Ini dilakukan dengan pelbagai tohmahan termasuk  melabelkannya sebagai bajetfiksyen dan ‘gula-gula’ pilihan raya.
Apakah label yang diberikan pembangkang terhadap bajet itu benar? Wartawan Utusan Malaysia, ABDUL YAZID ALIAS dan jurugambar, SAHARUDDIN ABDULLAH baru-baru ini mendapatkan pandangan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, DATUK MAT NADZARI AHMAD DAHLAN bagi mengupas keadaan itu termasuk kesan Bajet 2018 kepada rakyat Selangor.

MAT NADZARI AHMAD DAHLAN
MAT NADZARI AHMAD DAHLAN

UTUSAN: Adakah Bajet 2018 memberi kesan kepada rakyat dan negeri Selangor?

MAT NADZARI: Rakyat Selangor khususnya yang tinggal di kawasan Lembah Klang kini boleh menarik nafas lega apabila Kerajaan Persekutuan meng­umumkan pemansuhan kutipan tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau berkuat kuasa 1 Januari 2018 yang memberi lebihan pendapatan bulanan.

Keputusan Kerajaan Persekutuan memansuhkan tol itu melibatkan kewangan yang besar termasuk kesan kepada 95 kakitangan di kedua-dua plaza tol berkenaan. Namun, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, Perdana Menteri tetap melaksanakan usaha untuk kepenti­ngan rakyat. Begitu juga dengan pembangunan pengangkutan awam, Selangor walaupun bukan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN), Kerajaan Persekutuan dalam Bajet 2018 tetap melaksanakan projek East Coast Rail Link (ECRL) yang meng­hubungkan Pelabuhan Klang ke Pengkalan Kubor, Kelantan selain mempercepatkan pembinaan Transit Aliran Massa Jajaran Ketiga (MRT3) yang dijangka siap pada 2025, lebih awal daripada sepatutnya iaitu pada 2027.

Semua ini kalau diikutkan akan memberi kesan positif kepada sistem pengangkutan awam, penyuraian trafik serta membuka potensi pelaburan baharu di Selangor. Berbanding Pelan Induk Pengangkutan Awam Selangor yang dirancang oleh kerajaan negeri, bayangnya pun masih tidak ada dan gagal dibentangkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sehingga kini.

Tetapi pembangkang khususnya Menteri Besar Selangor memperlekehkan Bajet 2018?

Keputusan kerajaan memansuhkan kutipan tol di Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau dikatakan tindakan BN untuk memancing undi dan merampas semula Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-14. Bagaimanapun, dalam masa sama mereka cuba ambil kredit di sebalik keputusan itu kononnya hasil perjuangan mereka. Hakikatnya mereka tidak berbuat apa-apa, yang gerakkan usaha bantu rakyat adalah BN yang merasai denyut nadi mereka.

Kenapa pembangkang bertindak sedemikian?

Tindakan mereka itu adalah kerana ‘cemburu’ dengan kemampuan BN dalam membantu rakyat. Mohamed Azmin sebelum ini mencanang-canangkan Se­langor menyumbang kira-kira 22 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Namun, sedar atau tidak, peratusan itu dicapai kerana adanya usaha Kerajaan Persekutuan yang terus memberi perhatian dalam pembangunan di negeri ini. Jika Menteri Besar berasakan beliau lebih baik meng­uruskan ekonomi negeri, me­ngapa kadar sumbangan Selangor kepada KDNK negara kekal statik pada kadar 20 hingga 23 peratus sahaja sejak pakatan pembangkang mengambilalih pentadbiran negeri daripada BN pada 2008? Kalau lebih baik, sepatutnya sumbangan KDNK Selangor kepada negara melebihi kadar itu.

Pada 3 November lalu, kerajaan negeri turut membentangkan Belanjawan Selangor 2018, apa impaknya?

Pada saya, Belanjawan Sela­ngor 2018 yang dibentangkan oleh Menteri Besar itu suatu pe­rancangan perbelanjaan yang bersifat kosmetik. Kerajaan n­egeri mengulangi pencapaian lama dan tidak mengemukakan ba­nyak inisiatif baharu, cuma sambung inisiatif lama sahaja. Selain itu, bajet Selangor seperti macam ada ‘potong corner’.

Dalam bajet itu, kerajaan ne­geri didapati menganaktirikan kawasan utara barat laut Selangor dalam pembangunan ekonomi. Begitu juga dalam soal kemudahan jalan raya, kerajaan negeri menaiftaraf jajaran sedia ada, mereka tidak berusaha membuka jajaran baharu sekali gus membuka peluang pertubuhan baharu ekonomi di negeri ini.

Apa perancangan BN andai berjaya menerajui kembali pentadbiran Selangor pada PRU-14 nanti?

Pertamanya, kita berusaha mengukuhkan agenda pemba­ngunan Islam di Selangor dari segi pendidikan, institusi masjid dan surau serta memartabatkan institusi mahkamah syariah di negeri ini.

Keduanya, kita akan menumpukan kepada pembangunan fizikal sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi dari segi galakkan pelaburan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi kepada rakyat dari semua kaum.

Ketiganya, kita juga akan ber­usaha memperbetulkan semula sistem jaringan sosial serta asas hidup rakyat yang huru-hara di bawah pentadbiran pakatan pembangkang ketika ini.

Ini dapat dibuktikan melalui aduan serta rungutan rakyat ketika ini yang berhadapan dengan isu denggi, banjir, pengurusan sampah, bekalan air sehinggalah kepada masalah sosial dengan operasi pusat urut dan judi yang semakin berleluasa. Dalam masa sama, kita akan beri tumpuan kepada isu perumahan rakyat yang gagal ditangani kerajaan negeri pada hari ini.