Ayuna Yusof merupakan salah seorang daripada sebilangan kecil wanita yang berani menceburi bidang yang dianggap antara paling berisiko.

Daripada wajah dan penampilannya yang lembut dan pandai berfesyen, siapa sangka wanita berasal dari Kelantan ini boleh melakukan pelbagai aksi lagak ngeri yang berbahaya.

Peluang mengikuti kursus perfileman dalam bidang aksi lagak ngeri di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) tahun lalu telah memberi banyak pengetahuan kepadanya untuk melangkah lebih jauh dalam filem aksi.

“Kursus yang dikendalikan oleh pelagak ngeri yang cukup terkenal dalam industri perfileman Hollywood, Colin Handley sebenarnya merupakan titik tolak kepada pengembangan karier saya daripada seorang pelakon yang hanya membawa watak biasa kini boleh melakukan pelbagai lagak ngeri.

“ Dalam kursus berkenaan terdapat latihan dan pendedahan diberikan antaranya aksi berlawan, lagak ngeri terjun, menembak, aksi motosikal, ditarik kereta dan pelbagai lagi. Dalam pelbagai aksi, saya banyak menguasai aksi berlawan memandangkan saya mempunyai kemahiran dalam seni silat. Selain itu, kepakaran saya juga tertumpu pada aksi terjun,” katanya.

Meskipun Ayuna telah memiliki kebolehan sebagai pelagak ngeri, namun nampaknya peluang untuk terlibat dalam drama atau filem aksi masih belum terbuka luas.

“Kebanyakan filem aksi dikuasai oleh golongan lelaki, mungkin atas dasar itu masih wujud skeptikal hanya lelaki mampu melakukan aksi ngeri. Meskipun, adegan melibatkan pelakon wanita, namun apabila tiba masanya untuk beraksi, pelagak ngeri lelaki akan diubah untuk berperwatakan wanita sebagai memenuhi tuntutan watak.

“Sehubungan itu, saya berharap agar kami diberi peluang untuk terlibat dalam filem aksi kerana kami juga mempunyai kemahiran yang serupa seperti mereka,” katanya yang pernah terlepas untuk menjadi pelagak ngeri gantian dalam sebuah produk perfileman Hollywood atas faktor kekangan masa.

Dalam pada itu, dia berharap dapat ditawarkan sebagai pelakon lagak ngeri dalam filem aksi dan mahu berjaya seperti idolanya, Tan Sri Michelle Yeoh.