Melalui laporan-laporan sebe­gini, kita dihidangkan de­ngan pelbagai andaian mengenai ke­mu­rungan yang menyebabkan golongan sebegini tidak memikirkan lagi sempadan dan kewarasan dalam bertindak. Kemurungan adalah gangguan perasaan seseorang yang menyebabkannya berasa sedih berpanjangan, keletihan, ketiadaan tenaga dan cepat marah serta hilang minat dalam aktiviti harian. Ia berlarutan sekurang-kurangnya dalam masa dua minggu. Penyakit ini boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja tidak kira umur, jantina atau bangsa. Kemurungan boleh berlangsung sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun.

Banyak punca berlakunya kemurungan dalam diri seseorang. Menurut Portal Kementerian Kesihatan Malaysia antaranya disebabkan oleh pewarisan pe­nyakit kemuru­ngan daripada generasi keluarganya terdahulu atau persekitaran ekoran peristiwa hidup seperti kegagalan, kematian, atau bencana yang melanda dan kekurangan sokongan keluarga dan sosial. Kemurungan turut boleh terjadi apabila seseorang mempunyai penyakit lain seperti gangguan fungsi thyroid hypothyroidism atau penyakit kronik lain. Kemurungan juga secara psikologinya berpunca daripada gaya dan corak pemikiran seseorang yang melibatkan ba­gaimana persepsi seseorang kepada diri sendiri, kehidupan dan dunia ­keseluruhannya.

Kita lihat kehidupan orang se­keliling sentiasa kelihatan gem­bira, penuh hilai ketawa dan serba-serbi bahagia yang bukan indikator jelas kepada kemuru­ngan. Silap-silap, anak-anak, ke­luarga terdekat mahu pun diri kita sendiri adalah penghidap kemurungan. Ada dalam kalangan kita yang terus menerus meni­dakkan bahawa mereka ada me­nunjukkan sim­ptom kemurungan walau pun ia masih di peringkat awal.

Kajian Kesihatan dan Morbi­diti Kebangsaan 2015 menunjukkan lebih kurang 4.2 juta rakyat Malaysia yang berusia 16 tahun ke atas atau 29 peratus populasi negara menghidapi pelbagai masalah mental termasuk kemurungan. Secara mudahnya, satu pertiga rakyat Malaysia mempu­nyai masalah mental.

Pakar psikologi dan perubatan mencadangkan banyak langkah pencegahan dan pembetulan yang perlu diambil secara proaktif da­lam membendung kemuru­ngan daripada menjadi kronik dan membahayakan penghidapnya dan orang di sekelilingnya. Antaranya, kita perlu ketahui pe­nyakit kita dengan cara berjumpa dengan pakar psikiatri atau doktor dan mendapatkan konsultasi ­da­­ripada mereka.

Seterusnya, patuh kepada u­bat-ubatan dan rawatan susulan andai dinasihatkan sebegitu oleh pakar perubatan. Kemudian, amal­kan cara berfikir yang positif dan tenang dan menguruskan konflik-konflik yang boleh memekarkan tekanan dan kemurungan. Gaya hidup yang sihat perlu menjadi amalan dengan cara bersukan, berekreasi atau melakukan aktiviti fizikal yang boleh membuat kita rasa gembira, dapat bersosial dengan keluarga dan rakan-rakan dan memenuhi hobi atau aktiviti kegemaran kita.

Begitupun, Islam memberi pan­­duan yang berbeza dalam mengatasi masalah kemurungan. Manusia secara fitrahnya dipe­ngaruhi oleh unsur dalaman yang terdiri daripada perasaan, jiwa dan nafsu. Sekiranya unsur-unsur tersebut mengalami gangguan, maka ia akan mempengaruhi tingkah laku dan perbuatannya. Bijak pandai bidang agama me­negaskan bahawa proses penyembuhan kemurungan dan masalah mental lain adalah secara kerohanian. Ia dilihat sebagai alternatif terbaik untuk merawat penyakit-penya­kit mental ini dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran, mendirikan solat, bacaan zikir, doa-doa lazim dan khusus, bermunajat dan me­lakukan amar ma’aruf sebagaimana yang digariskan oleh syariat Islam.

Islam menggalakkan umatnya supaya menjadi generasi yang cergas, cerdas dan bersema­ngat untuk menghadapi cabaran kehidupan yang sememangnya me­nekan emosi dan jiwa. Islam me­­nggalakkan kita menyeimbangkan juga ­usaha memben­dung penyakit mental ini secara fisiologi atau lahiriah. Antaranya, menjaga kesihatan diri melalui pemakanan seimbang dan mengikut sunnah dan aktiviti fizikal dan riadah.

Islam juga menyarankan melalui panduan Sunnah Rasulullah SAW yang sangat banyak dalam hal pembentukan silaturahim dan hubungan sosial yang baik dalam masyarakat. Kecenderungan untuk bersendirian adalah terma dan petunjuk kepada penyakit mental yang mana kurang­nya asimilasi, komunikasi, dan perkongsian aspirasi bersama pi­hak lain secara kolektif.

Ini seterusnya akan membawa kepada sikap suka menyimpan dan memendam rasa tanpa mendapatkan bantuan dan panda­ngan pihak lain. Hubungan yang erat antara ahli keluarga dan masyarakat sekeliling berupaya merangsang pemikiran, emosi dan perasaan yang lebih seimbang, bersemangat dan bermotivasi dalam meneruskan kelangsungan hidup.

DR. KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR ialah Pensyarah Kanan Program Dakwah Dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).