Luahan itu membuka mata ramai bahawa pengorbanan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajar dihargai, bukannya dicurigai.

Dengan bertukarnya kerajaan yang memerintah Malaysia, ia turut menyaksikan SPR telah memainkan peranannya dengan telus dan adil menerusi pilihan raya yang dikendalikan oleh lebih 259,000 orang sukarelawan yang dilantik dalam kalangan orang awam. Malah turut membabitkan lebih 200,000 ejen calon yang dilantik oleh calon parti-parti bertanding.

Barangkali ramai yang mungkin terlupa untuk memberi penghargaan atau mengucapkan terima kasih kepada petugas pilihan raya yang menjadi tulang belakang dalam memastikan amalan demokrasi terlaksana dengan teratur.

Mereka yang dimaksudkan adalah kakitangan SPR, anggota polis dan semua sukarelawan yang telah berkorban tenaga dan segalanya dalam memastikan PRU-14 berlangsung dengan adil dan lancar. Tanpa pengorbanan mereka ini sudah pasti proses PRU-14 tidak dapat dijalankan dengan sempurna.

Pada PRU-14, 9 Mei lalu lebih 259,000 sukarelawan pilihan raya terdiri daripada pelbagai pihak seperti penjawat awam yang kebanyakannya guru sekolah, kakitangan pejabat daerah, pihak berkuasa tempatan (PBT), pekerja swasta, mahasiswa, suri rumah dan sebagainya telah berkorban usaha dengan bertugas lebih 24 jam tanpa henti.

Mereka bertugas seawal pukul 5 pagi lagi hinggalah keesokannya tanpa rehat demi menyempurnakan tanggungjawab penting kepada nasib dan masa depan negara.

Namun, penat lelah mereka itu bukan sahaja tidak dihargai malah ada yang mencaci dan mencemuhnya dengan pelbagai kata nista serta membuat tuduhan tanpa asas kebenaran. Sekurang-kurangnya hargailah dan berterima kasihlah kepada mereka atas pengorbanan yang dilakukan.

Walaupun terdapat beberapa kelemahan dalam pengendalian pilihan raya kali ini, perkara itu bukan alasan untuk kita meni­dakkan pengorbanan besar yang dilakukan oleh petugas SPR dan semua sukarelawan pilihan raya yang telah berusaha segalanya untuk memastikan semua pe­ngundi dapat menjalankan tanggungjawab demokrasi mereka dengan lancar.

Walaupun terpaksa menghadapi cabaran dan pelbagai kerenah oleh pengundi dan juga ejen-ejen parti yang dilantik, semua petugas pilihan raya PRU-14 tetap komited menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan tanpa mengira penat dan risau akan keselamatan diri masing-masing.

Ada sesetengah keadaan mereka turut diancam oleh penyokong-penyokong parti yang fanatik terutama semasa dalam perjalanan untuk membawa peti undi yang telah dikira ke pusat penjumlahan rasmi undi.

Terdapat laporan beberapa pasukan petugas turut diancam dan ken­deraan mereka dipecahkan kerana sikap prejudis penyokong parti kononnya mereka cuba me­larikan peti undi atau cuba membawa peti undi tambahan.

Inilah harga yang perlu ditanggung oleh petugas SPR dan sukarelawan pilihan raya terhadap segala pengorbanan mereka itu ekoran sikap curiga melampau akibat terlalu mempercayai tular palsu di media sosial.

Pada hari pengundian dan malam pengumuman keputusan dilaporkan terdapat beberapa kacau ganggu dilakukan terhadap petugas-petugas pilihan raya yang dalam perjalanan untuk membawa kotak-kotak undi ke pusat penjumlahan rasmi undi. Kenderaan mereka ditahan dan kotak-kotak undi dirampas serta dipecahkan atau dibawa lari, ko­nonnya mereka membawa kotak undi hantu.

Kesan daripada tindakan tidak rasional segelintir penyokong fanatik menyebabkan usaha petugas pilihan raya untuk menye­rahkan keputusan pengiraan undi dari pusat mengundi tergendala. Ini seterusnya mengakibatkan keputusan rasmi lambat dikeluarkan kerana penjumlahan rasmi tidak dapat dijalankan.

Banyak pihak yang tidak berpuas hati dengan SPR atas kelewatannya mengumumkan keputusan rasmi PRU-14. Namun kita semua tidak mengetahui apa sebaliknya yang berlaku sehingga menyebabkan berlaku kelewatan itu.

Mengendalikan PRU-14 yang berskala besar melibatkan lebih 259,000 petugas dalam kalangan orang awam bukanlah satu perkara yang mudah kerana melibatkan sentimen dan emosi rakyat. Kebanyakan petugas juga ramai yang pertama kali dilantik untuk menjalankan amanah itu. Jadi, tidak hairan jika terdapat sedikit sebanyak kesilapan walaupun telah dilatih.

Peranan media sosial pada hari mengundi juga memainkan peranan besar dalam menghuru-harakan persepsi rakyat dengan mewujudkan banyak mesej palsu yang ditularkan sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kala­ngan rakyat termasuk keputusan tidak rasmi dan sebagainya.

PRU-14 menyaksikan suatu fenomena yang luar biasa apabila pengundi berduyun-duyun keluar mengundi sejak awal pagi sehingga menyebabkan berlaku kesesakan di kebanyakan pusat mengundi. Ini menyebabkan pengundi berbaris panjang untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

Fenomena itu seolah-olah wujud satu kesedaran dan semangat baharu yang melonjak pengundi keluar mengundi walaupun hari pengundian diadakan pada pertengahan minggu iaitu Rabu, 9 Mei 2018.

Rekod jumlah pemilih yang keluar mengundi pada hari tersebut ialah 12,299,514 pengundi dan jumlah itu mewakili 82.3 peratus daripada jumlah keseluruhan pemilih yang layak iaitu sebanyak 14,940,624 orang.

Jumlah tersebut tidak me­ngambil kira ramai lagi pengundi yang tidak sempat mengundi pada hari berkenaan kerana tidak dibenarkan masuk untuk mengundi disebabkan waktu pe­ngundian telah tamat pada pukul 5 petang seperti mana diwartakan.

Manifestasi jutaan rakyat atau pengundi yang keluar mengundi pada 9 Mei lalu harus diterjemahkan oleh kerajaan dan seluruh wakil rakyat yang telah dipilih. Kini masa untuk mereka bekerja dan menunaikan segala manifesto yang dijanjikan kepada rakyat semasa pilihan raya.