Begitu juga dalam lawatan yang terbaharu itu, beliau memperuntukkan tempoh sehari suntuk di Kedah bagi membolehkannya bertemu dan mendekati penduduk terdiri segenap lapisan dari golongan nelayan, pesawah sehingga ke penoreh malah, dari kepimpinan kerajaan negeri sehingga ke penjawat awamnya.

Namun lebih penting, lawatan Perdana Menteri kali ini sangat signifikan apatah lagi Kedah adalah negeri pertama dilawati beliau selepas pembentangan Bajet 2018 pada 27 Oktober lalu.

Hal ini sendiri diakui Najib ketika berucap dalam salah satu program ketika lawatannya itu iaitu betapa pembangunan negeri ini sentiasa berada dalam radar beliau demi ­kesejahteraan penduduk Kedah.

“Segala aspirasi jadi kenyataan, banyak lagi program kita akan buat. Kedah akan tetap kita perjuangan sebagai negeri penting dan lebih maju di bawah kerajaan yang ada sekarang,” katanya ketika berucap dalam majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri Kedah di pekarangan Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, Alor Setar.

Aspirasi yang dimaksudkan beliau tentunya untuk membangunkan ekonomi Kedah agar penduduk dapat merasai limpahan ekonominya melalui pelbagai projek baharu yang diumumkan seperti Special Border Economic Zone di Bukit Kayu Hitam yang merangkumi Zon Perindustrian Bebas dan Pusat Kanser di Sungai Petani.

Bukan sekadar retorik kerana projek berkenaan adalah salah satu projek mega yang dibentangkan beliau dalam Bajet 2018 lepas.

Perancangan yang dirangka mampu melonjakkan pembangunan negeri kerana ia pasti melibatkan infrastruktur yang dipertingkatkan dan bidang ekonomi baharu yang boleh dite­rokai.

Di peringkat kerajaan negeri, bukan sekadar projek mega iaitu Bandaraya Getah Kedah dan Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) yang digariskan dalam Rangka Tindakan Pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (Blueprint 2.0).

Pelbagai insentif melimpahi penduduk negeri ini di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah termasuk Bantuan Rakyat Kedah (Barakah) turut memberi impak tersendiri.

Khabarnya, dalam pembentangan bajet kerajaan negeri pada pertengahan bulan ini lebih banyak insentif dan kejutan bakal diumumkan untuk penduduk Kedah.

Perkara itu jelas menunjukkan bahawa pembangunan negeri jelapang padi ini sentiasa menjadi perhatian kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menjadikan Kedah sebuah negeri berpiawaian tinggi dan mempunyai infrastruktur terbaik.

Oleh itu juga, demi kelangsungan pembangunan Kedah yang kelak memakmurkan rakyat betapa pentadbiran kerajaan negeri perlu diterajui oleh satu parti yang stabil, kukuh dan berpengalaman seperti BN bukan parti lain.

Pengalaman perit berada di bawah pembangkang sepenggal dahulu tentunya masih berbekas terutama apabila banyak pembangunan terbantut gara-gara pelbagai krisis yang dasarnya bermula daripada organisasi parti itu yang tidak stabil dan goyah.

Pembangkang Kedah yang ada sekarang pun apa kurang­nya. Jika dalam soal paling asas iaitu pembahagian kerusi untuk pilihan raya umum pun masih bercelaru dan bertelagah sesama pemimpin sendiri wajarkah masa depan negeri ini dipertaruhkan kepada mereka.

Tentu sekali tidak!