Sudah tentulah BNM telah mengambil kira semua petunjuk ekonomi sebelum membuat keputusan menaikkan kadar faedah. Apa yang menariknya, ketika BNM mengumumkan kenaikan OPR, kerajaan pula mencadangkan agar kadar faedah pinjaman perumahan diturunkan. Cadangan sebegini perlu dilaksanakan dengan mengambil kira manfaatnya kepada rakyat terutamanya golongan yang berpendapatan sederhana dan rendah.

Sewajarnya, hanya kadar faedah yang lebih rendah perlu dikenakan kepada golongan sebegini. Dengan ini boleh meri­ngankan bebanan mereka untuk membayar kembali pinjaman perumahan bulanan. Membantu golongan sebegini adalah langkah yang terbaik dalam mengurangkan kos sara hidup mereka.

Selain itu, banyak lagi cara lain untuk membantu mereka terutamanya menghapuskan amalan kroni kapitalis yang hanya me­nguntungkan segelintir golongan elit sahaja tetapi memberi kesan yang tidak baik kepada rakyat secara keseluruhannya. Amalan kroni kapitalis ini berlaku di banyak negara di dunia. Malah, kajian-kajian akademik juga membuktikan amalan kroni kapitalis juga berlaku di Malaysia. Sayugia diingatkan bahawa amalan kroni kapitalis tidak baik buat sesebuah negara.

Maklumlah, golongan kroni ini dipilih dalam kalangan mereka yang memiliki kuasa yang berpaksikan kenal siapa berban­ding kenal bagaimana. Akhirnya, hanya segelintir golongan elit sahaja yang mendapat manfaatnya tetapi majoriti rakyat tidak mendapat sebarang kebaikan, bahkan membebankan lagi mereka.

Mereka ini terpilih hanya kerana mengenali orang tertentu. Lebih teruk lagi, amalan kronisme ini digabungkan dengan amalan nepotisme yang hanya menguntungkan segelintir golongan sahaja. Sedangkan ramai lagi rakyat yang memerlukan bantuan yang mana mereka ini terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan miskin.

Amalan kroni kapitalis juga me­minggirkan hak seseorang yang layak dalam sesuatu projek yang mana disebabkan kerana si polan itu kroni bagi si polan yang lain, hak seseorang itu tidak dapat disempurnakan. Lebih teruk lagi, jika si kroni ini sebenarnya tidak mampu untuk menjalankan sesuatu projek tetapi bersikap tamak sehingga sanggup menga­libabakan projek tersebut kepada orang lain. Akhirnya, kos sesuatu projek akan semakin mahal yang mana majoriti rakyat terpaksa menanggungnya.

Kajian lepas menunjukkan ba­hawa syarikat-syarikat kroni di seluruh dunia sering kali di­selamatkan dan dilindungi oleh golongan yang memegang kuasa tatkala mengalami masalah kewangan. Langkah menyelamatkan syarikat-syarikat kroni ini sebenarnya merugikan rakyat kerana berkemungkinan dibantu menggunakan wang rakyat. Namun, persoalan di sini, kenapakah syarikat-syarikat kroni ini sering kali tidak memiliki prestasi yang baik meskipun selepas diselamatkan. Jawapannya mudah, kerana mereka ini tidak mempunyai kemampuan untuk bangkit semula.

Bayangkan ketika dalam kea­daan susah, syarikat-syarikat kroni diselamatkan, inikan pula ketika waktu mewah, sudah tentulah mereka ini mendapat laba yang cukup besar sehingga memiliki kekayaan yang begitu banyak. Usah terkejut amalan kronisme ini juga berlaku di negara maju termasuklah di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK). Meskipun negara-negara se­perti ini selalu melaungkan keadilan dalam perniagaan, namun mereka sendiri tidak mampu me­laksanakannya. Sebab itulah di negara-negara tersebut bilangan golongan miskin tetap ramai. Lagipun, umum mengetahui kapitalis itu berajakan wang semata-mata, yang kaya semakin kaya, maka apabila kroni terlibat dalam sistem kapitalis, sudah tentulah kesannya lebih parah lagi.

Dalam hal ini, kita boleh lihat bahawa cara kapitalis tajaan Barat sememangnya hanya me­nguntungkan sebelah pihak yang kaya raya sahaja. Maka, apabila elemen kroni terlibat secara langsung dalam sistem kapitalis, ini meningkatkan tekanan terhadap majoriti rakyat. Rakyat tidak wajar dibebani oleh pelbagai keistimewaan yang diterima oleh kroni-kroni. Dalam tempoh jangka masa panjang, persoalan-persoalan asas untuk menjaga kesejahteraan rakyat juga sukar untuk dijawab dengan baik memandang­kan masih terdapat pelbagai permasalahan melibatkan rakyat bawahan yang tidak dapat diselesaikan. Masakan tidak, tumpuan hanya terhadap golongan kroni kapitalis manakala nasib golongan bawahan tidak terbela.

Justeru, sudah sampai masa­nya amalan kroni kapitalis dihapuskan sepenuhnya agar keka­yaan negara diagihkan secara adil dan tidak hanya dibolot oleh segelintir golongan sahaja.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).