Aidilfitri salah satu perayaan terpenting di negara ini yang bukan sahaja diraikan oleh masyarakat Islam tetapi juga oleh bukan Islam. Ini diserikan lagi dengan inisiatif kerajaan yang menganjurkan rumah terbuka.

Selain Hari Raya Aidilfitri, perayaan keagamaan lain juga diraikan dengan meriah dan harmoni di negara ini bagi membuktikan keterbukaan dan sikap saling menghormati yang wujud sebagai teras masyarakat majmuk di Malaysia. Langsung tidak timbul isu sekatan bagi penganut-penganut agama lain dalam menjalankan ritual mereka. Malah perayaan penting juga telah diberikan cuti umum bagi memberikan laluan agar setiap lapisan masyarakat dapat mengamalkan budaya kunjung-mengunjung di antara satu komuniti dengan yang lain.

Tambahan pula, rumah-rumah ibadat juga bebas ditubuhkan menurut peruntukan undang-undang.

Keunikan ini telah berupaya memetakan Malaysia sebagai sebuah negara model yang berjaya dalam aspek toleransi antara masyarakat. Senario ini mungkin berbeza sekiranya sesebuah negara itu tidak mengamalkan kebebasan beragama atau hanya membenarkan agama tertentu sahaja diamalkan mahupun jika negara itu mempunyai sikap diskriminasi sehingga satu komuniti agama ditindas.

Contohnya di India dan China di mana masyarakat Islam semakin dirundung malang dengan sikap pentadbiran yang menganaktirikan hak beragama mereka.

Kebebasan beragama bukanlah sesuatu konsep asing. Di pe­ringkat antarabangsa terdapat instrumen antarabangsa seperti Pengisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR 1948) dan Waad Antarabangsa Berkaitan Hak Sivil dan Politik 1996 (ICCPR 1966) yang memperuntukkan kebebasan untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing.

Namun harus diingatkan bahawa sebarang instrumen antarabangsa hanyalah terpakai selagi mana ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, selari dengan Perkara 4 yang meletakkan ketinggian Perlembagaan Persekutuan.

Dalam hal kebebasan beragama, peruntukan antarabangsa digarap ke dalam Perkara 11 yang memperuntukkan: “Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.” Peruntukkan ini jelas menjamin hak beragama dan mengamalkan ritual mengikut kepercayaan masing-masing.

Seperti peruntukkan lain di dalam Bahagian II, kebebasan adalah tidak mutlak dan tertakluk kepada sekatan-sekatan tertentu. Sekatan-sekatan ini boleh dilihat dalam Fasal 4 dan 5 dalam Perkara 11. Di bawah Fasal (4), terdapat sekatan ke atas penyebaran agama atau doktrin keagamaan terhadap orang Islam. Perkara 11(4) juga memberikan kuasa kepada Dewan Undangan Negeri dan Parlimen untuk menggubal undang-undang yang bersesuaian bagi mengawal penyebaran agama kepada orang Islam.

Penulis percaya kewujudan peruntukan ini adalah selari dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan di bawah Perkara 3 yang membenarkan agama lain diamalkan di samping agama Islam selagi mana amalan adalah dalam keadaan aman dan harmoni.

Di bawah Perkara 11(5) pula, kebebasan beragama juga boleh disekat sekiranya ia berlawanan dengan apa-apa undang-undang am berhubung dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau moraliti. Pemakaian sekatan ini boleh dilihat dalam beberapa kes seperti kes Hajjah Halimatussaadiah Kamaruddin v Public Services Commission Malaysia & Anor, bilamana Mahkamah telah memutuskan bahawa larangan Responden ke atas pemakaian purdah tidak mencabul hak Pemohon di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Merujuk kepada Perkara 11(3) pula, Perlembagaan memberikan hak kepada kumpulan agama untuk menguruskan urusan aga­manya, menubuhkan dan memelihara institusi keagamaan atau kebajikan dan untuk mempunyai harta dan mentadbirnya mengikut undang-undang.

Peruntukan ini jelas menunjukkan ruang dan peluang yang diberikan oleh Perlembagaan Per­sekutuan berkaitan dengan urusan keagamaan.

Bagaimanapun diakui isu kebebasan beragama ini masih menjadi perdebatan serta perbahasan. Masih terdapat lagi kekeliruan apabila instrumen antarabangsa atau amalan-amalan negara lain kerap dirujuk seolah-olah ia telah menjadi undang-undang dalam negara. Perlu diingatkan Perlembagaan Persekutuan haruslah dijadikan sumber rujukan utama undang-undang tertinggi negara.

Perlu diamati bahawa keharmonian dalam beragama ha­nya boleh dipelihara sekiranya masyarakat mengekalkan toleransi dan tolak ansur.

Sikap ini boleh bercambah sekiranya masyarakat rajin menelaah dan memahami Perlembagaan Persekutuan secara keseluruhan termasuklah menghargai semangat sebenar Perlembagaan Persekutuan. Hanya dengan ini, pelbagai agama dapat diamalkan dalam keadaan harmoni tanpa menidakkan sifat eksklusif yang ada dalam setiap agama itu.

Malaysia tidak sesekali boleh membiarkan pelampau mana-mana agama merentap kebebasan ini dengan momokan ideologi ma­sing-masing yang memesongkan naratif kebangsaan.

Toleransi masyarakat yang telah kita warisi sejak zaman berzaman haruslah diawasi bagi membenarkan setiap komuniti menyambut perayaan-perayaan dalam keadaan aman dan damai. Selamat Hari Raya.

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).