Bukan satu atau dua kali kita mengalami pancaroba hidup begini. Selalunya orang kita berjaya menanganinya. Kena banyak bersabar.

Malaysia yang kita diami ini selalu dijadikan model negara majmuk yang rakyatnya hidup bersatu padu. Perpaduan antara kaum selama lima dekad kita merdeka dahulu amat dibanggakan.

Tapi, adakah Malaysia masih lagi negara majmuk yang rakyat pelbagai kaumnya hidup aman damai dan saling hormat menghormati? Tanya pada diri sendiri!

Hanya tinggal lebih kurang lima tahun lebih sahaja lagi untuk Malaysia menjadi negara maju pada 2020. Kita mahu maju dengan acuan kita sendiri.

Mampukah kita mencapainya apabila menjelma pelbagai isu yang saban tahun berulang-ulang terjadi. Baik isu pengguna, jenayah, remaja, demonstrasi, kemalangan dan sebagainya.

Isu sosial, ekonomi dan politik yang melanda negara kita bagaikan kisah drama yang tidak berkesudahan. Apa sahaja isu mahu dipolitikkan. Masalah tandas pun adakala dipolitikkan.

Setiap hari kita pasti mendengar berita tentang politik. Seolah-olah politik telah menjadi agenda utama dan budaya orang Malaysia. Takda lain - politik, politik, politik.

Tempoh ‘main politik’ sepatutnya tamat apabila ada gabungan parti politik diberi mandat memimpin Kerajaan Persekutuan dan ada parti yang berjaya membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-13, 5 Mei 2013. Ikutlah cara politik negara maju yang menghormati pihak yang menang. Yang kalah cubalah nasib pada PRU akan datang.

Sebagai negara yang perlu ‘berlari pantas’ mengejar Wawasan 2020, biarlah Perdana Menteri menjalankan tugas dan tanggungjawabnya memaju dan memakmurkan negara dan rakyat.

Pemimpin kerajaan dan pembangkang perlu sama-sama menyokong dan tegur yang mana salah. Bukan pihak pembangkang asyik melempar fitnah dan pemimpin kerajaan pula banyak masa terbuang untuk menjelaskan isu dan menepis fitnah.

Tahun 2014 yang baru tiba ini pun sudah dibuka dengan isu politik. Himpunan Gulingkan Kerajaan dibuat hanya untuk menggugat masyarakat awam yang hendak menyambut ketibaan tahun baharu.

Dalam kalendar 2014 ada 12 bulan, bolehkah dalam tahun ini kemelut politik dikurangkan, dan banyakkan usaha memajukan ekonomi dan meningkatkan pendapatan rakyat supaya beban kos sara hidup sekarang dapat dikurangkan. Jangan setiap bulan berkecamuk dengan isu politik.

Kebanyakan rakyat sudah muak dengan isu politik. Mereka mahu negara yang aman damai. Untuk mewujudkan Malaysia yang aman perlu sokongan semua pihak, baik orang politik dan orang awam.

Orang Melayu dan bumiputera perlu fikir masa depan dalam survival sebagai pribumi di tanah air sendiri. Kaum Cina yang menguasai lebih 60 peratus ekonomi negara ini diminta usahlah fikirkan ringgit dan sen yang melampau-lampau hingga menjejas kehidupan kaum-kaum lain.

Belum terlewat untuk kita kembalikan hidup harmoni dengan semangat muhibah pada tahun 2014. Adalah diharapkan tahun 2014 ini lebih baik daripada 2013.