Namun ketika menghadiri Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 2 November lalu, penulis merasakan dibawa oleh satu keadaan yang amat berbeza iaitu ketika baginda Sultan menyampaikan titah ucapan pada pagi itu.

Titah ucapan baginda dimulai dengan menzahirkan kebesaran Ilahi, rahmat dan ihsan-Nya yang “Memungkinkan hamba-Mu menyambut ulang tahun hari keputeraan yang ke-62”. Ketika titah ucapan itu disampaikan, tiada suara sekecil mana sekali pun yang terdengar, kerana para hadirin sekalian berada dalam suasana yang hening sekali, malah baginda sendiri ketika menyampaikan titah ucapan itu ternyata telah melafazkannya dalam nada yang amat khusyuk, yang menyelinap masuk ke dalam hati nurani dan akal pemikiran semua hadirin.

Inilah sebenarnya satu manifestasi kekuatan rohani dan jasmani bangsa Melayu dan institusi raja-raja Melayu sejak berzaman, ketika Islam menjelma di tanah Melayu, membawa wadah suci dari Allah SWT.

Titah permulaan yang dimulai dengan doa restu dan syukur kepada Allah itu, kemudiannya diikuti ungkapan memohon hidayah yang lebih besar lagi dari Pencipta yang esa, kerana dari hidayat yang sedikit yang diberikan selama ini, baginda telah dapat menyempurnakan “Sebaik mungkin amanah dan tanggung jawab sebagai hamba seorang Amirulmukminin”

Doa baginda seterusnya ialah dengan lafaz “Dipohonkan petunjuk daripada Mu jua, Ya Allah, agar hamba-Mu diperlengkap dengan para wazir, pembesar, ulama dan umarak yang bersifat amanah lagi beriman, jujur lagi ikhlas, berilmu lagi berpengetahuan, berani menyembahkan seelok nasihat-secantik pandangan, agar hamba-Mu berupaya melaksanakan pemerintahan secara adil - secara saksama, berteraskan hukum - bersendikan adat”

Terbaca saya dalam sejarah kebangkitan para ulama di tanah air kita dan di alam Melayu umumnya, catatan yang menyatakan kandungan isi yang sama dengan titah ucapan hari keputeraan ini iaitu ketika lahirnya para mufti dan ulama Melayu di negeri-negeri Melayu, maka mufti itu sering mendengar nasihat dan kata-kata hikmah dari para Sultan, yang mungkin juga kelahiran Mufti Kerajaan Perak yang pertama iaitu Haji Wan Muhammad yang dicatatkan kelahirannya pada 1858M/1264H dan meninggal dunia pada 1929M di Bukit Chandan.

Mufti pada zaman itu sering memberi nasihat kepada Sultan dan Sultan pula sering juga bertanya dan menasihati para Mufti sendiri dalam urusan kehidupan dunia dan akhirat. Mufti inilah yang dicatatkan dalam sejarah Perak sebagai “Tok Ayah Perak kesayangan Sultan”, walaupun sebenarnya kajian lanjutan harus dilakukan untuk melihat dan mempelajari dengan lebih teliti lagi tentang fakta sejarah bagi perkembangan hubungan ulama dan pemerintah tertinggi negeri-negeri yang merupakan para Raja Melayu itu.

Dalam konteks lain ketika menzahirkan hubungan yang melambangkan citra mendaulatkan institusi Raja, baginda menegaskan “satu perlanjutan adat - satu kesinambungan budaya, kekalkan dihidupkan dalam era modenisasi, betapa keindahan adat, betapa kekayaan budaya, kukuh teranyam dalam tradisi bangsa, sekali gus mengekalkan identiti pemerintahan, negeri beraja, rakyat bersultan”

Hal ini tentunya memberi peringatan kepada rakyat dan kerajaan semasa yang terdiri dari kepelbagaian kaum dan agama agar menyedari betapa pentingnya menghayati falsafah dan budaya rakyat Malaysia bahawa negara mempunyai budaya dan tradisi asli yang seharusnya dihormati dan dihayati dengan sepenuhnya.

Negara yang memahami dan menyedari akan kewujudan budaya dan tradisi negara ini, tentunya akan memelihara budaya dan budaya murni rakyat dan Raja seperti sebelum ini.

Inilah antara secebis falsafah yang dizahirkan oleh baginda dan menjadi hikmat yang terbaik bagi rakyat kita dalam menyusun strategi dan agenda pembangunan serta perancangan negara dan bangsa untuk maju ke hadapan, yang ada ketikanya agenda yang diimport dari luar hanya merupakan racun yang berbisa serta berbahaya untuk kesepaduan bangsa negara ini sendiri.

DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (Integriti).