Semua penduduk bumi mengetahui puncanya, lebih-lebih lagi Perdana Menteri negara haram Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Syria, Bashar al-Assad.

Penduduk kedua-dua negara itu pasrah tetapi pada setiap masa sentiasa bersedia untuk dipanggil menghadap Ilahi. Meskipun nyawa seperti di hujung tanduk tetapi mereka tidak menjadi semakin lemah, sebaliknya bertambah kuat kerana lebih menghargai nikmat nyawa yang di­pinjamkan sementara.

Terdapat beberapa hadis Rasulullah SAW mengenai mati, antaranya, baginda ketika menjawab pertanyaan seorang lelaki Ansar siapakah yang paling cerdik. Baginda bersabda: “Yang paling banyak mengingati kematian dan mereka yang paling bagus persiapannya selepas kematian. Mereka itu orang cerdik,” - Riwayat Ibnu Majah.

Penulis bukan seorang ustaz, jadi jangan tersilap me­nganggap Dimensi kali ini adalah khutbah. Cuma hati penulis agak tersentuh dengan ‘keberanian’ sekumpulan remaja di Jalan Lingkaran Dalam, Johor yang tidak diketahui bagaimana untuk digambarkan jenisnya, sama ada ‘hati kering atau hati batu’?

Februari lalu lapan remaja berbasikal diragut nyawa di lokasi sama - ‘tanah kubur masih merah’ - tetapi pada awal bulan ini sebanyak 22 remaja seolah-olah cuba mencatatkan rekod baharu, sekali gus mengatasi jumlah korban nahas berkenaan.

Mereka berjemaah melakukan aksi berani mati. Bertindak daripada aduan orang awam, polis mengadakan Op Gempur dan menemukan lebih 30 remaja berbasikal sedang berkumpul dan menunggang secara berbahaya di lokasi terbabit.

Ramai yang sempat melarikan diri, namun polis berjaya menahan 22 orang termasuk dua perempuan berusia 14 hingga 17 tahun. Perinciannya, 14 penunggang basikal dan lapan orang yang menonton ditahan. Daripada jumlah tersebut, 15 orang yang ditahan masih bersekolah.

Untuk bersangka baik, dirasakan mereka ini tidak ­mengetahui, membaca, menonton, melayari Internet atau Facebook mengenai tragedi berdarah yang berlaku pada pukul 3.20 pagi, 18 Februari lalu itu. Jadi jangan salahkan mereka. Mungkin juga mereka masih belum mumayyiz - untuk membezakan antara baik dan buruk.

Persoalannya adakah ibu bapa dan penjaga mereka juga sama seperti anak-anak itu, tidak ketahuan? Rasanya tidak! Maka lakukanlah sesuatu. Jangan harapkan ibu bapa ‘di Rantau Panjang, Kelantan atau Kampung Sulabayan di Semporna, Sabah’ untuk mengambil tahu mengenai perihal tepi kain anak-anak anda.

Jika mereka masih belum mumayyiz, orang dewasa perlulah membimbing. Sebenarnya masih belum terlambat untuk melahirkan generasi berkeperibadian semangat waja seperti Sultan Muhammad al-Fateh, Khalifah Kerajaan Islam Uthmaniyyah ketujuh yang hanya berusia 21 tahun semasa membebaskan Kota Konstantinopel pada 29 Mei 1453.

Selain baginda, ikon belia lain ialah kumpulan pemuda Ashabul Kahfi yang kisahnya disebut Allah dalam Surah al-Kahfi, ayat 9-26. Seorang lagi ikon ialah Usamah bin Zaid yang dipilih Rasulullah SAW bagi mengetuai angkatan tentera yang turut dianggotai oleh para sahabat lain. Meskipun hanya berusia 18 tahun tetapi kepercayaan tertinggi yang diberikan Rasulullah menggambarkan kehebatan keperibadiannya.

Bagaimanapun, jika semua pihak berkaitan masih enggan memberikan kerjasama, mungkin sudah tiba masanya untuk polis mengambil tindakan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 kerana membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawa­san yang berpatutan. Rasanya itu adalah jalan terbaik sebelum ada lagi nyawa bakal terkorban.

Apa beza antara remaja di sini dengan kedua-dua negara yang disebut di atas? Remaja Malaysia suka mencari nahas, remaja di sana pula nahas yang mencari mereka!