Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Hari jadi GST; Tanah rizab: Raja-raja mesti bersatu

HARI ini Cukai Barang dan Perkhidmatan atau lebih popular dipanggil GST mula berkuat kuasa. GST sudah mula diriuhkan oleh wira-wira papan kekunci sejak setahun lalu. Perbahasannya sudah bermula lebih awal lagi. Malah di saat-saat terakhir kelmarin masih ada yang gatal tangan cuba memanipulasi keadaan melalui media sosial.

Sama ada mereka terlalu jahil mengenai sistem percukaian itu atau cuba menimbulkan kebencian rakyat kepada pemerintah, saya tak tahu.

Antara yang gatal tangan itu dikenali sebagai Roslina, kononnya seorang guru. Begini bunyi catatannya: “Bismilah. Gara-gara GST yang akan dilaksanakan 1.4.2015, saya rasa perniagaan yang hampir 10 tahun saya lakukan dengan menyewa di KB Mall bakal kami tutup. Puncanya sewa kedai pun kami kena GST, supplier baju juga caj kami kena GST... takkan kami nak caj customer 12%... sewa kedai bukan makin turun, baru Januari 2015 naik RM300 sebulan, tambah pula dengan GST 6%. Kami peruncit yang tak layak claim GST... maka timbul perasaan sedih di hati kami... bukan bangsa lain yang mematikan perniagaan orang Melayu tetapi pe­mimpin Melayu kita sendiri. Terima kasih banyaklah wahai PM kesaya­ngan rakyat...”

Saya tidak tahu maksud penulis itu, adakah beliau ikhlas mahu menutup perniagaannya kerana GST atau cuba mahu berborak kosong. Pihak penguat kuasa Kastam atau KDNKK kenalah pergi bertemu dengan penulis itu dan interbiu dia, apa masalah beliau sehingga terpaksa menutup businesnya. Pihak penguat kuasa kenalah agresif dan proaktif, mulai hari ini.

Namun setelah tulisan itu menjadi viral dan bercambah-cambah di alam maya, Puan Roslina yang mungkin sudah gabra menghantar satu lagi catatan berbunyi: “Salam. Maaf apa yang saya post semalam telah diviralkan dengan cepat. Saya sekadar meluahkan pendapat. Jadi kepada yang telah share apa yang telah saya post tolong delete... segala yang baik datang dari Allah dan yang lemah datang dari kelemahan saya sendiri...”

Baguslah cikgu itu sedar daripada kelemahannya dan meminta maaf. Sepatutnya dia menghubungi dengan pihak berkuasa percukaian untuk bertanyakan masalahnya dan bukan membuat kenyataan sembe­rono begitu.

Satu lagi kes berlaku kepada kawan saya. Kelmarin beliau bergegas ke kedai buku di KLCC kerana mahu membeli buku bimbang nanti akan dikenakan cukai itu. Ternyata kefahamannya meleset kerana buku tidak dikenakan GST. Saya difahamkan lebih 2,000 barangan dikenakan ‘zero-rated’ atau dikecuali daripada GST.

Masih terlalu banyak kekeliruan mengenai sistem cukai itu. Selagi ia tidak dilaksanakan maka selagi itulah pelbagai tohmahan, spekulasi dan omongan akan kita dengari.

Hari ini ia sudah dilaksanakan. Kita berharap pihak penguatkuasaan dapat memantau dengan teliti pelaksanaannya.

Ingatlah kerajaan ini akan menjadi haru-biru sekiranya dibiarkan para peniaga memanipulasi keadaan. Pantau juga dengan pihak yang cuba mensabotaj dasar ini. Fasa ini amat penting di peringkat penguatkuasaan oleh Jabatan Kastam serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta oleh kita sendiri sebagai pengguna keseluruhannya.

Andaian saya mengenai GST ini mudah sahaja. Sistem percukaian ini sudah dilaksanakan di lebih 160 negara atau 3/4 negara-negara di seluruh dunia. Dan tiada pemimpin yang mahu meletakkan leherkan ke tali gantung jika sistem cukai ini menzalimi rakyatnya dan boleh menjahanamkan kerajaannya. Lebih-lebih lagi apabila semua yang dibuat sekarang ini serba tidak kena.

Peganglah kepada jaminan PM. “Tujuan sebenar kita laksanakan GST bukan untuk bebankan rakyat.” Namun yang pasti, selepas ini tiada lagi peniaga-peniaga besar (yang layak membayar cukai) boleh lari daripada tanggungjawab mereka. Selamat Hari Jadi GST!

Daulat Sultan Selangor

TITAH Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kelmarin yang mahu kerajaan baginda segera menggantikan semua tanah rizab Melayu yang dibatalkan sebelum ini, membuka mata kita sekali lagi.

Bunyi titah itu cukup jelas. Sebelum orang Melayu merempat di tanah sendiri seperti apa yang berlaku di Palestin sila pulangkan kembali tanah itu. Titah baginda lagi: Sebarang bentuk penggantian tanah baharu haruslah ‘serupa keadaannya’ dan mempunyai nilai pasaran yang kompetitif.

Maknanya, apabila orang Melayu dinyahkan dari kawasan ‘emas’ Datuk Keramat melalui projek Datum misalnya, mereka haruslah diberi tempat emas juga, bukannya dihantar jauh-jauh ke Serendah atau kawasan yang seumpama dengannya.

Adakah itu nasibnya orang Melayu akhirnya kerana saya bangsa yang sentiasa ‘tidak apalah’ sampai bila-bila? Bangsa yang terlalu baik hati dan pemurah. Bangsa yang berbudi bahasa.

“Wajar diingat,” titah baginda lagi “agar hak-hak orang Melayu dan bumiputera mesti dipertahankan termasuk jumlah keluasan tanah rizab Melayu selaras dengan Perkara 89, Fasal 3 Perlembagaan Persekutuan.”

Berdasarkan Laporan Audit Negara 2013 Siri 2 yang dikeluarkan pada Jun tahun lalu, setakat November 2013 sehingga Februari 2014, sebanyak 38.6 peratus atau 1,602.9 hektar tanah rizab yang dibatalkan status belum diganti di Selangor.

Saya amat tersentuh dengan titah al-Sultan itu. Malah pagi-pagi lagi seorang sahabat berpangkat Tan Sri menghubungi saya mahu berkongsi apa yang dititahkan oleh tuanku itu.

“Seluruh raja-raja Melayu harus menyusul titah Tuanku Sultan Selangor itu. Mereka harus bersatu. Ia adalah satu titah yang amat penting untuk kita orang Melayu,” katanya yang juga bekas seorang Menteri.

Mengikut perangkaan hanya tinggal 3.6 juta hektar atau 20 peratus daripada 12.8 juta hektar keseluruhan tanah rizab Melayu di Semenanjung dimiliki penuh oleh orang Melayu. Baki 9.2 juta hektar tanah rizab Melayu yang seharusnya menjadi milik orang Melayu bagaimanapun berjaya diperoleh orang bukan Melayu meskipun status tanah masih sebagai tanah rizab Melayu.

Seorang profesor pelawat UPM dan UiTM, Prof. Datuk Nik Mohd. Zain Nik Yusof yang membuat kajian mengenai soal ini dipetik berkata: “Perkara seumpama ini jika dibiarkan dibimbangi akan menyebabkan Malaysia menjadi seperti Palestin apabila tanah mereka dirampas tanpa sebarang undang-undang oleh Israel.”

Nik Mohd. Zain yang juga bekas Ketua Pengarah Pejabat Tanah dan Galian berkata, isu tanah rizab Melayu tidak akan selesai tanpa campur tangan pentadbiran negara memandangkan kerajaan negeri dilihat tidak bersungguh-sungguh memperjuangkan hak orang Melayu.

“Saya berkata benar, saya pernah bercakap sendiri dengan dua Menteri Besar meminta mereka mempertahankan tanah rezab Melayu tetapi respons mereka mengecewakan. Mereka tidak berminat untuk menggantikan kepada orang Melayu kerana nilainya yang rendah berbanding dijual kepada orang bukan Melayu,” katanya di Forum Isu Tanah Rizab Melayu anjuran Biro Pemantauan dan Integriti Perkasa dan Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac) Oktober 2014.

Melihatkan senario ini teringat kata-kata Tun Dr. Mahathir Mohamad satu ketika itu dahulu (2002): “Katalah kita ambil Kuala Lumpur, semua yang milik Cina kita keluarkan termasuk rumah dan bangunan mereka, apa yang tinggal... Kampung Baru... itu saja.

Selepas 44 tahun merdeka kita cuma ada tempat di Kampung Baru saja. Yang ada bangunan tinggi-tinggi pun milik agensi kerajaan. Cuba fikirkan tentang itu.” Fikir-fikirkanlah...

Artikel Berkaitan
Video Terkini
Video Pilihan
Artikel Lain