Pelbagai tuduhan dilemparkan termasuklah wartawan dan pengarang yang menghasilkan laporan khas itu mengamalkan fahaman Wahabi dan memetik sumber-sumber daripada fahaman yang sama. Tidak cukup dengan itu, ada pula yang menuduh salah seorang sumber Utusan Malaysia buta hadis. Tuduhan itu masih boleh diterima berbanding ada dalam kalangan mereka begitu taksub mengkafirkan sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan mereka.

Namun apa juga tuduhan atau tohmahan dilemparkan, ini sama sekali tidak menggugat matlamat utama laporan khas tersebut iaitu mendedahkan bagaimana pemantauan rapi perlu dilakukan ke atas pendakwah-pendakwah asing yang bebas keluar masuk ke negara ini bagi menjalankan kegiatan mereka.

Perkara itu dibangkitkan kerana siasatan dan penyelidikan yang dibuat oleh Utusan Malaysia mendapati pendakwah atau tokoh agama yang dipuja-puja dan mendapat tempat segelintir rakyat negara ini mempunyai kaitan rapat dengan Tarekat Nasyabandiah Al-Aliyyah yang diharamkan. Malah terdapat rakaman video dan gambar-gambar yang menyaksikan betapa eratnya hubung­an mereka dengan pengasas tarekat itu, Sheikh Nazim Al-Haqqani.

Satu perkara yang perlu ditegaskan, agama bagi Persekutuan ialah Islam yang umatnya di negara ini berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Oleh itu, sebarang fahaman lain atau ada usaha untuk menyebarkan fahaman yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah sama ada secara terang-terangan atau tersembunyi harus dibanteras.

Cium kaki, sujud di kubur dan beryakazah adalah perkara yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, justeru kenapa perlu ada pihak mahu mempertahankan perkara tersebut? Soal tarekat atau fahaman lain mahu melakukannya itu soal mereka.

Apa yang ditegaskan dalam semua laporan khas Utusan Malaysia ialah sesuatu perbuatan yang dibiarkan boleh memecah belah umat Islam di negara ini kerana tidak selari dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Matlamat kita ialah hendak menjaga ketenteraman dan keselamatan umat Islam Malaysia supaya tidak ada fahaman-fahaman meragukan menyusup masuk seperti mana penyebaran fahaman Syiah yang akhirnya menyebabkan umat Islam berperang sesama sendiri kerana berbeza mazhab.

Persoalannya, kenapakah ada pihak-pihak yang mahu mempertahankan pendakwah-pendakwah a­sing yang didedahkan dalam laporan khas tersebut?

Apa hebat sa­ngatkah mereka sehinggakan kita perlu membawa orang luar bagi memperkukuhkan keimanan umat Islam di negara ini atau memperkembangkan syiar Islam di Malaysia?

Selama inipun, Islam sudah hidup subur di Malaysia. Melalui pegangan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, pemimpin-pemimpin utama negara dengan bantuan pelbagai pihak berkuasa agama telah berjaya menjadikan Malaysia sebagai negara Islam contoh.

Kita tidak mahu semua itu tergugat hanya kerana tersebarnya tarekat yang boleh mewujudkan ketaksuban dalam kalangan pengikutnya sehinggakan kaki tok guru mereka pun mahu dicium. Mungkin mereka ada hujah tersendiri termasuklah memetik hadis-hadis yang belum tentu kesahihannya bagi mempertahankan diri. Tetapi di dalam Islam, ke­taksuban kepada guru bukan sahaja dilarang malah kita perlu mengelakkan perbuatan yang boleh mendatang­kan fitnah.

Begitulah juga dengan amalan-amalan sesuatu tarekat yang dianggap asing dan bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kalaulah pengikut-pengikut tarekat merasakan apa yang mereka lakukan adalah betul dan mahu mempertahankannya sampai ke akhir hayat, silakan, itu hak mereka. Tetapi jangan cuba menyebarkannya dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Apa yang membingungkan, ketika mereka begitu ghairah mempertahankan apa yang mereka lakukan adalah betul dan bertepatan dengan ajaran Islam sebenar, tindak-tanduk mereka sendiri tidak menggambarkan sikap itu. Mereka begitu mudah menuduh orang dengan pelbagai gelaran. ‘Buta hadis’ dan Wahabi’ – sedangkan Islam membenarkan perbezaan pendapat antara umat Islam dalam sesuatu perkara asalkan tidak membawa kemudaratan.

Sebab itulah dalam soal ini, mana-mana pihak tidak harus emosional sehingga menyebabkan wujud tanggapan seolah-olah ada agenda tersembunyi dengan kehadiran pendakwah-pendakwah luar yang dianggap ‘tokoh agama’ atau ‘ulama besar’ itu.

Perlu sangatkah umat Islam di negara ini menumpang kehebatan ‘ulama-ulama’ luar yang antaranya ada kaitan dengan tarekat yang diha­ramkan di Malaysia? Kita pun ramai tok-tok guru dan ustaz yang berpegang teguh kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Mereka juga ada kehebatan masing-masing, malah mungkin lebih hebat ilmunya daripada ‘tok-tok sheikh’, ‘pak-pak habib’, ‘maulana’ atau ‘ulama besar’ di luar negara – yang kadang-kala kita sendiri tidak pasti sejauhmanakah apa yang mereka lakukan itu bersesuaian de­ngan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Soalnya, tahukah kita secara teliti apa agenda tersembunyi segelintir mereka daripada golongan tersebut? Bukanlah niat kita hendak menuduh atau membaca hati orang lain tetapi berdasarkan siasatan, penyelidikan dan maklumat yang diperoleh penulis terlalu banyak perkara yang me­ragukan.

Apa yang ingin kita lakukan ialah pencegahan awal sebelum merebak. Mungkin di negara lain tidak ada masalah, mereka bebas untuk keluar masuk, tetapi kita tidak mahu layanan yang sama diberikan kepada Malaysia. Apatah lagi, mereka menunjukkan kehebatan melalui program-program zikir dan qasidah serta menghampiri ahli-ahli politik melalui program sedemikian.

Mungkin juga ‘serangan’ yang dilakukan berikutan pendedahan Utusan Malaysia tersebut kerana merasakan tiada siapa boleh mengambil tindakan ke atas mereka, apatah lagi apabila mereka ‘memuntahkan peluru’ melabelkan mana-mana individu atau kelompok sebagai Wahabi.

Malah mereka juga berasa ‘besar kepala’ kerana program-program mereka dihadiri oleh ahli-ahli politik. Tidak mustahil inilah modal yang digunakan bagi menunjukkan kepada umat Islam di negara ini yang tidak tahu apa-apa bahawa ‘orang besar’ pun menerima kehadiran mereka.

Sebenarnya, kita tidak boleh me­nyalahkan ahli-ahli politik jika itu berlaku, sebaliknya pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama perlu memberikan nasihat. Tujuan kita adalah bagi mengelakkan keraguan, kecelaruan dan kekeliruan dalam kalangan umat Islam. Ini kerana apabila ada tokoh yang ada kaitan dengan tarekat yang diharam­kan dilihat bersama-sama dengan ahli politik negara ini, akan menimbulkan tafsiran bahawa tiada apa salahnya tarekat yang dipegang oleh tokoh tersebut.

Justeru adalah wajar dalam berhadapan isu ini seperti mana kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, pihak berkuasa agama negeri perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi menyekat penyebaran tarekat yang bertentangan dengan fahaman akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menyimpang daripada ajaran Islam.

Perlu ada keseragamanan dalam bertindak. Dalam soal ini Jawatan­kuasa Fatwa Majlis Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu tampil bagi menamatkan kebimbangan yang berlaku. Apa yang paling penting dilakukan ialah melakukan tapisan habis-habisan ke atas pendakwah dan ulama luar demi menjaga kesucian fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah umat Islam negara ini.

Hakikatnya, mereka tidaklah sehebat mana, kita yang menjadikan mereka hebat.

Malah lebih mengecewakan akibat keghairahan kita menyanjung golongan itu, para ustaz dan ulama di negara sendiri dipinggirkan. Pendakwah dan ulama bebas melakukan pelbagai aktiviti ceramah dan kuliah tetapi orang kita sendiri diletakkan pelbagai syarat sehingga ada antara mereka dilarang melaksanakan program di satu-satu negeri. Kesudah­annya kita ibarat, “kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.’’