Walaupun tak menonton tapi Siti baca tentang AJL. Salah satunya aksi pelakon Singapura, Aaron Aziz mendukung pelakon wanita di atas pentas. Ini telah disaksikan oleh berjuta penonton termasuk makcik dan pakcik di ruang tamu. Stesen televisyen mencatatkan penarafan (rating) yang tinggi. Tahun depan tentu iklan masuk lebih banyak dan untung pun banyak juga.

Siti tak nak tulis tentang untung. Kali ini Siti nak tulis tentang liberalisme dan sekularisme yang masuk dalam kalangan artis termasuk sanak saudara mereka. Pemikiran ini diperjelaskan dengan tindak tanduk dan kenyataan di media yang dibuat tanpa rasa bersalah. Ada orang kata ini menandakan pemikiran artis kita sudah maju. Tapi bagi Siti ini menunjukkan otak hampir nak beku jadi keju. Ini adalah nilai yang memporakperandakan masyarakat Barat. Sekarang kita import dan kembangkan dalam industri hiburan tempatan.

Isteri Aaron Aziz memberi kenyataan kepada media bahawa dia tidak asa cemburu, aib dan sebagainya apabila suaminya mendukung pelakon wanita semasa persembahan di AJL. Bukan itu saja malah dia mengaku menunjuk ajar suaminya cara untuk mendukung pelakon wanita itu. Waduh...waduh....

Ada yang berkata, bertuahnya Aaron Aziz kerana dapat isteri yang sporting begitu. Tapi bagi Siti, Aaron Aziz paling tak bertuah kerana dapat isteri yang tak menghalang dia daripada mengaibkan dirinya. Banyak laporan dalam media memuji keterbukaan wanita itu yang "faham" kerjaya suaminya. Malah ada yang melabelkan inilah sikap "profesional" yang harus dijadikan contoh. Tidak ada satu pun yang melihat ini sebagai menyokong suami merendahkan moral dan akhlak di depan khalayak.

Benarkah apa yang ditunjukkan oleh isteri Aaron Aziz ini sikap terpuji seorang isteri yang bersuamikan seorang artis? Siti selalu percaya bahawa antara artis dengan masyarakat biasa tidak ada perbezaan dalam soal tanda aras moral dan akhlak. Apa yang tidak boleh dilakukan oleh masyarakat, perkara yang sama juga kepada artis. Maka perlakuan lelaki mendukung wanita di depan khalayak hanya dibolehkan oleh mereka yang pemikiran sekular saja.

Ini adalah satu contoh bagaimana sekularisme Barat merebak dan bernanah dalam kalangan artis tempatan. Kesannya bukan sahaja kepada artis tapi masyarakat yang menerima artis sebagai rujukan mereka. Ini adalah agen perosak yang ditampilkan kepada masyarakat dengan bertopengkan hiburan. Sebabnya sebahagian orang Melayu telah mewajarkan banyak perkara sumbang dalam hiburan.

Pedulikan arahan penganjur kalau kita mempunyai prinsip yang kita percaya membawa kebaikan kepada diri sendiri dan masyarakat. Tapi apa yang berlaku bukan paksaan sebaliknya suka dan rela.

Kalau kita tidak berani menegur takut dianggap kolot, itu bererti kita membiarkan nilai-nilai buruk yang merosakkan masyarakat dalam jangka panjang. Sebenarnya keterbukaan isteri Aaron Aziz itu bukanlah menunjukkan dia berfikiran maju dan moden. Begitu juga kesanggupan Aaron Aziz bukanlah kerana dia berfikiran jauh lebih moden berbanding artis Malaysia.

Siti tak perlu bersekongkol dengan majoriti yang menerima aksi di AJL itu sebagai "satu hiburan". Ini bukan hiburan. Ini penentangan kepada nilai dalam masyarakat di mana moral dan agama sebagai neracanya. Sebenarnya Aaron Aziz hanya contoh kecil daripada sekian banyak yang berlaku dalam dunia hiburan. Ironinya sebahagian besar daripada kita bertepuk tangan, teruja sampai ternganga. Seronok sungguh. Mereka tak bimbang, resah dan berusaha untuk menanganinya.

SITI JARUM: Sangat bimbang.