Kami wartawan Malaysia, selepas melalui pemeriksaan ketat ditempatkan di bilik media The James S. Brady Press Briefing Room. Bilik ini tidaklah besar seperti yang dilihat dalam televisyen atau filem.

Tanpa diduga tidak seperti maklumat dalam taklimat pegawai protokol White House, wartawan Malaysia dibenarkan untuk masuk ke Cabinet Room semasa mesyuarat delegasi Malaysia-AS sedang berjalan. Sesi ini kebiasaannya hanya untuk mengambil gambar sahaja.

Memasuki bilik di West Wing yang boleh memuatkan kira-kira 30 orang itu memberi pengalaman berbeza. Bilik mesyuarat untuk Kabinet Trump itu juga tidaklah besar. Kami bersesak-sesak bersama-sama wartawan White House untuk mendapatkan sudut terbaik.

Masing-masing segera mengeluarkan perkakasan untuk merakam pertemuan bersejarah itu. Semuanya ada di depan mata - duduk bertentangan di meja bujur itu ialah delegasi Trump dan Najib.

Trump yang membuka ucapan. Mesyuarat delegasi ini diadakan sejurus selepas mesyuarat terhad (1 + 1) kedua-dua pemimpin negara. Daripada bahasa badan Trump, terasa kemesraan itu.

Sungguh, begitu sekali penghargaan dan penghormatan negara kuasa besar itu terhadap Malaysia. Berulang kali beliau menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada Malaysia.

"Ada apa-apa yang anda mahu katakan," sambil Trump dengan mesra mempersilakan Najib untuk bercakap.

Tanpa teks Najjib tepat memandang Trump dan terus menyatakan tiga cadangan khusus yang dibawa Malaysia. Lancar dan penuh yakin dalam bahasa diplomatik yang berterus-terang.

Tidak terlihat perbezaan darjat antara dua negara ini walaupun AS dari sudut ekonomi begitu jauh berbanding Malaysia.

Mesej yang mahu Najib sampaikan jelas. Malaysia dan AS itu relatifnya setanding. Jika 60 tahun dahulu semasa hubungan diplomatik baru bermula Malaysia mengeksport bijih timah dan getah, kini Malaysia juga mampu mengeksport modal. ' Sama seperti yang dilakukan AS berdekad-dekad lamanya ke atas Malaysia.

Bersaksikan puluhan kamera dan telefon bimbit untuk mengambil video dan gambar, Najib tanpa ragu-ragu memperlihatkan kemahiran diplomasi beliau.

Positif

Selepas kedua-dua pemimpin membuat kenyataan awal, wartawan diminta keluar untuk mesyuarat diteruskan. Sejak dari awal ketibaan Najib, bahasa badan kedua-dua pemimpin ini menunjukkan mereka begitu serasi.

Trump bahkan sanggup melanggar protokol White House dengan menghantar pulang Najib sehingga ke muka pintu. Dalam banyak majlis, Trump sering merujuk Najib sebagai rakan peribadinya.

Lawatan ke White House ini berakhir kira-kira 50 minit. Menteri dan diplomat yang mengiringi lawatan ini memberikan reaksi bangga dengan pertemuan itu. Positif, mesra dan berimpak tinggi, itu antara komen segera mereka.

Sejak hari pertama lawatan tiga hari ke AS - bertemu pelajar dan diaspora, ke White House, bersama pemimpin korporat, pemikir dan ahli perniagaan serta ahli senat - semuanya berjalan dengan lancar.

Reaksi khalayak juga positif tidak seperti gambaran media elit tempatan yang lebih suka Najib tidak menjejakkan kaki ke AS apatah lagi White House. Tidak juga seperti gambaran direka-reka oleh sekumpulan politikus pembangkang.

Selepas apa yang dilakukan Najib di AS ini, ternyata mereka sekali lagi gagal. Tetapi mereka - media elit dan politikus pembangkang tidak akan berhenti untuk melakukan putar belit.

Mereka sentiasa bersiap sedia dengan kuda-kuda dan jurus untuk melemahkan pentadbiran Najib termasuk melakukan pukulan curi. Sejak berminggu-minggu mereka telah mencuba untuk menggagalkan lawatan ini.

Senjata mereka adalah fitnah, fakta separuh benar dan tidak berpijak di bumi nyata. Mereka sengaja mengenepikan realiti kerana itu bermakna kalah dalam perang persepsi yang mereka sendiri cipta.

Antara yang berbangga ialah Duta Besar Malaysia ke AS, Tan Sri Zulhasnan Rafique. Walaupun baru lapan bulan di Washington tetapi sentiasa mendapat peluang untuk bertemu Trump.

Pada 24 Ogos lalu, Zulhasnan bersama Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin bertemu Trump di Oval Office. Pertemuan itu secara kebetulan apabila Trump memanggil mereka sebaik mengetahui wakil Malaysia berada di White House.

Trump mahu merakamkan penghargaan atas bantuan Malaysia dalam operasi mencari dan menyelamat kapal Tentera Laut AS yang bertembung dengan kapal dagang di Selat Melaka. Trump juga menyatakan rasa teruja untuk bertemu Najib.

Gambar Trump yang diapit Zulhasnan dan Zulkifeli kemudiannya dihebahkan oleh White House. Banyak yang boleh dibaca apabila gambar di Oval Office seperti ini disebarkan oleh pusat pentadbiran AS itu.

"Saya tersentuh dengan layanan Trump dan pentadbirannya. Sangat terasa keakraban itu," kata Zulhasnan yang merupakan antara individu penting menjayakan lawatan tiga hari Najib ke Washington.

Seorang daripada peserta forum perniagaan selepas mendengar cerita Malaysia daripada Najib berkata; "Jika ini kualiti yang ada pada pemimpin anda, saya yakin negara anda akan dapat pergi lebih jauh lagi,"

Mereka yang mengikuti lawatan Najib kali ini dapat merasakannya. Diplomasi dan wibawa Najib berada dalam kelas tersendiri.

Realitinya, selepas interaksi dengan pelbagai kalangan, berbeza dengan gambaran pembangkang dan media elit AS, Najiblah yang membuatkan Malaysia negara dihormati dan dibanggakan. Inilah kesan ketara yang dapat dirasakan dalam lawatan kali ini.