Ini bukan saya yang kata. Saya terbaca petikan ini dalam laman sosial. Punyalah ramai orang yang suka (like) dan kongsi. Saya pun tidak tahu kenapa ramai suka. Tertanya-tanya juga, ini kata-kata motivasi, pencetus semangat atau cari pasal? Ramai sangat bersetuju tentang post ini. Ada yang komen - Very true indeed (sangat benar).

Begitu agaknya cara yang paling disukai ramai dalam menyelesaikan masalah? Bermasalah saja, `jangan cakap dengan saya’. Nampak memang sangat mudah dan selamba. Tetapi itukah jalan penyelesaian terbaik? Boleh pakaikah kata-kata sebegini dalam hidup bermasyarakat?

Dibuatnya semua orang di sekeliling tidak suka dan tidak setuju dengan tindakan dan pendapat kita. Maknanya, adakah orang itu mahu bersendirian ke mana-mana? Dan tidak bercakaplah dengan sesiapa sampai bila-bila. Macam itukah?

Be yourself, atau jadilah diri sendiri, sering dijadikan alasan untuk melakukan apa saja yang disukai oleh sesetengah pihak. Tidak kiralah sama ada ia menyakitkan hati atau mata orang lain memandang. Ibaratnya dunia ini, dia seorang saja ada di dalamnya. Memang kita patut menjadi diri sendiri, tak suruh pun jadi orang lain, tetapi menjadi diri sendiri yang macam mana tu?

Apakah mempertahankan tindakan be yourself itu tidak menjejaskan dan menyakiti hati orang lain? Dan apakah ia juga baik dan memberi faedah kepada diri sendiri?

Maka bila mahu jadi diri sendiri sangat, itu yang ada bercakap sesuka hati. Mengecam semua orang itu dan ini. Mengeluarkan kenyataan yang bukan-bukan terutamanya dalam media sosial. Ada yang hendak menampar orang saja kerjanya, ada yang bersungguh-sungguh mempertahankan tindakan bergambar seksi bila ramai yang tegur, kononnya kenapa perlu hipokrit, ada yang jadi keyboard warrior mempertahankan kawan-kawan yang terlibat dalam LGBT dan mengutuk sesiapa saja yang menasihat, dan macam-macam lagi.

Bila berlaku kemalangan atau tragedi pula, ada saja yang tak kena pada pihak yang melakukan operasi menyelamat nyawa. Lambat­lah. Tak tahu buat kerjalah. Macamlah kalau dia berada di situ semuanya pantas dapat diselamatkan. Tiba-tiba ramai betul menjadi `Profesor serba tahu’ ketika itu.

Sejak beberapa tahun ini pula sudah ramai yang berani menghina agama, hina raja, hina bangsa dan hina kematian seseorang. Mungkin sebab rasa dirinya kalis undang-undang dan mahu be yourself sangat dalam bersuara, akhirnya menyusahkan diri sendiri.

Bila dikecam dan ditularkan, minta maaf. Entahlah. Minta maaf dalam laman sosial ini, betul-betul ikhlas atau sudah insaf? Atau takut diambil tindakan undang-undang?

Sampai bila mahu terus bersikap menegakkan benang basah? Sampai bila suka berkontroversi, menongkah arus yang tak bertempat dan tidak mahu mengiyakan kebenaran, walaupun tahu apa yang dilakukan dan perjuangkan itu tidak betul, hanya kerana memenangkan ego dan mahu jadi diri sendiri.

Pada saya, kata-kata yang lebih sesuai bagi menggantikan petikan di atas adalah - Hidup ini jangan cari pasal! Apa susah sangat. Selesai masalah!