Perjuangan pahlawan negara menentang kezaliman komunis atau Parti Komunis Malaya (PKM) ketika zaman darurat di Tanah Melayu pada 1948 hingga 1960 misalnya menyaksikan lebih 12,700 anggota pasukan keselamatan dan orang awam dibunuh. Puluhan ribu lagi yang cedera selain rumah-rumah dibakar oleh pengganas komunis.

Pengorbanan seseorang pahlawan amat disanjung tinggi lebih-lebih lagi hayat mereka berakhir dengan mati syahid. Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu: orang mati bahkan mereka itu orang yang hidup (de­ngan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya. (al-Baqarah: 154). Ayat ini menjelaskan bahawa umat Islam yang berjihad pada jalan Allah SWT lalu terbunuh, maka tidak dianggap ‘mati’, mereka tetap hidup dengan penuh kehormatan di sisi Allah SWT.

Bagi menghargai jasa para pahlawan diadakan sambutan Hari Pahlawan yang menjadi tradisi pada 31 Julai setiap tahun. Ia selaras dengan tamatnya darurat menentang komunis pada Julai 1960. Ia juga sebagai platform bagi mensyukuri keamanan yang dikecapi negara sehingga membolehkan pembangunan dilakukan tanpa ancaman daripada anasir-anasir tidak bertanggungjawab.

Serentak dengan itu, Kementerian Pertahanan dengan kerjasama Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) melancarkan kempen Tabung Pahlawan 2018. Ia bagi mengumpul dana membantu bekas anggota tentera yang kurang bernasib baik, balu serta anggota perkhidmatan lain yang memerlukan.

Statistik Jabatan Perangkaan menganggarkan jumlah penduduk Malaysia berjumlah 32.4 juta orang pada 2018. Kita tolaklah separuh daripada angka itu sebagai kanak-kanak, maka masih ada kira-kira 16 juta penduduk. Jika setiap seorang menderma RM1 maka tabung pahlawan dengan mudah mencecah RM16 juta kutipan setahun.

Bagaimanapun, sambutan terhadap tabung yang saban tahun diadakan itu kurang memuaskan. Walaupun dilancarkan di seluruh negara, tahun lalu ia hanya mengumpul RM3.15 juta. Angka kutipannya jauh lebih rendah pada 2016 iaitu RM1.9 juta. Tahun ini, kementerian sasarkan kutipan RM5 juta sehingga 31 Disember. Setakat ini sebanyak RM1.65 juta diterima tetapi itu pun daripada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan tujuh syarikat tempatan. Persoalannya, ke mana perginya syarikat gergasi dan syarikat milik kerajaan (GLC) lain. Amat mendukacitakan apabila banyak pihak seolah-olah membutakan mata dan memekakkan telinga terhadap usaha mengumpul dana tabung pahlawan. Namun dalam masa sama, boleh pula menaja atau menyumbang puluhan juta ringgit untuk siaran langsung Piala Dunia 2018 dan sebagainya.

Jumlah veteran ATM dianggarkan adalah 450,000 dengan purata 5,000 anggota tetap ATM meninggalkan perkhidmatan setiap tahun. Pastinya, dengan peningkatan usia maka tahap kesihatan makin merosot. Ini tidak termasuk pesara PDRM dan anggota keselamatan lain. Justeru ia memerlukan kepada sumber kewangan untuk mendapatkan rawatan kesihatan dan wang hasil tabung pahlawan inilah antara yang membantu meringankan beban kebajikan mereka selain kos perubatan yang ditanggung oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).

Apalah salahnya kita hulurkan sumbangan mengikut kemampuan sebagai penghargaan pahlawan negara yang sebahagian mereka bersengkang mata dan terpaksa berjauhan dengan keluarga demi tugas kepada ibu pertiwi. Sumbangan mereka dalam mempertahan keamanan negara amat besar dan tidak terbalas dengan wang ringgit.

Tanpa pengorbanan mereka, tidak mungkin kita nikmati keamanan hari ini. Dalam masa sama, marilah kita mendoakan pahlawan negara yang telah menghadap ilahi agar roh mereka mendapat rahmat dan keampunan. Bagi yang masih gagah mengibarkan panji-panji perjuangan kita doakan mereka sentiasa istiqamah mempertahankan setiap inci tanah air kita.