Biarpun menghadapi kekangan dari segi pegawai penyiasat dan bilik, SPRM tetap meneruskan operasi tersebut. Siasatan awal mendapati kesemua mereka terlalu tamak untuk hidup mewah sehingga sanggup menerima suapan daripada ‘tauke-tauke’ lori kebal. Wang yang diterima secara haram sebahagian dihabiskan juga untuk aktiviti haram seperti berjoli dan berjudi.

Sama ada mereka bersalah atau tidak, biarlah perbicaraan di mahkamah menentukannya, tetapi untuk SPRM melakukan operasi sebegitu besar sudah tentulah agensi tersebut telah melakukan persiapan rapi termasuk risikan selama berbulan-bulan. Ia bermakna bukti sudah cukup untuk menahan anggota-anggota JPJ berkenaan.

Biarpun mungkin ada yang tidak senang dengan tindakan SPRM itu, pedulikan sahaja. Sudah sampai masanya atau lebih tepat lagi tahun ini dijadikan tahun bagi menghapuskan penguat kuasa bersikap seperti ‘buaya lapar’ di semua agensi penguat kuasa. Tidak kira siapapun mereka, kelompok seumpama ini tidak boleh dibiarkan terus menggadaikan maruah diri dan jabatan mereka semata-mata mahu hidup mewah.

Wang gaji yang diperoleh secara halal seolah-olah tidak cukup, walaupun kalau dibandingkan dengan orang yang mengutip barang-barang terpakai untuk kitar semula, pendapatan anggota-anggota agensi penguat kuasa jauh lebih tinggi. Tetapi malangnya mereka dikuasai nafsu. Kuasa yang dimiliki dijadikan alat untuk mengaut kekayaan secara haram. Soal haram halal bukan lagi perhitungan sama seperti seperti ‘buaya lapar’ yang tidak kira apapun melintas di depan mata waima bangkai sekalipun akan dibahamnya.

Begitulah juga anggota mana-mana agensi penguat kuasa yang sanggup menerima rasuah. Selama bertahun-tahun mereka menyuapkan rezeki haram ke mulut anak dan isteri, mungkin juga kepada ibu bapa di kampung. Mereka tidak fikirpun betapa jijiknya perbuatan tersebut.

Kini menyesalpun sudah tidak berguna. Mereka harus menerima akibat daripada kebodohan sendiri kerana bersedia menjadi ‘balaci’ kepada kelompok yang sanggup memberi rasuah bagi memastikan kegiatan jahat mereka melanggar undang-undang tidak dikenakan tindakan.

Tahniah kepada SPRM kerana turut menahan orang awam yang terlibat dalam kes lori kebal ini. Mereka tidak boleh dibiarkan terlepas.

Takkanlah penguat kuasa ‘pakai baju oren’, mereka masih boleh bebas lepas begitu sahaja. Justeru itulah operasi agensi itu perlu memastikan pemberi dan penerima disumbatkan ke dalam lokap.

Setakat menahan penguat kuasa yang korup tidak akan ke mana selagi masih wujud individu yang bersedia memberi rasuah bagi melindungi aktiviti haram mereka. Tangkaplah berapa ramai pun penguat kuasa tetapi selagi ada pemberi makanan ibarat penjaga buaya dalam kandang, selagi itulah kegiatan rasuah tidak boleh dihapuskan. Justeru pemberi rasuah juga harus dihapuskan. Kelompok ini sama bahayanya dengan penguat kuasa yang ‘makan suap’ kerana memberi gambaran buatlah undang-undang apapun semuanya boleh diuruskan melalui amalan rasuah.

Apa yang berlaku di JPJ Pulau Pinang itu memberi isyarat kepada kita bahawa rasuah kini sudah menjadi barah dalam agensi penguat kuasa. Sebelum JPJ digempur, ada penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) ditahan malah anggota bomba pun ditangkap. Itu belum lagi mengambil kira kes-kes melibatkan anggota polis.

Tindakan segelintir penguat kuasa tidak kira agensi manapun sanggup menerima rasuah telah mencemarkan nama baik agensi dan rakan-rakan mereka. Penulis percaya ribuan lagi anggota penguat kuasa yang menyara anak isteri dengan sumber halal. Biarpun susah macam manapun mereka tidak akan menggadaikan maruah dan mengkhianati amanah dengan menerima wang haram. Atas sebab itulah, penguat kuasa yang menjadi ‘parasit’ dalam jabatan masing-masing harus dihapuskan. Mereka tidak layak sama sekali berada di dalam jabatan berkenaan kerana menjadi ‘penyebar virus’ rasuah.

Kepada anggota penguat kuasa yang masih belum lagi ‘memakai baju oren’ dan ada potensi untuk memakainya, hentilah kegiatan haram kalian, sebelum terlambat. Mungkin juga anda akan terlepas daripada memakai ‘kemeja T paling ditakuti’ itu disebabkan anda licik, tetapi pembalasan daripada Allah pasti ada.

Menjamah dan mengalirkan wang haram dalam tubuh anda sekeluarga tidak akan ke mana, bak kata orang, di dunia anda mungkin akan diserang pelbagai penyakit, keluarga menjadi porak peranda. Di akhirat menjadi bahan bakar api neraka kerana Rasulullah SAW bersabda: “Allah melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan orang yang menjadi orang perantaraan”. (riwayat Ahmad)

Jika mereka tidak mahu juga insaf, tunggulah SPRM menjadi ‘tetamu tak undang’ di pejabat atau kediaman masing-masing. Kalau ‘tetamu’ itu sudah sampai menangis air mata darahpun sudah tidak berguna.