Dr. Madinah mendedahkan bahawa laporan asal ini telah beliau terima daripada saudari Nor Salwani, Pengarah Sektor Audit Tadbir Urus selepas beliau mengambil alih jawatan Ketua Audit Negara daripada Ambrin Buang.

Lebih mengejutkan lagi ialah keputusan untuk meminda laporan ini katanya telah dibuat oleh Najib Razak sebagai Perdana Menteri ketika itu dengan turut disokong oleh bekas Ketua Audit Negara, Ambrin Buang, bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Dr. Ali Hamsa, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dzulkifli Ahmad dan bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri, Shukri Mohd. Salleh.

Keputusan itu dibuat oleh mereka dalam satu mesyuarat yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri. Bagi Awang, sekiranya ia benar-benar berlaku, ini merupakan satu pengkhianatan tertinggi ke atas amanah yang dipertanggungjawabkan oleh rakyat dan negara kepada Najib dan para penjawat awam.

Lebih-lebih lagi sebagai penjawat awam yang termaktub dengan sumpah dan janji perkhidmatan, mereka yang terlibat telah mencalar dan menconteng arang kepada imej perkhidmatan awam.

Lebih mengecewakan ialah Ali sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang bertanggungjawab mengepalai kira-kira 1.6 juta penjawat awam di negara ini seharusnya menunjukkan contoh baik dan berintegriti tinggi.

Kita masih ingat apabila Ali dilantik sebagai KSN pada tahun 2012, ramai yang terkejut kerana terdapat beberapa nama pegawai lebih kanan daripada beliau turut disebut-sebut ketika itu.

Sudah tentu beliau dipilih kerana menjadi orang kepercayaan Perdana Menteri dan seharusnya beliau menjadi penasihat yang baik dan telus untuk menjaga dan mengurus tadbir negara ini.

Awang juga kecewa dengan sikap Ambrin Buang sebagai Ketua Audit Negara ketika itu.

Seharusnya Ketua Audit Negara adalah benteng terakhir untuk memastikan bahawa sebarang bentuk salah laku urus tadbir jabatan atau kementerian dalam kerajaan dilaporkan kepada Parlimen yang merupakan institusi tertinggi di dalam negara dan Perdana Menteri yang merupakan ketua eksekutif pentadbiran.

Sikap Ambrin yang membenarkan pindaan itu dilihat sebagai satu dosa amat besar di mata rakyat. Awang berharap beliau akan serta-merta melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Khas Isu-Isu Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Negara kerana apa jua alasan, tahap integriti Ambrin dipersoal dan tidak layak memikul tanggungjawab sebesar itu.

Teringat Awang pada hadis Rasulullah SAW yang memberi maksud :

"Akan ada setelahku nanti para pemimpin yang berdusta. Barangsiapa masuk pada mereka lalu membenarkan (menyetujui) kebohongan mereka dan mendukung kezaliman mereka maka dia bukan dari golonganku dan aku bukan dari golongannya, dan dia tidak bisa mendatangi telaga (di hari kiamat). Dan barangsiapa yang tidak masuk pada mereka (penguasa dusta) itu, dan tidak membenarkan kebohongan mereka, dan (juga) tidak mendukung kezaliman mereka, maka dia adalah sebahagian dari golonganku, dan aku dari golongannya, dan ia akan mendatangi telaga (di hari kiamat).” (HR. Ahmad dan An-Nasa’i)

Walaupun pada awalnya Awang kurang bersetuju dengan sikap Dr. Mahathir Mohamad yang memperlekehkan kredibiliti dan integriti penjawat awam sewaktu beliau mengambil alih tampuk kepimpinan negara, namun, dengan pendedahan pindaan laporan ini membuktikan bahawa satu penstrukturan semula besar-besaran harus dilakukan bagi memastikan kredibiliti penjawat awam dapat dibina semula.

Penjawat awam merupakan institusi paling dekat dengan rakyat yang akan melaksanakan semua polisi yang telah dipersetujui sama ada di peringkat Parlimen mahupun Pejabat Perdana Menteri.

Tidak mungkin Malaysia akan mampu menjadi negara baldatun thoyyibatun wa rabbhun ghaffur iaitu negara yang mendapat rahmat dan keampunan Allah SWT sekiranya institusi penjawat awam ini tidak direkayasa.

 

PERMATA RAKYAT

Awang ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih atas keberanian dan keikhlasan saudari Saadatul Nafisah, bekas Pengarah Sektor Audit Kerajaan yang telah menyimpan satu salinan asal laporan audit 1MDB sebagai bukti untuk mendedahkan penyelewengan di peringkat paling tinggi yang pernah berlaku dalam negara ini.

Nafisah yang dipertanggungjawabkan untuk menjalankan kerja-kerja audit ke atas Syarikat 1MDB telah diminta untuk memusnahkan salinan itu namun membuat satu keputusan berani untuk menyimpan dan menyerahkan kepada saudari Nor Salwani setelah beliau bersara.

Salwani yang menyerahkan laporan asal laporan audit ini kepada Dr. Madinah selepas beliau mengambil alih jawatan Ketua Audit Negara daripada Ambrin Buang.

Namun Dr. Madinah hanya mampu menyimpan salinan itu kerana sudah tentu ia tidak akan dapat mengubah apa-apa kerana semua mereka yang terlibat dengan komplot meminda laporan itu masih lagi berkuasa termasuklah Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri.

Bagi Awang, Nafisah, Salwani dan Dr. Madinah adalah pejuang negara. Ia juga memberi harapan bahawa bukan semua penjawat awam terlibat dengan masalah integriti.

Keadaan ini turut memberi harapan bahawa institusi penjawat awam masih boleh diperhebatkan untuk kembali ke landasan sebenar dan membawa visi lebih jelas kepada negara.

Awang masih yakin dengan penjawat awam.