Mendengar itu, dia berkata, kerja seorang ibu memang tidak pernah habis. Sampai anak-anak sudah bekerja dan mempunyai keluarga sendiri pun, seorang ibu tetap ­merasa risau dan mahu memikirkan tentang anak-anak.

“Bila sudah tua, letih dan sampai hendak mati pun kita tetap macam ini asyik fikir anak-anak. Anak-anak buat kita letihlah. Harap-harap mereka tidak letih pada kita, bila kita sakit nanti,” kata Audrey yang usianya sebaya saya itu sambil ketawa.

Betullah, sampai hujung nyawa pun kerisauan seorang ibu tetap ada. Kalau sedang sakit pun, seorang ibu akan risaukan anak-anaknya yang tidak makan dan dia akan gagahkan diri juga ke dapur menyiapkan makanan dan kemudian berbaring semula.

Kalau sedang marahkan anak-anak pun, dia tidak pernah berhenti menjalankan ‘kerja-kerja’ seorang ibu. Dalam marah dan diamnya dia tetap menyediakan segala-galanya dan cuba memenuhi kehendak anak-anak. Seorang ibu, begitulah perangainya.

Dan semalam, saya terbaca satu berita mengenai seorang pemuda sanggup melupakan cita-citanya menjadi guru demi menjaga ibunya yang lumpuh sejak enam tahun lalu. Wan Mohd. Fakhrul Anwar Abu Bakar, 32, pernah berkhidmat sebagai guru sandaran selama setahun di Sekolah Menengah Kebangsaan Sg. Besi, Selangor selepas tamat pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM). Kini hidupnya hanya berbakti pada ibunya di rumah.

Berita ini mungkin biasa-biasa saja bagi setengah orang. Tetapi rasanya, ia agak luar biasa dan semoga memberi kesedaran pada zaman ini. Sebabnya, ramai juga anak yang ‘bertolak-tolak’ dengan adik beradik siapa yang boleh menjaga ibu atau bapa apabila mereka sakit.

Sedarkah kita tidak ramai yang sanggup berkorban se­perti Wan Mohd. Fakhrul untuk ibu mereka? Ada yang bertanya khabar pun jarang sekali inikan pula hendak menjaga. Bagi mereka apabila orang tua menelefon atau datang ke rumah, ia bagaikan membawa ‘satu masalah’ pula.

Saya mendengar macam-macam cerita tentang anak-anak yang tidak mampu menjaga orang tuanya. Cerita daripada kawan-kawan, di media sosial dan pengalaman melihat sendiri perkara ini berlaku.

Antara alasannya, tidak mampu dari segi kewangan kerana pada masa sama menanggung keluarga sendiri, ada yang terlalu sibuk dengan urusan kerja, siang malam kerja kononnya sampai tiada masa untuk diri sendiri, ada anak lelaki terlalu mengikut kata isteri yang merasakan kebebasan untuk ke sana sini akan terganggu apabila terpaksa menjaga orang tua dan macam-macam lagi.

Sudahnya, orang tua dibiarkan berseorangan di rumah. Kalau sakit, biarlah dia merawat diri sendiri. Telan pil Panadol hilanglah sakit itu. Ada juga membawa orang tua ke hospital tetapi bila tiba masa untuk keluar, dibiarkan tidak diambil-ambil sehingga pihak hospital terpaksa menyerahkan orang tua itu kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kes sebegini pun semakin meningkat.

Entah di mana silapnya, anak ini boleh bersikap terlalu ­pentingkan diri sendiri apabila sudah dewasa dan punya keluarga sendiri sedangkan ibu bapanya dulu menjaga dengan penuh kasih sayang dan tidak berkira tentang masa dan wang.

Yang telah berjaya, berpangkat besar yang sepatutnya tidak ada alasan untuk tidak menjaga orang tua kerana mampu menyediakan penjagaan dan rawatan yang baik pun, sudah ramai jadi si Tanggang. Mungkin merasakan diri sudah berjaya dan cukup hebat, maka dia pun lupa diri. Hebatkah menjadi manusia, jika melupakan insan yang ­melahirkan orang yang hebat itu?

Fikirkanlah, bila sudah tua dan sakit-sakit nanti, apabila anak sendiri melakukan perkara yang serupa, kuatkah kita mahu mengharungi kesakitan itu dengan sendirian di rumah? Bagaimana rasanya dibuang anak sendiri ketika usia tua? Sakitnya mungkin lebih hebat daripada sakit melahirkan seorang anak.

Dunia ini berputar perlahan. Dan perlahan-lahan juga apa yang kita lakukan terhadap orang lain terutama­nya ibu sendiri, tidak mustahil berbalik kepada diri sendiri.