Tiada salahnya parti politik mengguna khidmat firma se­perti Cambridge Analytica kerana asasnya ialah firma tersebut mampu membantu parti politik menjalankan kempen dengan lebih efektif. Tetapi isu tersebut menjadi kontroversi kerana kempen Trump yang mengguna khid­mat firma tersebut telah mengguna data yang diperoleh secara tidak sah dan juga aktiviti kempen yang dijalankan dianggap tiada beretika kerana bersandarkan strategi manipulasi untuk membunuh karektor pencabar beliau iaitu Clinton.

Sebab itu apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyua­rakan kebimbangan beliau me­ngenai gerakan strategi serangan mengejut saat-saat akhir (SLMA) yang melibatkan isu-isu tertentu bertujuan mencetuskan kekecohan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), apa yang diluahkan itu ada asasnya. Bukan sahaja iktibar daripada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) boleh dijadikan sandaran bagaimana berita yang dimanipulasi disebarkan pada ketika tempoh kempen hampir tamat telah mempe­ngaruhi pe­ngundi, tetapi juga terdapat kecenderungan parti politik ter­tentu pada ketika ini untuk mengguna khidmat pakar asing dalam kempen PRU mereka.

Khidmat pakar asing yang dimaksudkan ini mungkin juga membabitkan firma seperti Cambridge Analytica yang berbekalkan data tabiat individu yang begitu banyak sama ada yang diraih secara sah atau sebaliknya kempen ala Trump yang begitu khusus memburukkan imej pencabar beliau Clinton boleh juga diamalkan ketika PRU-14. Terdapat juga pengakuan daripada beberapa ahli politik Malaysia yang tanpa segan silu menegaskan mereka akan menggunakan saluran media asing demi melangsungkan agenda politik mereka.

Parti politik di Malaysia tidak memerlukan kepakaran Cambridge Analytica untuk mengenal pasti isu sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) adalah salah satu isu utama kempen PRU-14. Sebab itu juga manifesto Pakatan Harapan dan Pas yang telah dilancarkan memperincikan isu ini sebagai asas kepada kempen mengenai kos sara hidup tinggi. Malah, diandaikan juga manifesto Barisan Nasional (BN) yang bakal dilancarkan tidak lama lagi sudah pasti isu GST menjadi tema utama.

Ketika melaksanakan kempen bersandarkan isu GST, setiap parti politik tidak kira sama ada daripada Pakatan Harapan, Pas atau BN perlu melaksanakan kempen mengikut sasaran tertentu kerana pengundi di bandar umpamanya mempunyai persepsi berbeza berbanding pengundi di luar bandar.

Hasrat untuk melaksanakan kempen lebih efektif mengikut kumpulan sasaran tertentu inilah yang memerlukan kepakaran asing seperti ditawarkan firma Cambridge Analytica. Oleh kerana aktiviti firma asing banyak bergantung kepada berita sensasi yang dimanipulasi, perkara se­perti inilah paling dikhuatiri akan melanda PRU-14 pada saat-saat terakhir tempoh kempen de­ngan sanggahan terhadap berita seperti ini sukar dilakukan. Jika ditambah pula dengan bantuan media asing yang tidak terikat dengan perundangan negara, maka apa yang diluahkan oleh Ahmad Zahid mengenai SLMA itu ada asasnya.

Malah isu yang membabitkan syarikat pelaburan 1MDB juga akan menjadi isu tarikan setiap parti politik yang bakal berkempen tidak lama lagi. Oleh kerana isu ini tidak dinafikan begitu sukar untuk difahami, maka ia dianggap akan lebih mudah untuk dimanipulasi demi untuk mempengaruhi pengundi. Seperti mana isu GST, tahap pemahaman mengenai kemelut 1MDB adalah berbeza bagi setiap pengundi, maka tidak syak lagi khidmat pakar asing amat diperlukan apabila membincangkan perkara seperti ini. Ditambah pula dengan laporan media asing secara meluas mengenai 1MDB, maka sudah semestinya ia bakal menjadi bahan kempen yang begitu strategik menjelang PRU-14.

Sebab itu rakyat Malaysia perlu berhati-hati dalam menerima berita tidak kira dari sumber media sosial atau media lazim. Besar kemungkinan berita tersebut dimanipulasi sedemikian rupa sehingga mampu mempengaruhi seseorang ketika membuat satu keputusan. Tidak semestinya juga berita dari media asing itu menggambarkan senario sebenar kerana agenda asing berbanding Malaysia berkemungkinan tidak selari. Masalahnya ialah ada segelintir rakyat Malaysia yang begitu mudah terpengaruh dengan be­rita dari media asing.

Lebih memudaratkan lagi jika sumber maklumat tersebut berpunca dari landasan media sosial, maka wujud kebarangkalian agak tinggi berita tersebut telah dimanipulasi sedemikian rupa.