Terbaharu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan program Jimat Belanja Dapur (JBD) peringkat kebangsaan yang dijuarai oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

JBD adalah program Sentuhan FAMA Di Hati Rakyat yang menawarkan harga pelbagai barangan dapur pada kadar lima hingga 20 peratus lebih rendah dari harga pasaran untuk memberi penjimatan kepada pengguna.

Program jualan ini dilaksanakan di 718 outlet jualan pasar tani, 426 AgroBazar Kedai Rakyat, 110 AgroBazar Rakyat 1Malaysia, enam MyFarm Outlet serta di program-program MyBest Buy di seluruh negara.

Diyakini program ini akan memberi manfaat besar kepada masyarakat di seluruh pelosok negara dan pastinya akan memberi kesan langsung dalam membantu mengurangkan perbelanjaan harian rakyat.

Program JBD adalah kesinambungan inisiatif kerajaan dalam membantu meringankan beban rakyat di mana sebelum ini kerajaan juga telah memperkenalkan dua program dan projek besar yang turut dilihat mula memberi kesan positif dan impak yang signifikan terhadap kehidupan dan kebajikan rakyat serta membantu menangani kenaikan kos sara hidup iaitu Program Jualan Sentuhan Rakyat (PJSR) dan juga projek Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0.

Kedua-dua projek ini dilihat mula mendapat sambutan yang menggalakkan dari seluruh kelompok masyarakat yang cukup terkesan dengan kenaikan kos sara hidup seharian.

PJSR adalah program yang mirip seperti JBD iaitu berkonsepkan jualan mega ‘mesra rakyat’ yang menawarkan harga barangan yang jauh lebih rendah berbanding harga pasaran. Program ini berlangsung di setiap kawasan Parlimen dalam usaha untuk mengurangkan beban dan kos sara hidup rakyat di segenap pelosok negara di sam­ping sebagai usaha untuk mendorong peniaga menurun­kan harga barangan keperluan harian.

Antara pendekatan strategik yang membolehkan peniaga yang menyertai PJSR ini dapat menjual dengan harga yang lebih rendah adalah kerana pihak kementerian yang menganjurkan program ini tidak mengenakan bayaran atau sewa tapak.

Melalui program ini pihak kerajaan menyasarkan harga setiap produk yang dijual berada pada tahap lima hingga 20 peratus di bawah harga pasaran untuk memastikan kos sara hidup yang semakin meningkat dapat dikawal.

Dalam program ini makanan asas seperti ayam, telur ayam, beras dan daging boleh dibeli dengan harga yang sangat murah, misalnya harga beras Super 10 kilogram dalam PJSR adalah RM20 sekampit berbanding harga pasaran RM23.80.

Justeru, besarlah harapan kita agar program seperti JBD dan PJSR ini diadakan secara tetap dan berkala seperti dua kali sebulan atau lebih kerap di setiap kawasan Parlimen di seluruh negara supaya rakyat dapat menikmati manfaat dan faedahnya secara konsisten dan berterusan.

Kita yakin jika perkara ini dapat direalisasikan, hasrat kerajaan untuk mengekang dan mengawal peniaga yang degil dan tamak yang menaikkan harga sesuka hati dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Hal ini kerana jualan barangan keperluan asas dengan harga yang lebih rendah seperti ini pasti akan mempe­ngaruhi harga pasaran semasa. Dan sebagai penambahbaikan, kita mencadangkan pihak kerajaan menjalin kerjasama strategik dengan peniaga dan pasar raya besar untuk turut serta dalam program ini.

Kedai Rakyat 1Malaysia pula merupakan inisiatif kerajaan sejak 2011 untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat dan baru-baru ini pihak kerajaan telah melancarkan KR1M 2.0 versi yang telah distruktur semula dengan model baharu yang lebih terbuka, berdaya saing dan memberi peluang kepada lebih ramai pemilik perniagaan runcit untuk menyertainya.

Model baharu ini terdiri daripada tiga kategori iaitu, kategori pertama membabitkan konsep pasar raya iaitu melalui rangkaian pasar raya Tunas Manja Group (TMG), kategori kedua berkonsepkan convenience atau serbaneka khususnya di kawasan bandar seperti KK Super Mart yang terpilih manakala kategori ketiga melibatkan sundry shop atau kedai runcit biasa yang berdaya maju yang dilaksana kemudiannya apabila perlaksanaan kategori pertama dan kedua berjalan lancar dan telah dikaji secara mendalam.

Mengambil kira keluh kesah dan pelbagai maklum balas dari pengguna membabitkan pelaksanaan KR1M sebelum ini terutamanya dari aspek harga jualan yang dikatakan masih mahal, untuk versi baharu ini pihak kerajaan mengambil inisiatif untuk menyerap kos pengangkutan barangan yang dijual di KR1M 2.0.

Ini sekali gus berjaya membantu menyelaraskan harga barangan keperluan asas pada harga yang lebih berpatutan di semua premis tersebut di seluruh negara. Untuk ini kerajaan menyediakan peruntukan khusus kepada semua syarikat pengangkutan bagi pengedaran barangan jualan di KR1M 2.0 termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

Kita yakin penyelarasan harga oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta penyerapan kos pengangkutan akan menyamaratakan harga jualan barangan di seluruh negara, sekaligus memberi manfaat yang besar kepada pengguna.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM).