Walaupun ketiga-tiga negara ini mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi, tetapi oleh kerana perjalanan sejarah kemerdekaan yang agak berbeza maka agak mudah difahami mengapa definisi demokrasi setiap negara wujud sedikit perbezaan tetapi tidaklah begitu ketara sangat.

Tetapi menariknya adalah ketiga-tiga negara jiran ini menyambut hari kemerdekaan dalam bulan yang sama iaitu Ogos yang didahului oleh Singapura pada 9 Ogos dan diikuti oleh Indonesia pada 17 Ogos dan diakhiri Malaysia pada 31 Ogos.

Menjadi lebih menarik apabila naratif hari bersejarah tersebut berbeza antara satu sama lain yang mana Singapura mengguna terma Hari Kebangsaan sementara Indonesia pula Hari Kemerdekaan manakala Malaysia pula jika sebelum ini mengguna ungkapan Hari Kemerdekaan tetapi untuk 2018 digunakan Hari Kebangsaan.

Walau apa sekali pun naratif berbeza yang digunakan untuk sambutan hari bersejarah itu, matlamat memperingati hari tersebut adalah serupa iaitu untuk memupuk semangat cintakan negara dan menghargai kedaulatan dan kemerdekaan negara.

Sebab itu apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald J. Trump buat julung kali menghadiri sambutan Hari Kebangsaan Perancis yang dinamakan Hari Bastille bersama-sama dengan Presiden Emmanuel Macron, beliau amat terpegun dengan perarakan ter­utama sekali yang melibatkan aset tentera Perancis.

Bukannya AS ketandusan perarakan yang mempamerkan kehebatan tentera mereka tetapi menurut Trump perarakan yang melibatkan tentera pada sambutan hari kemerdekaan AS setiap 4 Julai mampu mempertingkatkan semangat patriotisme rakyat Amerika. Walaupun arahan telah dikeluarkan oleh Trump kepada Pentagon untuk melaksanakan perarakan ala Hari Bastille, tetapi hasrat Presiden AS itu tidak mampu ditunaikan tahun ini kerana kekangan peruntukan kewangan.

Sebab itu begitu kritikal sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan diikuti pula dengan sambutan Hari Malaysia pada 16 September disertai oleh semua lapisan rakyat tanpa mengira perbezaan bangsa, agama dan paling penting ideologi politik. Rakyat Malaysia sebenarnya telah mempamerkan kematangan berpolitik pada 9 Mei lalu apabila pertukaran kerajaan walaupun dianggap sebagai drastik tetapi telah berjalan dengan aman dan lancar.

Kematangan sekali lagi ditagih dan kali ini untuk kepentingan kedaulatan negara kerana jika sambutan Hari Kebangsaan hanya disertai oleh kumpulan tertentu sahaja maka matlamat sambutan sudah pasti tidak akan tercapai. Menarik juga jika ditinjau ucapan Hari Kebangsaan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, dua minggu lalu bukan sahaja kerana beliau berucap dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Mandarin dan Inggeris tetapi kandungan ucapan beliau tidak menyentuh hal ehwal politik tempatan.

Tetapi apabila Hsien Loong me­nyentuh mengenai hubungan Singapura dan negara jiran seperti Malaysia dan Indonesia, ucapan beliau banyak berkisar kepada prinsip mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan republik itu. Begitu pintar sekali Hsien Loong menggunakan ucapan Hari Kebang­saan untuk meningkatkan se­­mangat cintakan negara tanpa menyisihkan kumpulan yang mempunyai pegangan politik yang berlainan dengan kerajaan memerintah.

Begitu jua dengan pesanan Pre­siden Joko Widodo sempena Hari Kemerdekaan Indonesia minggu lepas, beliau mengajak rakyatnya bersatu demi menjadikan Indonesia lebih kuat dan disegani negara lain.

“Kita merayakan Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-73 Republik Indonesia hari ini, seraya mengingat kembali semangat persatuan Indonesia yang telah dibuktikan oleh para pendiri, perintis, dan pejuang bangsa. Saat itu, mereka menyingkirkan perbezaan politik, suku, agama atau golongan demi mewujudkan Indonesia Merdeka,” pesan Widodo lagi yang lebih dikenali sebagai Jokowi.

Jelas sekali, bagaimana pemimpin Singapura dan Indonesia bijak menggunakan suasana Hari Kebangsaan dan Kemerdekaan dengan mengajak semua lapisan masyarakat demi memupuk rasa cinta dan mempertahankan kedaulatan negara. Perbezaan ideologi politik tidak dianggap sebagai batu penghalang malah dijadikan pemangkin penyatuan.

Tidak keterlaluan jika diandai­kan Singapura dan Indonesia mem­punyai rakyat yang mempunyai semangat patriotik yang agak tinggi. Kemungkinan ada pihak yang membuat telahan semangat luar biasa ini timbul kerana pemerintah negara jiran Malaysia bijak mengatur strategi seolah-olah ne­ga­ra mereka perlu sentiasa berwas­pada. Tetapi satu hakikat yang sukar ditolak ialah pada setiap sam­butan Hari Kebangsaan dan Ke­­merdekaan, rakyat Singapura dan Indonesia bersama-sama menyertainya dengan penuh ikhlas tanpa ada unsur paksaan atau berpura-pura.

Rakyat Malaysia harus mempamerkan rasa kesyukuran dengan kemakmuran negara yang dikecapi bukan sahaja pada Hari Kebangsaan tetapi juga pada sambutan Hari Malaysia. Uniknya kita mempunyai dua acara sambutan yang berkait dengan kemerdekaan dan kedaulatan negara dan tidak seperti Britain yang tidak mempunyai satu kaedah untuk rakyat mereka mempamerkan semangat patriotisme kerana negara tersebut tidak mempunyai sambutan Hari Kemerdekaan atau pun sambutan yang selari dengan kedaulatan sesebuah negara. Sebab itu, hargailah sejarah kemerdekaan negara.