Be­rita pe­ningkatan ‘menggila’ harga beberapa jenis ikan pilihan rak­yat marhaen ini mengatasi cerita pembunuhan seorang rakyat Korea Utara yang juga abang kepada pemimpin tertinggi negara itu. Sebelum ini pun berlaku kenaikan harga ikan dan hasil tangkapan laut tetapi tidaklah seburuk yang berlaku sekarang.

Kenaikan berlaku hampir di seluruh negara. Ikan kembung atau temenung, selayang dan selar kuning dijual pada harga yang dianggap cukup mahal oleh orang miskin, berpendapatan kecil dan sederhana, tidak kira sama ada mereka tinggal di bandar kecil apa­tah lagi di bandar-bandar besar seperti di Lembah Klang ini.

Tidak pernah rasanya harga tiga jenis ikan tersebut melonjak sedemikian rupa. Kembung, selayang, selar, cencaru dan tamban beluru adalah ikan yang menjadi pilihan kumpulan berpendapat­an rendah. Walaupun rupanya tidak menarik dan rasanya tidak seenak dan sehebat hasil tangkapan laut lain yang mahal-mahal, tiga ‘jenama’ ikan ini sangat ‘dekat’ dengan rakyat jelata. Hasil laut tersebut menjadi pilihan bagi golongan miskin, bergaji kecil dan sederhana apabila berbelanja di pasar basah.

Harganya murah dan berpatut­an yakni masih boleh dibeli pada harga bawah RM10 sekilo. Jenis ikan tersebut juga mudah diperoleh, sentiasa ada di mana-mana pasar sepanjang musim. Jika kena cara masak dan diberi nilai tambah boleh menghasilkan hidangan yang sangat enak.

Di ne­geri-negeri Pantai Timur, tiga jenis ikan ini sangat popular dijadikan hidangan makan petang seperti ikan celup tepung. Ikan sardin dan tamban beluru pula adalah ikan pilihan bagi membuat keropok lekor.

Bagaimanapun sejak beberapa minggu lalu kumpulan tiga jenis ikan ini sudah memasuki kategori ‘mewah’ apabila dijual berpuluh-puluh ringgit sekilogram.

Kedudukannya sudah menghampiri taraf hasil tangkapan laut lain. Bayangkanlah kalau tiga jenis ikan ini harganya sudah mencecah harga sedemikian rupa tidak dapat dibayangkan harga tangkapan laut ‘kelas mene­ngah dan tinggi’ seperti tenggiri, siakap, bawal dan merah.

Itu harga ikan di pasar, belum lagi diambil kira setelah dimasak dan dijadikan hidangan di kedai makan atau restoran. Sudah pasti harganya ‘menggila’ berlipat-lipat, berkali-kali ganda tinggi.

Seperti biasa kalau harga barangan basah seperti sayur dan ikan naik, cuaca dijadikan kam­bing hitam, dipersalahkan. Musim tengkujuh, musim laut bergelora, musim hujan dan musim jerebu dan musim panas menjadi punca.

Fenomena global ini mengakibatkan bekalan terhad, sukar diperoleh dan akhirnya memberi kesan kepada harga. Itu adalah antara alasan yang sering kali diberikan oleh peniaga dan pemborong. Sebahagiannya mungkin benar, sebahagian mungkin tidak benar.

Walaupun beberapa pihak terlibat memberi jaminan trend ini hanya bersifat sementara, masih ada kebimbangan dalam kalang­an pengguna, para peniaga dan pemborong menjadikannya sebagai satu peluang untuk terus menaikkan harga barangan tersebut pada masa-masa akan datang. Kebimbangan ini berasas. Lagipun pengguna tahu sebab mereka yang merasa.

Lihatlah apa yang berlaku sebelum ini. Setiap kali berlaku kenaikan harga petrol, maka berlakulah kenaikan harga barangan pengguna. Bagaimanapun apabila berlaku penurunan harga petrol tidak ada pula peniaga mahupun pemborong yang sanggup menurunkan harga barangan pengguna!

Apa-apapun rakyat kategori marhaen seperti petani, nelayan, buruh, penjawat awam kategori bawahan terbeban dengan kena­ikan harga hasil laut ini. Mereka adalah kumpulan yang menerima kesan langsung. Pendapatan bulanan mereka tidak berupaya me­nyaingi kenaikan harga barangan keperluan pengguna yang seolah-olah tidak boleh dibendung lebih-lebih lagi jika ada pengumuman kenaikan harga petrol setiap awal bulan.

Trend kenaikan harga ba­­ra­ng­­an pengguna termasuk yang terbaharu melibatkan harga tiga ikan pilihan rakyat marhaen ini melengkapkan episod kenaikan harga barang yang berlaku setiap detik, setiap hari, dan setiap bulan. Jika tiga jenis ‘ikan rakyat’ pun sudah berpuluh-puluh ringgit harganya sekilo, apa lagi pilihan yang mereka ada? Rakyat marhaen tidak mampu berbuat apa-apa kecuali memujuk hati sendiri agar pasrah. Pada masa sama, mereka hanya mampu berharap agar apa yang sedang berlaku ini cepat-cepat berakhir.