Jika pendaftaran secara bersemuka masih diteruskan, sekarang pula ada dalam kalangan guru tidak mengambil masa panjang untuk membuat keputusan memuat naik borang dan mengisinya demi mendapat tempat dalam kalangan keahlian yayasan itu yang men­cecah 100,000 orang.

Dalam tempoh kurang tiga tahun ini sahaja, YGMB berjaya membawa masuk lebih 20,000 ahli baharu.

Menerusi siri Program Guru Muda 1Malaysia setiap minggu yang dijalankan di negeri-negeri, terdapat pertambahan keahlian yang memberangsangkan. Lebih membanggakan, per­kembangan positif ini datangnya daripada penyertaan guru daripada pelbagai kaum.

“Hanya (guru) yang prihatin dan merasakan dirinya boleh mendapat manfaat akan menyertai YGMB. Sumbangan kecil (yuran keahlian cuma RM10 sebulan), tetapi faedahnya banyak.

“Lebih menarik lagi, RM10 itu daripada potongan gaji yang tidak dirasakan bebannya sangat berbanding kita beli sebungkus rokok berharga RM12 sekotak ataupun bersarapan yang mungkin melebihi RM10,” kata Pengerusi YGMB, Tan Sri Ali­muddin Mohd. Dom dalam pertemuan dengan Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menerusi 16 faedah kebajikan yang bakal dinikmati oleh ahli YGMB dengan hanya bayaran yuran bulanan RM10 itu, ini sekali gus menjadikannya satu-satunya skim seumpamanya di pasaran yang boleh memberikan sumbangan kebajikan sedemikian. Enam belas faedah itu meliputi khairat kematian (ahli), khairat kematian ­(pasangan), khairat kematian (anak), kemalangan, kecacatan kekal (ahli), kecacatan kekal (pasangan), kecacatan kekal (anak), elaun hospital dan malapetaka.

Yang lain pula adalah faedah akibat musibah, insentif pelajaran (ahli), insentif pelajaran (anak), persaraan, mengerjakan haji, melahirkan anak dan perkahwinan.

Selain itu, kata Alimuddin, guru-guru yang menyertai YGMB dapat menikmati diskaun melalui pembelian yang telah dipakejkan dalam 1TeachersCard.

“Fi kemudahan atau caj ke­wangan kad ini adalah yang terendah 8.88% setahun berbanding kad kredit lain yang mengenakan caj sehingga 18% setahun (1.5% sebulan),’’ jelasnya.

Menurut Alimuddin, jika di­bandingkan keahlian 100,000 sedia ada dengan jumlah guru di negara ini seramai 430,000 orang, angka itu masih merupakan jurang besar.

“Dua minggu lalu, ketika kami anjurkan program Guru Muda 1Malaysia, YGMB diajukan pertanyaan adakah tempoh tertentu ditetapkan selepas menjadi ahli untuk seseorang ahli berhak menikmati faedah daripada 16 pakej kebajikan itu.

“Saya jawab, sebaik sahaja anda mendaftar menjadi ahli, anda berhak membuat tuntutan dan boleh menikmatinya. Antara tuntutan pa­ling besar amaunnya adalah khairat kematian akibat kemalangan ​sehingga RM28,000 dan kematian biasa RM8,000. Sejak ditubuhkan pada 1994​, YGMB membelanjakan RM13 juta untuk sumbangan ahli. Ini adalah komitmen YGMB untuk memberikan apa yang telah dijanjikan kepada ahli,” katanya.

Alimuddin berkata, pihaknya merancang memperluaskan ke­ahlian kepada guru-guru dan pensyarah yang bernaung di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Kementerian Pendidikan Tinggi. Antaranya guru yang mengajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Jabatan ­Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan jabatan agama Islam negeri.

Mengakui perkembangan semasa dan pertambahan ahli mengkehendaki YGMB melibatkan diri dalam aktiviti ekonomi yang mampu menjana pendapatan, Alimuddin berkata, penerokaan lebih banyak sumber pendapatan baharu akan terus dilakukan tanpa melupakan misi utamanya menjaga kebajikan guru serta memartabatkan profesion perguruan di negara ini.

“Jangan bimbang kerana YGMB kini terlibat dalam pelbagai ​sektor pelaburan lain melalui kaedah kerjasama strategik dengan beberapa sektor korporat dan pelbagai bidang termasuk penerbitan,” katanya.

Mengenai Persidangan Agung Tahunan YGMB yang akan berlangsung esok di Kuala Terengganu, Ali­muddin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu atas segala sokongan yang telah diberikan.

“Dalam persidangan itu nanti, ahli-ahli akan diterangkan mengenai kegiatan-kegiatan YGMB dan pada masa sama kami amat meng­alu-alukan sebarang usul dan cadangan ahli untuk menambah baik aktiviti yayasan,” katanya.