“Kejayaan kita yang terbaharu adalah Forum Ekonomi Dunia (WEF) telah mengeluarkan Indeks Pembangunan Inklusif Dunia dan apa yang menarik Malaysia muncul negara terbaik Asia dan ke-13 di dunia, malah China di tempat ke-25 dan India di tempat ke 62”, tambah Najib ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri Isnin lalu.

Secara mudahnya pembangunan inklusif membawa maksud tiada pihak tercicir dalam arus pembangunan sebuah negara yang mana kemakmuran di kecapi oleh setiap golongan rakyat. Secara spesifiknya Bajet 2018 yang dibentangkan Oktober lalu adalah strategi fiskal bagi memastikan setiap golongan yang dikategorikan sebagai B40, M40 dan T20 yang masing-masing merangkumi rakyat berpendapatan rendah, sederhana dan tinggi menikmati kesejahteraan negara.

Menarik jika dikaitkan pembangunan inklusif dengan apa yang berlaku Sabtu lepas apabila penduduk di sekitar ibu kota London membantah tahap perkhid­matan kesihatan yang disampaikan melalui Sistem Kesihatan Nasional (NHS) yang dianggap serba kekurangan. Pada satu ketika NHS menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik tetapi oleh kerana kekurangan peruntukan yang disediakan, tahap perkhidmatan menjadi tidak memuaskan. Perlu disentuh bahawa salah satu sebab utama mengapa rakyat United Kingdom (UK) membuat keputusan untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) adalah kerana janji NHS akan mendapat peruntukan kewangan tambahan apabila tidak perlu lagi menyumbang dana kepada EU.

Konsep sistem perkhidmatan kesihatan di antara Malaysia dan UK adalah selari yang mana setiap rakyat mendapat khidmat tidak kira sama ada mereka mampu atau pun tidak, iaitu sistem kesihatan yang inklusif. Seperti yang diketahui isu perkhidmatan kesihatan adalah isu sensitif di UK dan kerap menjadi tema kempen politik terutama sekali antara Parti Konservatif, Buruh dan Liberal Demokrat.

Sebab itu dihujahkan rakyat Malaysia sering mengambil mudah perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh kerajaan yang boleh ditakrifkan sebagai berkualiti. Kemudahan prasarana yang disediakan dan ditambah dengan kecekapan penjawat awam, maka rakyat Malaysia sudah boleh berbangga dengan sistem kesihatan yang mereka sedang nikmati.

Tidak keterlaluan jika dinyatakan NHS sering berubah terutama sekali dari segi peruntukan kewangan yang disediakan kerana keutamaan kerajaan sama ada dari parti Konservatif atau Buruh adalah berbeza. Perdana Menteri Theresa May dari parti Konservatif dipersalahkan dengan tahap mutu NHS yang merudum terutama sekali dalam musim sejuk ketika ini kerana beliau tidak menyediakan peruntukan kewangan yang memadai.

Begitu jua di Amerika Syarikat (AS), sistem perkhidmatan kesihatan akan pasti berubah bergantung sama ada parti Republikan atau Demokrat yang menguasai suara majoriti di Kongres. Pada ketika ini parti Republikan yang mempunyai kawalan di Kongres dan presiden juga berasal dari parti yang sama, sistem kesihatan yang diperkenalkan oleh bekas Presiden Barack Obama dari parti Demokrat dihapuskan oleh Presiden Donald J. Trump.

Sistem kesihatan yang dikenali sebagai Obamacare adalah strategi Obama untuk memudahkan lagi rakyat Amerika yang berpendapatan rendah memiliki insurans kesihatan kerana sistem kesihatan AS walaupun dianggap terbaik di dunia tetapi kos untuk mendapat perkhidmatan adalah terlalu tinggi dan hanya mampu diselenggara melalui skim insurans. Pembatalan Obamacare oleh Trump dikatakan telah menyebabkan lebih 28 juta rakyat AS tidak mampu memiliki insurans kesihatan paling asas.

Sememangnya tidak dinafikan kualiti sistem kesihatan di UK dan AS adalah yang terbaik di dunia dan sudah pasti lebih baik dari apa yang ada di Malaysia. Tetapi hakikatnya dari segi menyediakan perkhidmatan kesihatan secara menyeluruh kepada rakyat tanpa mengira status, Malaysia adalah yang terbaik di dunia. Jika UK dan AS masing-masing mem­belanjakan kos perkhidmatan kesihatan sebanyak RM16,000 dan RM40,000 per kapita berbanding kos di Malaysia hanya RM2000, maka kualiti perkhidmatan kesihatan yang kita terima dianggap begitu efisien sekali.

Ramai juga yang mendakwa pertukaran kerajaan tidak akan merencatkan penyampaian per­khidmatan awam sesebuah negara tetapi jika ditinjau apa yang sedang melanda di UK dan AS terutama sekali, dasar parti politik yang berbeza sama ada di antara parti Konservatif dan Buruh, begitu juga di antara parti Demokrat dan Republikan sedikit sebanyak telah merencatkan penyampaian perkhidmatan awam.

Malah di AS pada hujung Janua­ri lalu, penjawat awam dipaksa bercuti selama tiga hari kerana perbezaan dasar antara kedua-dua parti politik dan baharu kelmarin bersetuju untuk mengelak penutupan perkhidmatan kerajaan sehingga 23 Mac. Sebab itu, kritikal bagi rakyat Malaysia menghargai apa yang dimiliki pada ketika ini kerana perubahan mendadak masih tidak dapat dipastikan apa yang akan menimpa sistem per­khidmatan awam negara.