BANYAK pihak yang maklum betapa dahsyatnya perbalahan politik antara Dr. Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim pada 1990-an terperanjat apabila kedua-duanya kembali bertaut untuk menumbangkan Datuk Seri Najib Tun Razak. GAMBAR HIASAN/REUTERS

Peristiwa tersebut tercetus apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu Perdana Menteri memecat Timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kerajaan dan UMNO. Lanjutan itu berlaku pergolakan hebat dalam politik negara.

Orang Melayu berpecah lagi.Satu kelompok menyokong Dr. Mahathir dan satu kelompok menyokong Anwar. UMNO pula turut menerima kesan apabila isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menubuhkan Parti Keadilan yang kini dikenali sebagai PKR.

Dalam mempertahankan tindakannya Dr. Mahathir bagaikan memuntahkan segala rahsia me­ngenai perlakuan Anwar yang beliau anggap sama sekali tidak layak menjadi Perdana Menteri.

Apabila Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-10 diadakan, ia menyaksikan buat kali ketiga dalam tempoh sembilan tahun selepas 1990, parti-parti pembangkang bergabung. Ketika itu ramai merasakan BN di bawah kepemimpinan Dr. Mahathir akan tumbang kerana kerjasama pembangkang ketika itu dianggap terkuat pernah wujud.

Tetapi hari ini menjelang PRU-14, rakyat diuar-uarkan oleh Ke­tua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah ko­nonnya gandingan Dr. Mahathir dan Anwar telah menjadikan Pakatan Harapan yang disertai oleh DAP, PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PAN adalah gabungan pembangkang paling kuat dalam sejarah negara ini.

Bagaimanapun ucapan Saifuddin itu yang dibuat di Konvensyen Pakatan Harapan Pahang baru-baru ini tidak akan mampu memperbodohkan rakyat untuk melupakan apa yang berlaku pada penghujung 1998 dan 1999.

Menyatakan gandingan pembangkang kali ini sebagai paling kuat dalam sejarah adalah satu andaian yang boleh dianggap amat mengarut. Saifuddin perlu belajar mengkaji sejarah politik negara dengan meneliti satu demi satu perjalanan pilihan raya umum negara ini khususnya bermula pada 1990.

Masihkah kita ingat pada tahun itu rentetan daripada pertembungan antara Dr. Mahathir dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bagi perebutan jawatan Presiden UMNO, ia berlanjutan sehingga ke mahkamah yang berkesudahan UMNO diharamkan. Tengku Razaleigh menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 (S46).

Dengan disertai oleh hampir separuh pemimpin kanan UMNO termasuk yang mempunyai jawatan dalam Kabinet sebelumnya, S46 mewujudkan dua blok pembangkang yang dianggap cukup kuat dan mampu menumbangkan Barisan Nasional (BN). Blok pertama dinamakan Gagasan Rakyat yang menggabungkan S46, DAP dan PBS manakala blok kedua menyatukan S46, Pas, Berjasa dan Hamim. Kekuatan pembangkang itu ternyata menggugat BN apabila Pas menawan Kelantan manakala Sabah jatuh ke tangan PBS.

Pada 1998 apabila Dr. Mahathir memecat Anwar, BN sekali lagi terpaksa bertarung menentang blok pembangkang yang dianggap kuat iaitu PKR yang mengambil tempat S46 menjalin hubungan dengan DAP dan Pas bagi mewujudkan Barisan Alternatif dalam pilihan raya umum 1999. Kerjasama antara parti-parti pembangkang berterusan sehinggalah PRU-13.

Bagaimanapun kali ini Saifuddin perlu faham dua situasi. Pertama, apabila Dr. Mahathir me­nubuhkan PPBM, tiada pemimpin kanan UMNO yang mengikut beliau dan kedua, blok pembangkang kali ini tidak melibatkan Pas yang membuat keputusan tidak mahu bersama Pakatan Harapan. Tanpa Pas, blok pembangkang boleh dianggap pincang kerana selama ini kejayaan PKR terutamanya ba­nyak disumbangkan oleh soko­ngan jentera dan ahli Pas.

Lebih menarik lagi, apabila Dr. Mahathir dicalonkan sebagai Perdana Menteri sementara jika Pakatan Harapan menang PRU-14 sebelum kononnya akan diserahkan kepada Anwar, ia dianggap sandiwara politik kelas tertinggi yang dipaparkan oleh kesemua pemimpin dalam PKR, DAP, PPBM dan PAN. Ia kerana semua orang memahami betapa ‘dahsyatnya’ perbalahan politik antara mereka.

Oleh itu apabila Saifuddin menyatakan gandingan semula Dr. Mahathir dan Anwar menjadikan Pakatan Harapan sebagai gabungan pembangkang pa­ling kuat dalam sejarah negara, ‘kambing pun boleh tersenyum’. Hanya orang yang tidak tahu sejarah politik kedua-dua mereka sahaja akan menerima hujah dangkal Saifuddin.

Ia kerana Dr. Mahathir tidak mungkin akan sewenang-wenangnya menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar, lagi pula Anwar perlu melalui pro­ses pengampunan diraja bagi membolehkan menduduki jawatan itu. Dengan sikap ‘diktator’ yang pernah dipalitkan oleh parti-parti pembangkang terhadap Dr. Mahathir adakah beliau benar-benar bersedia meletakkan Anwar sebagai Perdana Menteri?

Sedangkan sehingga ke hari ini, Dr. Mahathir tidak pernah menarik balik segala kata-kata beliau mengenai moral Anwar, sebaliknya dalam forum Nothing To Hide di Shah Alam tidak lama dulu, beliau mahu penyokong-penyokong Anwar melupakan tindakan beliau ke atas Anwar.

Turut menarik perhatian apabila Saifuddin menyatakan kekuatan Pakatan Harapan ditunjukkan melalui kejayaan pe­ngagihan kerusi untuk ditandingi. Sehari selepas Saifuddin membuat ucapan retorik itu, di Ne­geri Sembilan berlaku kekecohan dalam konvensyen pakatan itu apabila ahli-ahli PPBM tidak berpuas hati dengan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan jangan lupa sebelum itu dalam kalangan pemimpin dan penyokong PAN juga dikatakan kecewa dengan pembahagian kerusi peringkat Parlimen.

Kesimpulannya, berdasarkan sejarah dan apa yang berlaku, kenyataan Saifuddin sama ada dalam soal gandingan Dr. Mahathir-Anwar mahupun kekuatan Pakatan Harapan, ia hanya sekadar ‘politik syok sendiri’.