Tak sangka boleh pula buat pelancaran koleksi hijab atau tudung di disko ya.

Eh! Disko atau kelab malam atau pub ni...eh! Semua sama sajalah.

Kalau dengar celoteh orang tua tua yang hidup ‘lebih makan garam’ dari umur sebaya abang hensem ini, mereka akan berseloroh bila jumpa insiden yang pelik-pelik ni dengan ayat begini: “Tak laratlah atau tak boleh gi (pergi) lah nak ikut macam kamu ni...hidup zaman sekarang moden beza macam kami dulu-dulu’.

Tapi dalam duk (duduk) mengomel tu habis ‘diba­suhnya’ abang hensem sampai tak sempat angkat mukalah.

Dan macam si penganjur yang lancar tudung dalam disko tempoh hari itu lah, takkanlah si orang tuanya akan mengekorinya setiap masa, sebelum barangkali terperanjat, baru diketahuinya ‘kena terkinja-kinja dulu’ baru boleh lancar benda tutup aurat tu.

Abang hensem bukanlah orang yang suka jaga tepi kain orang atau menyeranah orang lain. Tapi bab yang tak be­tul depan mata, maka tak betullah.

Ya, apabila melihat aksi dalam video pelancaran tudung yang tular itu abang hensem terfikir satu perkara ini - bukan senang sebenarnya nak maintain jadi orang baik. Ada sebilangan orang percaya ‘jadi orang baik’ yang ikut peraturan atau norma hidup atau kadang-kadang disebut nerd ini ‘menyeksakan’.

Pernah rakan abang hensem yang menjadi peminat tegar Miley Cyrus - artis terkenal dalam siri te­levisyen Disney Channel bertajuk Hannah Montana tahun 2007 - terperanjat besar dengan perubahan diri Cyrus.

Sebelum itu Cyrus merupakan idola bagi remaja pe­rempuan kerana penampilannya yang cantik dan molek serba-serbi dimilikinya. Dia bahkan kerap disebut sebagai Disney Princess.

Tahun demi tahun berlalu dan Cyrus mula mencuba untuk mengganti karektor panggungnya. Dia ingin tampak dewasa dan meninggalkan citra lamanya sebagai Hannah Montana, si gadis baik-baik sehinggakan sanggup berbogel dalam majalah.

Itu cerita Cyrus yang abang hensem tak kisahpun sebab dia ni artis Barat. Tapi yang abang hensem nak bangkitkan dalam kolum santai ni adalah bukan mudah nak terus kekalkan diri menjadi orang baik-baik.

Kalau hati sudah jadi ke­ring, payah nak diajar. Cuma semalam waktu abang hensem layan dengar CD (cakera padat) Kiyai Agim, penceramah agama dari negara seberang dalam kereta, dia menceritakan bagaimana suatu ketika dia dijulang kemasyhuran. Dijemput pemimpin negara hingga ke istana presiden. Ketika itu katanya, hati masih ada iman, tapi separuh-separuh.

Semasa itu, kata Agim, dia lebih memilih hati orang (untuk menggembirakan orang lain) berbanding takut kepada Tuhan walaupun berada di tempat-tempat maksiat (hiburan). Sehinggalah dia akhirnya terjelupuk jatuh dan diludah orang.

Demikianlah kata Agim, Allah menguji manusia de­ngan pelbagai cara untuk mendekatkan diri dengan-Nya.

Dan beruntungnya menjadi orang mukmin, apabila ditimpa musibah dia berada dalam gelung sabar yang melihat suatu masalah itu sebagai ‘indah’. Dan apabila beroleh kenikmatan, dia memanjatkan syukur.

Abang hensem setuju sangat bahawa kreativiti akan semakin lengkap bila terlahir dari kejernihan hati sebagai buah dari ibadah yang berkualiti. Biasanya, hati yang jernih akan melahirkan firasat dan idea-idea cemerlang yang akan menjadi nilai tambah dalam kehidupan.

Adakah di antara kita yang sudah berasa mencapai sukses hidup kerana telah berhasil meraih segalanya - harta, gelaran, pangkat dan kedudukan - yang telah menggenggam seluruh isi dunia ini?

Marilah kita nilai semula seberapa besar sebenarnya nilai dari apa-apa yang telah kita raih selama ini.

Dan kalau seseorang itu mampu menganggap suatu pujian orang yang datang kepadanya adalah `prasangka’ orang lain kepadanya, itu abang hensem anggap sudah capai tahap awesome. Hakikatnya kita tidak boleh larut dalam pujian orang.

Cuma sekali lagi abang hensem ingin ingatkan mana-mana selebriti agar jangan memberi isyarat salah kepada gadis bertudung sehingga akhirnya boleh diajak si mata keranjang berdansa ke dalam disko. Takkanlah dengan memiliki taraf pendidikan terbaik dan didikan agama, boleh ‘terlupa’ sekejap destinasi nak dituju ke mana. Melainkan, sudah ada hajat di hati untuk ‘mencipta kontroversi’ agar dicatat dalam ‘sejarah video tular’. Jangan sehingga hati kering ke tahap dungu.

Apa pun dalam siri kali ini yang abang hensem ‘simbah’ dengan nasihat agama untuk panduan diri juga rentetan video pelancaran tudung yang tular itu, abang hensem tetap berpegang kepada yang satu ini:

“Hal terpenting dalam hidup adalah perubahan diri menjadi lebih baik. Doa yang baik adalah doa yang menjadikan seseorang lebih baik dalam hidupnya.”