Tetapi tentu lebih baik kalau mendekatkan anak-anak dengan alam. Bimbing mereka supaya mengenali, menghayati dan menghargai alam di tanah air sendiri.

Manusia dan alam bukan sahaja tidak pernah berpisah malah mesti akrab dan saling memerlukan. Ini kerana ada sesetengah pihak yang tidak akrab membuatkan alam memberikan isyarat tidak bersahabat dengan kita.

Tanah air kita sebenarnya kaya dengan alamnya. Kita bukan di Singapura atau Hong Kong yang penuh dengan alam buatan tidak berjiwa. Kita kaya dengan alam yang asli di seluruh pelosok wilayah dan negeri.

Setiap yang mengaku warga tanah air ini wajar menghayati dan menikmati keindahan tidak ternilai ini.

Bagaimanapun disebabkan oleh faktor masa bagi keluarga yang berkerjaya, tentulah bukan suatu yang luar biasa sekiranya tidak berkesempatan memesrai alam negara ini.

Tetapi perlulah ada iltizam ke arah itu, memberi ruang anak-anak mengenali dan menghayati tanah air sendiri - dari selatan ke utara dan dari barat ke timur.

Kalau dulu ada dianjurkan kempen pelancongan domestik di tempat-tempat menarik dalam negara. Tetapi sekarang tidak kedengaran lagi kempen serupa itu.

Padahal melancong dalam negara adalah suatu yang baik, bukan sahaja menjimatkan tetapi yang penting mengenalkan anak-anak dengan alam tanah airnya. Rasa patriotik dan saling memiliki tanah air ini akan terbina.

Ini membuktikan tunjuk rasa patriotik boleh berlaku dengan berbagai-bagai cara dan bukan sahaja mengibarkan bendera menjelang ulang tahun kemerdekaan negara.

Sebaliknya menghayati tanah air, alam semula jadi dan budaya manusianya juga suatu ekspresi patriotik. Malah ini sangat asli dan menusuk ke dasar peribadi.

Patriotik perlu tumbuh dan subur secara semula jadi untuk membenihkan rasa sayang dan rasa memiliki negara yang satu ini.

Rasa sayang itulah yang membuatkan kita sanggup berkorban untuk memelihara keindahan alamnya dan kesejahteraan warganya.

Siapa sahaja yang menyusuri Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dan LPT2 hingga ke gigi pantai memutih di Telok Chempedak dan Balok di Pahang; Rantau Abang, Penarik di Terengganu atau pantai Irama di Kelantan di sebelah timur.

Atau memilih membelah gunung ganang hijau berbalam, ladang dan kemudian sawah padi yang melaut luasnya di kiri dan kanan di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) hingga utara. Tentunya yang terpancar adalah satu pengalaman rohani yang sangat menakjubkan.

Sesekali susurilah perkampungan nelayan di Pantai Timur, melihat sambil menyedut kehidupan manusia dan alamnya yang diperindahkan dengan adat dan budaya.

Belajarlah memahami kehidupan dihias debur ombak Laut China Selatan yang penuh duga, rakus dan sering pula memangsakan.

Tetapi di situlah kehidupan sang nelayan, berkolek kecil bermain gelora menuai rezeki untuk keluarga. Tinggallah sementara budaya hidup di kota yang penuh keakuan dan kebendaan.

Di kota alamnya telah lama dibaham. Di luar sana ada sudut alam yang belum tercemar menanti kita. Manfaatkan inap desa di tengah-tengah masyarakat setempat. Hayatilah wajah alam waktu malam, pagi dan senja yang berbeza-beza.

Inilah luar biasanya alam tanah air milik kita. Jangan biarkan sesiapa pun mengganggu gugat damai, indah dan sejahteranya.

Kita tentang mereka kerana kitalah tuan di tanah pusaka bonda.