Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

SEORANG teman merungut tentang sikap kakitangan wanita yang memerah susu di atas sejadah di surau pejabat. Katanya cara ibu muda berkenaan tidak wajar kerana sejadah sama turut digunakan jemaah wanita lain untuk bersolat.

Saya faham maksud yang cuba disampaikan teman itu kerana was-was dengan kesucian sejadah jika air susu terpercik di atasnya. Apa pula hukumnya jemaah wanita lain yang menggunakan sejadah sama?

Bagi saya, perkara itu boleh ditegur secara baik oleh teman berkenaan kepada ibu muda terbabit namun tidak pula dilakukannya. Takut atau segan, tidak pula dapat dipastikan.

Bukan niat saya mahu memalukan mana-mana pihak tetapi ada baiknya penulisan ini dapat memperbaiki keadaan sedia ada agar tidak terus mengundang rasa tidak selesa kakitangan lain.

Niat ibu-ibu bekerja mahu terus menyusukan bayi dengan susu badan adalah sangat mulia. Hakikatnya saya tabik dengan pengorbanan dan kegigihan mereka untuk memberikan yang terbaik buat permata hati tersayang.

Siapa pun tidak dapat menyangkal kebaikan susu ibu. Malah suatu ketika dahulu ‘promosi’ mengenainya hebat diadakan. Kini perkembangan semasa menunjukkan kesedaran memberi susu badan kepada bayi semakin mening­kat dalam kalangan wanita muda.

Salah satu faktor kejayaan penyusuan ibu adalah persekitaran yang menyokong. Namun sejauh mana sokongan majikan, keluarga dan masyarakat untuk sama-sama menjayakan hasrat kerajaan agar semua bayi diberi susu ibu?

Seperti didedahkan seorang konsultan susu ibu, ada segelintir ibu bekerja terpaksa menjadikan bilik stor, bawah meja dan dalam tandas sebagai alternatif ‘port’ mengepam susu, dan keadaan tidak bersih itu boleh menjejaskan kualiti susu.

Penghasilan susu ibu berkait rapat dengan emosi dan tahap stres. Masakan si ibu dapat memerah susu dalam keadaan tenang selama kira-kira 40 minit jika ada bos enggan berkompromi masa selain rakan sekerja yang tidak mahu bertolak ansur.

Sudahlah nak perah susu di pejabat susah, keengganan sesetengah pembantu taska dan tadika menerima perahan susu ibu dengan alasan leceh dari segi penyediaan berbanding susu formula pun satu hal yang boleh melunturkan semangat ibu terbabit.

Tekanan sedemikian boleh ‘membunuh’ semangat mereka untuk memerah susu dan menyusukan bayi lalu jalan paling mudah beralih kepada susu formula.

Untuk menjadi negara maju, sokongan memenuhi keperluan kebajikan pekerja-pekerja wanita amat penting memandangkan golongan itu mewakili lebih 50 peratus tenaga kerja di pasaran kini.

Jika selama ini kita hanya menggalakkan majikan menyediakan pusat jagaan kanak-kanak, apa kata kita wajibkan mereka pula selepas ini?

Malaysia harus mencontohi beberapa negara maju yang mana pekerja wanita diberi penghargaan sewajar­­n­ya kerana dianggap aset penting dalam sama-sama me­ningkatkan ekonomi negara.

Di Jerman misalnya memperuntukkan cuti bersalin maksimum terus sehingga tiga tahun, atau secara berse­lang seli sehingga usia anak mencecah lapan tahun namun kerjaya pekerja wanita mereka masih terjamin.

Di Amerika Syarikat, keutamaan mereka menyediakan persekitaran pekerja mesra keluarga iaitu kemudahan nurseri serta mengamalkan integrasi kehidupan bekerja untuk menarik lebih banyak penyertaan wanita.

Antaranya kebenaran waktu kerja anjal termasuk mengguna pakai kaedah job sharing dan pendekatan outcome based performance.

Sementara itu, sebarang cadangan bagi pelaksanaan mekanisme memberi peluang pekerja wanita profesional yang berhenti sementara daripada pekerjaan bagi melahirkan anak dan kembali bekerja setelah anak mereka membesar wajar dipertimbangkan.

Hakikatnya, bukan calang-calang wanita mampu memikul tanggungjawab sebagai isteri, ibu, pekerja dan anak. Mereka adalah insan yang melahirkan dan membesarkan anak iaitu pewaris negara, justeru tiba masanya pengorbanan mereka dihargai.

Berbalik kepada rungutan teman di surau pejabat itu, rasanya isu kecil sahaja, tak salah ditegur secara baik. Bak kata orang sekarang, apa-apa pm (private message) tepi.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain