betul kepada anak-anak? Iaitu mendidik anak-anak baik atau pandai? 

Pendidikan secara tidak langsung ini biasanya berada dalam tangan ibu bapa. Anak-anak yang kurang diberi perhatian, biasanya mereka  akan membuat sesuatu perkara yang boleh membuatkan ibu bapa mereka, memberikan perhatian kepada mereka. Ibu bapa mesti mengajar anak-anak mereka untuk menyayangi diri mereka sendiri. Contohnya ajar anak memandang positif dirinya sendiri, “Saya baik, saya bijak, saya hamba
Allah yang baik” dan sebagainya yang boleh membuahkan hasil tindakan yang positif. 

Selain itu juga, ibu bapa mesti mengajar anak-anak mereka tentang ketuhanan, akhlak dan nilai yang baik, sifat syukur dengan apa-apa yang dimiliki dan sebagainya, yang  sekali gus membina jiwa dalaman anak-anak mereka. Didikan dalaman yang memfokuskan kepada keperibadian.