Saya tahu anda ikhlas sebab itu anda bertanya terus secara langsung kepada saya. Yang tidak ikhlas itu tidak utus apa-apa. Dia tulis saja dalam Facebook mengenai kegeramannya terhadap akhbar ini dan harapan-harapannya.

Tidak mengapa. Cara anda memberi reaksi adalah bergantung kepada sejauh mana pengetahuan anda mengenai cara sesebuah organisasi media berfungsi. Jangan marah bagi yang tidak arif kerana Merrepak akan menyenaraikannya di bawah.

Cuma sebelum itu, kena bagi Disclaimer bahawa artikel ini tidak menerima mandat atau perkenan daripada sesiapa, bermakna ia bukan pendirian rasmi akhbar ini, melainkan nukilan karya Merrepak mingguan saya untuk tatapan anda.

Berikut adalah isu-isu yang menjadi persoalan:

 

1 - Utusan akan ditutup?

Utusan adalah sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia. Daripada segi komposisi pegangan saham, UMNO memiliki 51 peratus, dengan 20 peratus dipegang oleh Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary dan sembilan peratus oleh Tun Daim Zainuddin. Bakinya ialah orang ramai.

Secara teknikalnya, Utusan masih dikuasai UMNO. Persoalan 'tutup buka’, adalah di tangan UMNO pada saat dan tika ini.

 

2 - Apakah Utusan akan diambil alih?

Sebenarnya, Tun Mahathir Mohamad sudah sedia ada 'menguasai’ 29 peratus ekuiti Utusan menerusi Tun Daim dan Syed Mokhtar.

Jadi sebagai perbincangan ilmiah, mengikut peraturan korporat sesuatu pihak boleh membuat tawaran kepada UMNO untuk mengambil alih keseluruhan atau sebahagian kawalan saham di dalam Utusan.

UMNO akan meneliti tawaran dengan mengambil kira aset syarikat di seluruh negara, termasuk kakitangan yang mungkin dikurangkan, apakah pampasan disediakan dan sebagainya.

 

3 - Senario di mana UMNO enggan menjual

Dalam situasi serba mencengkam sekarang, Naib Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO, ada perkara lebih mendesak berbanding memikirkan aset-aset strategik parti seperti Utusan.

Beliau kini harus mengembalikan semangat ahli-ahli parti daripada kekalahan teruk dan melaksanakan proses pemilihan parti yang nyata perlu disusun semula serta diberi penjenamaan baharu. Apatah lagi ada pula isu memeningkan kepala di Perlis.

Mungkin, hanya selepas proses pemilihan dalaman UMNO selesai maka baharulah peneraju parti akan mula melihat kedudukan aset-asetnya.

Tetapi di sebalik proses pemilihan di atas jika ada mana-mana pihak berhasrat mengambil alih Utusan, tiada siapa dapat menghalang. Jika dana mencukupi, agak sulit untuk UMNO menghalangnya. Melainkan jika UMNO bersedia memberi komitmen untuk terus memastikan kesinambungan hidup akhbar keramat ini dan membenarkan Utusan berfungsi bebas sebagai akhbar rakyat, bukan akhbar UMNO semata-mata.

 

4 - Utusan jadi akhbar pembangkang?

Apakah definisi akhbar pembangkang itu tepat hanya kerana pemilikannya oleh parti pembangkang? Mungkin.

Apa yang ketara pasca PRU-14, tiada siapa di Malaysia ini boleh mengembalikan mana-mana media kepada zaman silam. Tiada lagi 'kewartawanan setiausaha' dan diari pemimpin. Istilah 'kewartawanan setiausaha’ ialah menulis apa sahaja yang orang itu perkatakan. Diari pula ialah menceritakan aktiviti harian pemimpin.

Iltizam serupa direbut oleh akhbar ini. Pada 22 Mei lalu, dalam kenyataan rasmi kepada Bursa Malaysia, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad menggariskan pendiriannya untuk 'terus beroperasi seperti biasa sebagai syarikat media arus perdana dengan beberapa pembaharuan akan dilaksanakan terutama ke atas kandungan akhbar dan operasi perniagaan, dalam menghadapi cabaran perubahan landskap politik negara selepas PRU-14.

"Pihak pengurusan komited dalam melaporkan berita secara lebih seimbang, beretika dan bertanggungjawab tetapi akan terus kritis demi kepentingan masyarakat,’’ kata syarikat ini.

Rumusannya ialah Utusan tidak akan jadi akhbar pembangkang kepada kerajaan PH. Sebaliknya, menjadi akhbar rakyat, sebagaimana asal kelahirannya di Singapura pada 1938.

 

5 - Apakah akan ada 'pembersihan’ 
di Utusan?

Sejujurnya, wartawan akhbar ini tidak aktif dalam aspek kepartian. Ada yang berseloroh bahawa sesetengah editor lebih aktif dalam aktiviti kelab bola sepak Liverpool berbanding politik. Dan ia tidak jauh daripada kebenaran. Satu fakta yang mesti anda tahu, ramai juga yang memihak kepada PKR dan Pas dalam kalangan warga Utusan. Rakan-rakan ini semua bekerja di sini untuk kesinambungan hidup.

Tetapi selepas PRU-14, ada yang mahu darah Utusan. Ada yang mahu dipecat, dibuang. Seminggu selepas PRU-14, empat ahli lembaga pengarah syarikat telah meletakkan jawatan. Hakikatnya, suasana tidak menentu mengenai masa hadapan Utusan pada masa ini, telah mengeratkan silaturahim sesama warga Utusan. Semua tahu perubahan akan berlaku, dari segi cara bekerja dan fokus. Semua sudah bersedia.

 

6 - Banyak betul U-turn?

Ada bijak pandai dalam media mendakwa mereka adalah media tulen kerana sebelum dan selepas PRU-14, mereka kekal objektif melaporkan berita PH.

Ini tidak sama dengan akhbar perdana yang sebelum PRU-14 melebihkan pemimpin BN dan menyiat-nyiat berita PH.

Pernyataan individu besar dalam organisasi media itu sebenarnya tidak salah. Betullah, memang berlaku U-turn.

Tetapi U-turn bagaimana? Akhbar Utusan misalnya, mengguna pakai prinsip menyokong kerajaan yang memerintah. Jadi, perubahan itu adalah sejajar dengan prinsipnya.

Cuma yang hendak ditanya balik kepada individu itu, kenapa pula dia hendak menyindir akhbar perdana (yang dijadikan sasarannya ialah akhbar berbahasa Inggeris tertentu)? Apakah semata-mata hendak menunjukkan media yang dipimpinnya 'jauh lebih sempurna’? Bahawa mereka lebih tulen dan jujur, kononnya? Atau apakah dia sebenarnya risau akhbar perdana yang sudah 'U-turn’ ini akan memberi saingan sengit terhadap portal beritanya? Apatah lagi sekarang, orang ramai semakin skeptikal dengan berita disiar secara online dari segi kesahihan sumbernya.


Akhir sekali, saya mewakili sahabat di Mingguan Malaysia merakamkan penghargaan kepada pembaca Merrepak khususnya, yang telah sama-sama menaikkan jualan akhbar mingguan yang telah diterbitkan sejak 30 Ogos 1964, kekal di tempat teratas edaran paling tinggi iaitu 245,911 naskhah, mengatasi Kosmo Ahad (166,774); Metro Ahad (120,979) dan BH Ahad (62,927), mengikut laporan terkini firma ABC bagi keseluruhan tahun 2017. Terima kasih anda semua!