Tindakan tersebut bukanlah sesuatu yang mengejutkan, kerana negara kuasa besar itu telah beberapa kali sebelum ini mengancam untuk berbuat demikian susulan beberapa peranan dan tindakan UNHRC yang didakwanya sebagai berat sebelah dan cenderung memihak secara politik serta sarat dengan kelemahan melaksanakan tanggungjawabnya melindungi hak asasi manusia negara-negara anggota.

UNHRC yang ditubuhkan melalui resolusi 60/251 di Perhimpunan Agung PBB pada 15 Mac 2006 sebagai sebahagian usaha reformasi PBB pada sekitar 2004-2006 oleh Setiausaha Agung PBB ketika itu, Kofi Annan, telah acap kali dikritik pelbagai negara ekoran kegagalan institusi tersebut menangani situasi pelanggaran hak asasi manusia di beberapa negara.

Namun aspek yang paling menarik berhubung tindakan terbaharu AS ini adalah mengenai asas tuduhan yang menjadi dalih tindakannya keluar dari UNHRC – iaitu UNHRC sentiasa berlaku tidak adil, berat sebelah serta cenderung menekan Israel yang sering melakukan penindasan dan pelanggaran hak asasi manusia terhadap masyarakat awam Palestin tidak berdosa, khususnya kanak-kanak dan wanita.

Alasan AS ini, walaupun bukan sesuatu yang baharu, ternyata memperkukuh pandangan masyarakat dunia terhadap peranan dan kedudukan AS yang menurut apa sahaja kehendak negara haram zionis tersebut.

Kenyataan Nikki Haley, duta AS ke PBB ketika mengumumkan pengunduran negaranya dari UNHRC menyerlahkan sikap sebenar mereka di dalam isu ini. Beliau menyalahkan aktivis hak asasi manusia kerana menyumbang terhadap tindakan penarikan balik dan memainkan peranan dekonstruktif dalam situasi itu.

Haley menyatakan, “Anda meletakkan diri anda di sebelah Rusia dan China, dan bertentangan dengan AS, mengenai isu hak asasi manusia utama.

“Anda harus tahu bahawa usaha anda untuk menghalang rundingan dan menggagalkan pembaharuan adalah faktor penyumbang dalam keputusan AS untuk menarik diri dari majlis ini," katanya. AS ternyata menuding jari menyalahkan pihak lain berhubung tindakannya berundur daripada UNHRC, di sebalik hakikat tindakannya untuk melindungi Israel dan pelanggaran hak asasi manusia yang dilakukan secara berterusan tanpa segan-silu serta tidak mempedulikan berpuluh-puluh resolusi PBB yang mengecam tindakannya terhadap Palestin.

Pengunduran Washington dari UNHRC, sebagai protes terhadap apa yang dilihat sebagai kecenderungan dan kemunafikan atas kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin, adalah tindakan terkini AS melibatkan perjanjian pelbagai hala negara (multilateral) selepas negara tersebut menarik diri daripada Perjanjian Iklim Paris dan Perjanjian Nuklear Iran 2015.

Gelombang baharu

Berdasarkan kritikan dan pandangan para aktivis hak asasi manusia, ternyata keputusan pentadbiran Trump untuk menarik diri daripada UNHRC PBB meletakkan AS di sisi salah sejarah.

Kebanyakan aktivitis hak asasi manusia bersetuju bahawa UNHRC memerlukan pembaharuan tetapi institusi tersebut tetap menjadi tonggak kekuatan penting untuk dunia memastikan akauntabiliti dan keadilan dalam “dunia pasca hak” (post-rights world) ini.

Apakah kesan langsung tindakan AS ini terhadap usaha mempertahankan hak asasi manusia sejagat? Pertamanya masyarakat dunia akan dapat melihat sendiri sikap sebenar dan usaha mempolitikkan negara-negara kuasa besar dalam mencari helah mengelak daripada akauntabiliti yang lebih teliti terhadap rekod hak asasi manusia mereka. Walaupun menggunakan alasan Israel sebagai sebab menarik diri, pada hakikatnya, AS lebih khuatir rekod hak asasi mereka yang pincang didedah dan dipersoalkan melalui mekanisme Semakan Berkala Sejagat atau Universal Periodic Review (UPR).

Kejadian terbaharu pihak berkuasa AS (US Customs and Border Protection (CBP))memisahkan anak-anak migran daripada keluarga mereka di sempadannya baru-baru ini jelas menunjukkan kekejaman yang dilakukan terhadap anak-anak yang tidak berdosa dan golongan migran yang tidak bersalah.

Malah, ini diburukkan dengan hakikat bahawa AS tidak meratifikasi Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC), justeru memberi gambaran seolah-olah negara tersebut memandang ringan usaha masyarakat dunia melindungi hak kanak-kanak.

Sudah tentunya melalui mekanisme UPR, situasi pelanggaran hak asasi manusia seumpama ini akan didedah dan dikritik negara-negara anggota PBB.

Yang keduanya, bolehkah AS menjadi juara moral mengkritik rekod hak asasi manusia negara-negara lain, termasuk Malaysia apabila negara itu sendiri tidak lagi percaya dan komited terhadap institusi hak asasi manusia PBB? Masyarakat dunia mengetahui bahawa AS dan negara-negara kuasa besar dunia menyalahgunakan kuasa veto di Majlis Keselamatan PBB atau UNSC.

Rekod AS dalam campur tangan menodai kedaulatan negara-negara Islam khususnya adalah sangat buruk. Dengan pengunduran AS dari UNHRC, negara tersebut ternyata sudah hilang autoriti moral untuk bercakap tentang penentangan terhadap sebarang bentuk peperangan dan krisis kemanusiaan yang sering dijadikan alasan untuk negara tersebut memasuki sesebuah negara.

Malah, tindakan AS pada saban tahun mengeluarkan laporan penilaian hak asasi manusia terhadap negara-negara lain sudah tidak boleh dipercayai lagi.

Ketiga, sudah tiba masanya untuk para pemimpin dunia bercakap semula tentang usaha mewujudkan gelombang baharu pembaharuan terhadap PBB.

Sekiranya negara seperti AS boleh memperlekehkan UNHRC dengan cara menarik diri sebagai anggotanya dengan cara sebegini, kita khuatir bahawa negara-negara lain yang jelas melanggar hak asasi manusia akan melakukan sewenang-wenangnya dalam memonopoli corak hak asasi manusia yang mereka mahukan.

Ini sekali gus tidak menghormati prinsip-prinsip asal hak asasi manusia yang disepakati melalui Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR 1948), serta keperluan menghormati kedaulatan negara-negara anggota PBB yang meraikan kepelbagaian latar belakang budaya, agama serta sejarah dalam mempertahan dan mempromosi hak asasi manusia di negara masing-masing.

Selain kesan-kesan di atas, penulis cenderung untuk menyatakan bahawa pengunduran AS daripada UNHRC tidak banyak memberi kesan lain terhadap usaha pembelaan hak asasi manusia walaupun tindakan tersebut pada hakikatnya tidak membantu terhadap usaha reformasi UNHRC.

Sikap bongkak sebegini bukanlah satu pendekatan diplomasi yang bijaksana, oleh sebab peranan PBB sebagai suatu prakarsa permuafakatan sejagat perlu diperkukuh dengan saranan-saranan pembaharuan baharu yang ada kredibiliti dan bersesuaian dengan realiti sejagat.

Seperti yang dinyatakan Kevin Watkins, ketua eksekutif Save the Children UK bahawa: “Terdapat hujah yang sah bahawa PBB memerlukan pembaharuan untuk mengubah fokusnya dan menghentikan perlakuan terhadap pelanggaran hak asasi manusia. Ramai boleh menerima hal ini.”

Pada hakikatnya, penulis mengakui bahawa UNHRC telah menghasilkan peranan yang penting dalam konteks menangani pelanggaran hak asasi manusia di seluruh dunia, dari Selatan Sudan ke Republik Demokratik Congo.

Menarik diri daripada institusi tersebut seperti yang dilakukan AS bukanlah strategi terbaik untuk melakukan pembaharuan-pembaharuan penting.

Sebaliknya, ini adalah masa untuk memperkukuh penglibatan di UNHRC dalam usaha menawarkan alternatif yang lebih baik kepada fahaman hak asasi manusia, di samping melakukan pembaharuan demi memastikan acuan hak asasi manusia yang lebih dekat dengan fitrah kemanusiaan berlandaskan panduan agama dapat dijadikan fahaman teras utama hak asasi manusia di dunia kontemporari ini. Hakikat ini perlu dipertegaskan semula.

* PENULIS ialah Peguam dan Ketua Eksekutif, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA).