Dia yang berasal dari Manjung, Perak itu memberitahu, adiknya sudah hampir sebulan duduk di Shah Alam untuk mencari kerja.

Katil adiknya selang beberapa katil daripada anak bongsu saya yang turut terkena demam denggi dan ditempatkan di wad itu - wad High Dependency Unit (HDU) - di sebuah pusat perubatan di Subang Jaya, Selangor.

Pemuda itu begitu ramah berkongsi cerita dan petua untuk menaikkan platelet darah setiap kali saya masuk ke wad tersebut.

Sesekali dia datang menunjukkan jus betik dan lain-lain suplemen yang katanya baik untuk memulihkan demam denggi.

Minggu lalu, ujian getir bagi saya apabila dua orang anak saya serentak terkena demam denggi. Yang sulung ditempatkan di wad biasa.

Takut dan bimbangnya saya, Tuhan saja yang tahu bila masing-masing lemah tidak bermaya, tidak mahu makan dan bacaan platelet darah mereka turun sehingga angka 8 dan terpaksa dimasukkan darah.

Dalam peringkat itu kata doktor, bila berlaku apa saja pendarahan, ia amat membahayakan. Saya pun jadi tidak senang duduk. Dalam hati tak putus-putus berdoa agar semuanya selamat. Risaunya bukan kepalang!

Memang benarlah seriusnya demam denggi ini di sekitar Selangor ini. Seorang jururawat memberitahu saya, di wad tingkat 4 hospital itu, kira-kira 80 peratus daripadanya menghidap demam denggi.

Bilik-bilik di situ tak usah ceritalah, sentiasa penuh. Apabila pesakit keluar ada saja pesakit baru masuk. Kebanyakan mereka terkena denggi.

Kata seorang pekerja yang tugasnya mengambil darah di situ, terdapat satu keluarga iaitu enam beranak turut mendapat rawatan demam denggi di wad berkenaan.

Ada juga kes, empat-empat sekali orang bujang yang duduk serumah, terpaksa dirawat di hospital itu kerana wabak tropika berkenaan.

Memang dalam cuaca panas dan hujan sesekejap membuatkan nyamuk Aedes membiak dengan cepat.

Di kawasan perumahan saya di Seksyen 9, Shah Alam, seingat saya telah lama diletakkan poster kawasan denggi. Risalah-risalah mengenai denggi sudah banyak diberi. Fogging begitu kerap dilakukan. Gotong-royong juga selalu .

Saya pun bukan rajin menanam bunga atau apa saja tumbuhan yang menggunakan pasu dan dalam bilik air pun tiada kolah air. Tetapi kalau hendak kena, kena juga.

Seekor nyamuk, bukan seorang saja mampu digigitnya, kalau boleh satu rumah!

Kita pun sudah tahu dan banyak kali didedahkan tentang bahaya denggi. Demam ini boleh mengakibatkan kematian.

Maka jangan leka dan berfikir jika fogging sudah kerap kali dilakukan maka itu sudah cukup dan pencegahan lain tidak perlu dilakukan di rumah.

Apa yang kita bimbangkan, nyamuk Aedes juga boleh saja berada di kawasan-kawasan awam seperti di tempat makan, pusat riadah, di pejabat-pejabat dan di sekolah-sekolah.

Justeru pihak yang bertanggungjawab atas premis atau kawasan ini perlu mengambil langkah-langkah pencegahan.

Dan memandangkan kes demam denggi di kebanyakan negeri di negara ini terus meningkat, maka apabila berlaku demam panas yang tinggi dan seluruh sendi merasa sakit-sakit teruslah melakukan ujian darah.

Janganlah rasa teragak-agak, malas atau asyik meneliti simptom-simptom demam denggi dalam Internet tetapi tak pergi-pergi juga ke klinik untuk melakukan ujian darah.

Kelewatan mendapatkan rawatan daripada pihak hospital boleh mengancam nyawa.