Nada bunyinya tidak teragak-agak. Penulis berkeyakinan penuh skuad negara mampu menumbangkan Thailand. Anda bagaimana? Mungkinkah sekali lagi N. Thanabalan meledakkan gol kemenangan?

Sukan adalah pendekatan terbaik mengetepikan pelbagai perbezaan manusia kerana sukan mempunyai satu daya tarikan iaitu feel good factor. Justeru, objektif yang hendak dicapai ialah perpaduan, kekitaan dan kebersamaan berlandaskan semangat kesukanan.

Sukan juga adalah aktiviti fizikal yang bersifat kompetitif. Sukan juga menzahirkan penyatuan atlet dari pelbagai negara dalam per­tandingan besar seperti Sukan Olimpik, Sukan Asia dan Sukan SEA. Para atlet yang berjaya diberi pengiktirafan dan penghormatan oleh negara masing-masing. Dalam konteks pembangunan dan perpaduan negara, sukan memainkan peranan cukup besar, sama seperti sektor sosial yang lain.

Penulis amat tertarik dengan pendekatan inklusif yang diambil oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar da­lam meniup semangat juang pasukan Malaysia pada temasya Sukan SEA 2017. Beliau dengan penuh semangat kesukanan menyatakan:

“Tidak kiralah apa pegangan politik anda, datang dan berbual dengan saya. Beritahu saya apakah jangkaan anda dan apakah idea anda.”

Khairy lalu menjemput mereka untuk berkongsi idea bersama. Ia merentasi semua ideologi. “Bagi saya, itulah cara saya mempromosi perpaduan negara,” kata Khairy.

Seruan Khairy jelas menunjukkan kematangan dan keterbukaan beliau dalam memimpin kementerian sukan selaras dengan strategi Dasar Sukan Negara yang digariskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Matlamat utama Dasar Sukan Negara adalah un­tuk mewujudkan bu­da­ya sukan dalam ka­la­ngan rakyat Malaysia. Ge­muruh dan gegak gem­pita sokongan kepada atlet yang bersaing di hadapan ribuan penyokong memberi impak yang bukan sedikit. Suara gemuruh ini adalah simbol kesatuan anggota masyarakat walaupun mempunyai kecenderungan politik yang berbeza demi memberi sokongan yang jitu untuk atlet negara.

Persoalannya, dalam konteks Ma­­laysia, sejauh mana sukan da­pat mengeratkan perpaduan ka­um dan menyuburkan integrasi nasional? Dalam sukan berpasukan seperti bola sepak misalnya, pemain dari pelbagai kaum me­ngambil bahagian dengan penuh semangat kesukanan tanpa menghiraukan perbezaan politik. Atlet yang terbaik dipilih berdasarkan merit dan keupayaan serta mampu capai kemenangan tanpa melihat kepada latar belakang etnik, budaya mahupun agama.

Sukan SEA yang sedang berlangsung di ibu negara sekarang adalah landasan terbaik bagi me­ngukuhkan persefahaman dan memupuk perpaduan da­lam kala­ngan rakyat Malaysia. Sebagai tuan rumah, Malaysia pada tahun ini bakal meraih pungutan pi­ngat terbesar dalam sejarah sukan negara termasuklah melepasi 111 yang disasarkan.

Laungan ‘Malaysia Boleh’ da­lam satu suara dan nyanyian lagu kebangsaan Negaraku setiap kali atlet negara memenangi pingat emas membuktikan terdapat ke­sepakatan yang penuh akrab dan bersemangat kebangsaan yang terdapat dalam sukan.

Bagi warga lama, pasti masih ingat zaman kegemilangan bola sepak negara tahun 1980-an yang mana terbukti sukan mampu memecah tradisi dominasi sesuatu kaum. Nama-nama besar pemain daripada pelbagai kaum seperti Mokhtar Dahari, Hassan Sani, V. Arumugam, Soh Chin Aun, James Wong, Lim Teong Kim, Wan Jamak, V. Gunalan, Zainal Abidin dan Khalid Ali membuktikan kemuafakatan dalam sukan dapat menghasilkan perpaduan ter­utama de­ngan penampilan ‘kemaj­mu­kan’ bukan sahaja dari segi pe­nyertaan tetapi lebih dari itu.

Ini menyaksikan agenda membangunkan sukan negara, sekali gus dapat memaparkan usaha memupuk penerimaan ke atas kepelbagaian sukan yang wujud dari masyarakat pelbagai etnik.

Kesinambungan semangat per­sefahaman di bawah nama sukan kini boleh diteruskan bersempena Hari Kebangsaan pula. Laungan kemuafakatan ‘Malaysia Boleh’ akan disusuli pula dengan laungan semangat patriotik ‘Merdeka’.

Pada Hari Kebangsaan 2017, Negaraku Sehati Sejiwa dipilih sebagai tema sambutan di mana pemilihan tema itu bertujuan untuk menunjukkan betapa pentingnya rakyat Malaysia mempunyai semangat berbilang kaum dan bersatu padu.

Dalam meraikan kecemerlangan atlet Malaysia di Sukan SEA, jangan pula lupa kepada para pejuang yang berkorban demi mempertahankan kedaulatan negara dari penceroboh dan pengganas. Catatan pahit tercatat pada 2 Mac 2013 apabila enam pegawai dan anggota polis dibunuh secara kejam di Kampung Simunul, Semporna, Sabah oleh pengganas Sulu. Mereka mempertaruhkan nyawa demi memastikan ke­sinambungan ke­sejahteraan rak­yat.

Tidak dilupakan juga perjua­ngan dan pengorbanan anggota pasukan keselamatan pada era darurat dari 1948 hinggalah 1960. Untuk rekod, Parti Komunis Malaya (PKM) diketuai Chin Peng pada waktu itu melancarkan ke­ganasan dengan membunuh pengurus-pengurus bangsa Eropah, memusnahkan pokok getah dan lombong, menyerang balai-balai polis dan anggota-anggota pasukan keselamatan.

Demikianlah harga mahal yang perlu dibayar untuk sebuah ke­amanan dan kemerdekaan. Sem­pe­na Sukan SEA dan Hari Keba­ngsaan 2017, marilah kita tabik kepada semua atlet sukan negara yang berjuang mengharumkan nama negara dan para pejuang yang berkorban demi keamanan yang kita nikmati sekarang. Selamat menyambut Hari Kebangsaan.

DATUK MOHD. NIZAR SUDIN 
ialah Penganalisis Politik merangkap Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi 
Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).