Apa yang dimaksudkan dengan Fourth Estate ialah akhbar mempunyai kuasa tersendiri selain kuasa yang tiga iaitu: kehakiman, eksekutif dan legislatif. Akhbar boleh berperanan bukan sekadar media yang hanya menyalurkan berita dan maklumat, tetapi juga boleh mempengaruhi masyarakat dan seterusnya membentuk pemikiran masyarakat.

Menyedari hakikat peranan be­sar yang dimiliki oleh media, ahli-ahli politik dan jutawan berlumba-lumba membuka akhbar, televisyen, radio dan media lain agar pemikiran mereka dapat di­salurkan kepada masyarakat dan dipengaruhi. Media juga berperanan sebagai sumber hiburan dan mencari keseronokan.

Namun ada satu lagi peranan media yang paling utama iaitu membentuk peribadi, akhlak dan jati diri bangsa yang tidak begitu ditonjolkan dalam dunia yang penuh dengan keseronokan dan berfalsafahkan hedonisme ini.

Di sinilah dikatakan media berperanan sebagai sumber mendi­dik. Hari ini istilah ‘edutainment’ atau ‘infotainment’ semakin kerap digunakan merujuk kepada kombinasi antara education (pendidikan) dan entertainment (hiburan) atau information (maklumat) dan hiburan. Hiburan sekali lagi, nampaknya tidak dapat tidak, ia tidak boleh dipisahkan sama ada untuk mendapatkan ilmu mahupun maklumat.

Media, sama ada media cetak mahupun media elektronik untuk terus hidup dan mampu bersaing di pasaran, perlu mampu menarik pelanggan untuk membeli atau melanggannya. Jika tiada yang mahu membeli akhbar, majalah atau menonton stesen televi­syen atau mendengar stesen radio mereka, maka media tersebut lama-kelamaan akan ‘bungkus’.

Mahu tidak mahu, media perlu melihat apakah minat dan keinginan masyarakat. Begitupun di akhir zaman seperti hari ini di mana masyarakat semakin rosak, minat dan kesukaan masyarakat juga sudah pasti sukakan perkara-perkara yang merosakkan.

Oleh kerana itu, kajian menunjukkan video pornografi misalnya dilaporkan ditonton oleh berbi­lion orang pada 2016. Dalam satu laporan dikatakan 92 bilion video lucah ditonton pada 2016 sahaja, dengan laman lucah tersebut sahaja dikunjungi seramai 64 juta sehari, iaitu 44,000 setiap minit atau 729 orang setiap saat!

Pertimbangan media kebiasaannya hanya tiga perkara pokok, iaitu pertama dari segi kedudukan mereka berbanding dengan media-media pesaing lain yang sama jenis. Sama ada media cetak atau media elektronik, termasuk juga media baharu hari ini berlumba-lumba untuk menjadi media nombor 1, dan untuk itu mereka akan berbuat apa sahaja untuk menjadi terbaik hingga sanggup mengorbankan prinsip moral dan pendidikan.

Pertimbangan kedua adalah dari segi jumlah penonton, pendengar, pelanggan, edaran dan seumpamanya. Hal ini juga penting kerana ini juga melambangkan sejauh mana masyarakat menerima mereka dan di sini juga mereka mahu menjadi media yang mempunyai bilangan yang paling ramai.

Ketiga, sudah pastilah pendapatan yang dijana melalui iklan dan hal-hal yang berkaitan de­ngannya. Iklan hanya akan masuk sekiranya mereka mempunyai satu dan dua yang disebut sebelum ini. Inilah tiga pertimbangan yang sering dibuat oleh mana-mana media, khususnya media yang bersifat komersial.

Oleh kerana itulah kita melihat bagaimana sesetengah media mengambil pendekatan memba­wakan isu-isu yang boleh disensasikan, isu seperti seks, hiburan, gosip artis, misteri, tahyul, mistik, kerana mereka tahu isu-isu se­perti ini digemari oleh kebanyakan ahli masyarakat.

Penggiat media sewajarnya menginsafi bahawa mereka mempunyai senjata yang paling ampuh membentuk masyarakat. Ung­kapan ‘mata pena lebih tajam da­ripada mata pedang’ sebenarnya amat tepat.

Pahala yang amat besar di sisi Allah SWT jika pihak media me­nimbulkan keinsafan dan membawa seseorang itu kembali ke pangkal jalan dan mengikut ajaran Islam yang sebenar, manakala dosanya pula kepada mereka yang menganjurkan sebaliknya seperti mana mafhum hadis ba­ginda SAW: “Barang siapa yang mengerjakan dalam Islam sunnah yang baik maka dia mendapat pahalanya dan pahala orang yang mengikutinya tanpa mengurangi pahala orang yang mengikutinya sedikit pun. Dan barang siapa yang mengerjakan dalam Islam sunnah yang jelek maka dia mendapat dosanya dan dosa orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa orang yang mengikuti mereka sedikit pun.” (Hadis Riwayat Muslim)

Satu perkara yang kerap kita temukan hari ini juga adalah ke­ghairahan media menyiarkan be­rita-berita sumbang mahram dan hukuman terhadap pelakunya. Menurut pakar psikologi Islam terkenal, Profesor Dr. Malik Badri yang juga penulis buku The Dilemma of Muslim Psychologists, kajian di Barat menunjukkan kes-kes sumbang mahram semakin menjadi-jadi.

Menurut beliau, ini kerana berita-berita sebegitu menjadi pendorong kepada mereka yang belum me­lakukannya lagi untuk melakukannya kerana orang lain juga telah melakukan dan tidaklah seteruk mana dan “aku bukanlah orang yang pertama”. Kerana itu jugalah Islam mengharamkan berbicara tentang maksiat tanpa sebab dan keperluan yang kuat kerana ini akan memberi ilham dan mencetuskan minat kepada orang lain untuk melakukan perkara yang sama.

Kaedah menyebut “berbicara tentang maksiat itu merupakan maksiat.” Dalam falsafah juga ada disebut tentang ‘kuasa tarikan’ atau law of attraction, iaitu perkara negatif akan menarik negatif juga. Justeru, penulis menyarankan agar pihak media lebih peka dan sensitif untuk tidak lagi mendedahkan kisah-kisah mahkamah berhubung sumbang mahram.

DR. NIK ROSKIMAN ABDUL SAMAD ialah Pengarah Pusat Media Institut Kefahaman 
Islam Malaysia (IKIM).