Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

Maka benarlah kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali elok sahaja Pas bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

PPBM pun rakan kongsi mereka. Pusing kiri, kanan, atas dan belakang, balik semula dalam pakatan harapan diketuai DAP nanti.

Cuma Pas, dikepalai Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak akan biarkan mereka jatuh dua kali dalam lubang sama.

Yang penyokong dan ahli Pas ‘menyirap darah’ kerana Pas diperlekehkan begitu teruk sekali oleh DAP.

Hakikatnya, tanpa Pas dalam siri pilihan raya umum lalu, jangan haraplah DAP boleh meraih undi Melayu.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang harus sedar. Sebelum DAP dan PKR berada dalam kedudukan kuat sekarang, Pas terlebih dahulu dominan.

Dalam pilihan raya umum 1999, Pas muncul pemenang terbesar dalam pakatan dikenali Barisan Alternatif apabila berjaya memenangi 27 kerusi parlimen, 98 kerusi negeri dan membentuk kerajaan negeri Terengganu selain Kelantan.

DAP waktu itu berdepan kekecewaan besar apabila hanya meraih 10 kerusi parlimen dan 11 kerusi DUN. PKR pula yang baru muncul, memenangi lima kerusi parlimen dan empat kerusi DUN.

Kalau diamati pencapaian pakatan pembangkang dalam pilihan raya umum ke-13, DAP dan PKR telah lama mendapat ‘hasil masyhulnya’ daripada pakatan rakyat yang dijana dengan Pas.

Pas berkembang kepada parti yang lebih berpengaruh di negeri-negeri utara, iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu.

Bagi DAP pula, pengli­batannya bersama Pas dalam pakatan membolehkannya me­menangi 38 kerusi parlimen dan 107 kerusi DUN.

Ini termasuk 16 kerusi parlimen di Semenanjung yang mempu­nyai kurang dari 60 peratus pengundi Cina (sembilan daripadanya mempu­nyai kurang dari 50 peratus pengundi Cina). Dan memenangi 44 kerusi DUN yang mempunyai kurang dari 60 peratus pengundi Cina (15 daripadanya mempunyai kurang dari 50% pengundi Cina).

Bagi DAP, perbu­atannya menolak Pas dari berada dalam pakatan kerana beranggapan kedudukan DAP dalam kalangan orang Cina ‘amat solid’. Tetapi buat PKR, sesuatu yang besar perlu difikirkannya kerana PKR tidak memiliki jentera yang efisien seperti Pas.

Tanpa Pas, PKR bakal terkubur kerana PKR bersan­darkan pada Pas untuk survival politiknya. Dan kalau dilihat prestasi PKR dari 1999 hingga 2013, ternyata PKR telah memanfaatkan kekuatan pakatan di kawasan ‘campuran’ - yang mana tiada pe­ngundi dari sesuatu kaum lebih dari 60% dan dahulunya kubu BN.

Pada 1999, satu-satunya kerusi parlimen dimenangi PKR yang mempunyai kurang daripada 70% pengundi Melayu adalah Permatang Pauh (67% Melayu). Satu-satunya kerusi negeri dimenangi PKR yang mempunyai kurang dari 70% pengundi Melayu adalah Penanti (68% )Melayu) yang terletak dalam parlimen Permatang Pauh. Di Penanti, semua maklum ramainya penyokong Pas di situ.