Sudah sekian lama rasanya komuniti usahawan dan koperasi mendambakan perhatian dan bantuan dari pihak kerajaan secara holistik dan berkala demi memastikan kelestarian bukan sahaja terhadap ekonomi peri­badi mereka, malahan juga terhadap kelestarian ekonomi negara secara khusus.

Industri Kecil dan Sederhana merangkumi 97 peratus dari jumlah perniagaan di Malaysia dan setakat 2017, ia telah menyumbang sejumlah 37 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan dijangka mencapai 41 peratus untuk tahun akan datang.

Selain itu, 65 peratus dari pekerjaan yang ditawarkan di Malaysia adalah dari IKS. Kekuatan IKS selalunya dilihat sebagai jaguh kampung yang kuat bertapak secara domestik namun IKS telah menyumbang sebanyak 18 peratus daripada keseluruhan eksport negara.

Kecil-kecil cili padi, walaupun kecil namun impaknya amat signifikan kepada ekonomi negara. Di antara tahun 2011 sehingga 2015, IKS telah berkembang pada kadar 6.7 peratus dan ia lebih besar dari pertumbuhan ekonomi negara yang berada pada kadar purata 5.7 peratus.

Dari segi pembangunan kope­rasi, masih banyak lagi usaha yang perlu dipertingkatkan oleh pihak kementerian. Walaupun Malaysia mempunyai koperasi yang besar dan sudah bertapak lebih dari 100 tahun di negara ini, masyarakat masih melihat koperasi sebagai sektor picisan yang dipenuhi dengan golongan pencen.

Kementerian mempunyai tanggungjawab yang besar dalam mengubah persepsi masyarakat kerana sumbangan koperasi ter­hadap KDNK negara adalah signifikan kerana pada 2015 sumbangan koperasi terhadap KDNK negara ialah sejumlah RM37 bi­lion dan ia meningkat pada 2016 ke RM39 bilion.

Harapan dari penggerak sektor koperasi agar sektor ini dapat menyumbang RM50 bilion kepada KDNK negara menjelang tahun 2020. Dengan hampir 14 juta koperasi dan 7 juta bilangan ahli di seluruh negara, sektor ini adalah salah satu tunjang yang perlu digerakkan secara serius kerana di Eropah, kebanyakan ekono­minya dipacu oleh sektor koperasi berbanding dengan negara-negara di Asia yang kebanyakan ekonominya dipacu oleh IKS.

Cabaran usahawan dan koperasi masa kini berbeza dengan cabaran 10 tahun lepas. Kini kita dikelilingi oleh perubahan dari segi teknologi yang sering berubah seiring dengan perubahan zaman. Ini pula ditambah dengan perkembangan melalui Revolusi Perindustrian 4.0 yang memerlukan usahawan sentiasa fleksibel dan bersedia menongkah arus perubahan dalam permintaan dari pasaran.

Penulis pernah mendengar bahawa terdapat lebih dari 50 agensi kerajaan yang menjaga kebajikan para usahawan di negara ini, namun kesemuanya terletak di bawah kementerian yang berbeza. Keadaan ini menyukarkan usahawan yang ingin mendapatkan bantuan.

Menjadi usahawan di Malaysia setakat ini mewajibkan anda menjadi seorang yang rajin dan beriltizam. Ini adalah kerana untuk mendaftar perniagaan, seorang usahawan perlu ke kementerian A. Kemudian mereka perlu ke kementerian B untuk mendapatkan bimbingan dan khidmat nasihat dan akhirnya ke kementerian C untuk mendapatkan bantuan kewangan.

Adalah diharapkan dengan penubuhan Kementerian Pembangunan Usahawan, kesemua ini dapat disatukan demi memudahkan usahawan untuk menjalankan perniagaan mereka. Jika ingin dipisahkan secara pentadbiran, ia perlu mengikut jenis dan saiz perniagaan.

Sebagai contoh, kementerian A menjaga IKS dan kementerian B menjaga usahawan bersaiz mega untuk pasaran antarabangsa. Setakat ini kelihatan pelbagai kementerian yang terlibat dalam bidang keusahawanan mempu­nyai ruang lingkup dan kunci penunjuk prestasi yang sama dalam pembangunan usahawan yang menyebabkan ianya tidak fokus dan menyukarkan usahawan.

Adalah diharapkan melalui kementerian ini, semua agensi dan badan bukan kerajaan yang terlibat dalam bidang keusahawanan dan koperasi boleh diletakkan di bawah kawal selia yang sama agar polisi dan dasar dapat dibuat secara lebih holistik dan terancang.

Selain itu, kementerian perlu membangunkan dasar dan polisi yang jelas agar dapat melahirkan lebih ramai usahawan yang berjaya selain mengembangkan sektor IKS sedia ada. Kementerian juga perlu menyediakan ruang dan peluang untuk usahawan baru terutama usahawan siswa untuk terus berjaya.

Sebelum ini, tanggungjawab membudayakan keusahawanan di peringkat pendidikan tinggi terletak di atas bahu Kementerian Pendidikan Tinggi dan apabila usahawan siswa ini telah tamat pengajian, tiada ekosistem yang disediakan oleh kerajaan untuk menyambut kehadiran usahawan siswa ini ke dunia perniagaan yang sebenar.

Kementerian Pembangunan Usahawan juga perlu mewujudkan jaringan antara usahawan baharu dan lama bagi membantu merancakkan aktiviti keusahawanan di Malaysia melalui sistem permentoran. Kementerian juga perlu mengadakan saluran melalui sesi percambahan idea perniagaan dan kemungkinan besar boleh mewujudkan bank idea perniagaan dengan mengambil kira partisipasi dari golongan belia. Selain itu, kementerian perlu memastikan agar semua usahawan baharu mempunyai pengetahuan yang cukup berkaitan pengurusan kewangan, operasi, pemasaran dan sumber manusia.

Adakah di Malaysia kita kekura­ngan pakar untuk mewujudkan usa­hawan? Adakah modul yang mereka bawa dari negara Barat sesuai diadaptasi di negara ini? Kerajaan perlu mengangkat dan mengiktiraf kepakaran tempatan dalam pembangunan usahawan.

Selain itu, peranan Maktab Koperasi Malaysia yang telah diwujudkan lebih daripada 60 tahun yang lalu perlu diperkasakan dengan mengangkatnya menjadi sebuah institusi pendidikan koperasi yang setaraf dengan institusi pendidikan awam lain.

Peranan Maktab Koperasi Malaysia perlu diperkayakan dan penaiktarafan kakitangan di maktab tersebut perlu dilaksanakan setanding dengan institusi pengajian awam lain di negara ini. Setakat ini, Maktab Koperasi Malaysia, bukan sahaja menjadi rujukan koperasi domestik, namun peranannya telah diiktiraf di pe­ringkat antarabangsa kerana telah dipanggil menjadi pusat rujukan koperasi negara serantau.

Akhir sekali, kerajaan perlu mengiktiraf peranan usahawan IKS dan koperasi atas sumbangan signifikan mereka dalam ekonomi negara. Perlulah juga kita wujudkan sentimen patriotik dengan mendahulukan barangan Malaysia dalam setiap pembelian kita. Barang kita, koperasi kita ‘Buatan Lokal, Kualiti Global”.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).