Mengapakah seruan tersebut dibuat oleh baginda tatkala selepas 60 tahun merdeka? Di manakah harkat bahasa Malaysia kini?

Malaysia adalah sebuah negara unik. Ia kaya dengan amalan keagamaan, keetnikan, budaya dan bahasa yang rencam masyarakatnya merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Kepelbagaian ini adalah aset penting negara, ia juga adalah khazanah yang menjadi harta kesemua komuniti tanpa mengira budaya, amalan, ritual dan kepercayaan serta aliran politik sekalipun ke arah pembentukan identiti bangsa Malaysia.

Hatta, selepas 60 tahun merdeka kita masih bercakap mengenai kedudukan bahasa Melayu @ bahasa Malaysia yang sepatutnya menjadi bahasa penyatuan, bahasa perpaduan, bahasa penghubung dan bahasa yang wajar digunakan oleh kesemua pelbagai latar warga yang menamakan diri mereka sebagai rakyat Malaysia sejak dahulu seba­gaimana termaktub dalam Perlembagaan.

Setiap tahun dalam jadual berkala kita, Oktober pula adalah bulan untuk meraikan kedudukan dan mar­tabat bahasa kebangsaan tanah air, bahasa Melayu. Apakah kita tahu atau mahu mengambil tahu? Apakah kita terlibat dalam program­nya atau menganjur program dan aktiviti untuk bersama menunjukkan semangat mempertahankan kedaulatan bahasa Melayu?

Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) yang sebelum ini dikenali sebagai Minggu Bahasa Kebangsaan dan Bulan Bahasa Kebangsaan yang kemudiannya dijenamakan sebagai Gerakan Cintai Bahasa Kita (1987-1996), Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta (1996-2005) dan Ming­gu Sastera (1987-1998) manakala pada 1999, dinamakan sebagai Bulan Bahasa dan Sastera Negara; dan mulai 2009 ia dinamakan sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan yang adalah usaha berterusan pihak kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan menzahirkan kesedaran terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kebangsaan.

Sejak 1960-an lagi, ia sudah bergerak sebagai acara tahunan dan tahun ini bertemakan Bahasa Jiwa Bangsa. Di manakah bahasa ini sebagai jiwa bangsa 32 tahun dari sekarang tatkala kita merentasi 2050. Maruah bahasa Melayu tidak boleh dikompromi, dijual beli atau ‘diperkosa’ oleh mana-mana pihak kerana ia adalah penanda ­kesepaduan sosial negara ini yang menjadi kekuatan alat komunikasi.

Hasrat mengangkat kedudukan bangsa Malaysia berprinsipkan tiga nilai iaitu fasih berbahasa Malaysia, menjunjung ketinggian Perlembagaan dan bangga menjadi warga Malaysia seolah-olah tidak kesampaian memandangkan ia juga adalah antara agenda Wawasan 2020 ketika dilancarkan pada 1991.

Dua tahun lagi kita sepatutnya sudah mencapai keinginan itu namun saban hari yang kelihatan adalah kerapuhan dalam mempertahankan dan menjunjung kedudukan bahasa Melayu walaupun barisan kepimpinan negara me­rasa bertanggungjawab untuk memartabatkan kedudukan bahasa kita khususnya di dalam pelan Hala Tuju Pendidikan 2016-2025 yang menekankan elemen pembudayaan bahasa Melayu ke arah pembentukan negara bangsa ini.

Dilemanya siapakah yang bertanggungjawab untuk membina dan membela kedaulatan identiti bangsa Malaysia ini termasuk di sekolah-sekolah dan institusi lain? Harkat bahasa Malaysia adalah pada kesemua yang menamakan diri mereka sebagai warga Malaysia.

Ia bermula di rumah. Berstrukturkan kekuatan benteng nasionalisme dan patriotisme, mana-mana institusi kekeluargaan mesti mengutamakan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu. Begitu juga sekolah perlu bersama-sama membimbing, menyemai, mendidik dan menyuburkan pembudayaan bahasa Melayu sehingga menjadi amalan dan bukan tatapan kelulusan peperiksaan semata-mata.

Media turut mempunyai pengaruh kuat termasuk media percetakan dan media elektronik. Sebahagian sektor swasta yang mengagungkan bahasa lain perlu diminta menghormati bahasa Malaysia dan didesak menggunakannya secara meluas. Begitu juga dalam sebahagian mesyuarat rasmi dan program sektor awam yang perlahan-lahan cenderung menghala secara songsang walaupun di luaran menyatakan sokongan ke atas memartabatkan bahasa Melayu tetapi apa yang berlaku sebaliknya.

Saya amat berterima kasih kepada ayah yang tidak pernah jemu memberikan didikan bahasa Melayu. Ibu pula tidak pernah bersekolah tetapi mempelajari bahasa Melayu melalui proses sosialisasi persekitaran sehingga mampu bertutur dengan selesa hari ini. Surat khabar berbahasa Malaysia wajib dibeli setiap hari sehingga menjadi alat mendalami penguasaannya. Anggota keluarga enam beradik tidak pernah ditegah berbual dalam bahasa Me­layu di rumah malahan mendengar lagu-lagu bahasa Melayu sudah menjadi kelaziman di corong radio dan program di televisyen rumah.

Jika pekerja asing seperti Nepal, Myanmar, Bangladesh, Vietnam, China dan Indonesia boleh kuasai bahasa kita, mengapakah kita masih gagal dan kekok malahan memperlekehkan usaha beberapa pihak yang bertungkus-lumus memperbaiki persepsi ke atas bahasa ini termasuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Tidak perlu berbahasa Indonesia atau menggunakan bahasa pasar dengan warga asing malahan warga Malaysia sendiri mesti menggunakan dengan penyebutan dan pertuturan yang betul agar kepetahan masyarakat menjadi ikutan. Jika dialek negeri masing-masing mampu untuk dikuasai, mengapakah tidak boleh dengan bahasa kebangsaan, bahasa Malaysia?

Saya, anda dan kita bertanggungjawab bersama untuk mendaulatkan Akta 152 dan seterusnya menjadikan ia sebagai bahasa pilihan utama diri masing-masing.

PROFESOR DR. SIVAMURUGAN PANDIAN dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM).