Ada yang bertanya, bagus sangatkah filem Mamat Khalid tu, sampai orang berbondong-bondong pergi menonton? 

Bagus tak bagus pun, nampaknya resipi cerita 'orang gila' memang jadi kesukaan zaman sekarang. HKL 'meletop' sebab orang sudah malas hendak memikir bagai nak gila. 

Kau buat filem pasal merdeka ke, fasal pengorbanan tentera Jepun ke, kasih sayang ibubapa ke, jangan harap boleh laku. 

Kalau buat cerita ketua kampung berkorban di pagi Hari Raya Aidiladha dengan lembu sekandang pun, jawabnya sendiri buat wayang pacak, sama-sama tengok dengan orang kampung sajalah jawabnya. Jangan harap hendak laku di pawagam satu Malaysia ya. 

Kenapa? Sebabnya, orang zaman sekarang tak mahu berfikir jauh-jauh sangat dah. Lebih baik layan cerita orang gila, lepas tu gelak kuat-kuat (macam hantu), lagi bagus. Dan kebetulan juga, sekarang di Malaysia semakin ramai orang gila. 

Gila viral, gila tayang kaya, gila kuasa, macam-macam gila. Tahap gilanya pula, macam-macam gaya. 

Sam­pai­kan sudah tidak boleh difikir dengan akal yang waras lagi. Sebab itu, hampir setiap hari akan ada orang buat kerja yang kalau ikutkan logiknya, tidak akan dibuat oleh orang normal.    

Pernah kita terfikir pasal perempuan Melayu, bertudung litup, sanggup buat video bagi ceramah percuma bercakap pasal ‘burung’ dalam seluar lelaki Melayu?

Pernah tak kita terfikir akan ada perempuan hendak jual produk ‘kuat’ tenaga batin, sampai sanggup buat video ala-ala ‘berperang’ di atas katil, sambil goyang segala aset yang ada secara percuma, untuk tontonan berjuta-juta orang di luar sana? 

Dan, masih hangat akan kisah jutawan yang bersekongkol dengan dua ‘mak nyah’ membuat tayangan amal melalui video klip murahan, ala-ala melambung-lambung ‘payudara’ yang tak berapa nak ori tu? Bangga sungguh mereka ini dengan pencapaian tahap dada penuh suntikan silikon itu nampaknya. Apa, tak cukup gila lagi ke itu semua? Jadi, filem macam HKL itu sudah dianggap sebagai ubat hilangkan stres. 

Mampu elak rasa nak gila. Nampaknya selamat menghasilkan lebih banyak filem dan video tentang kisah orang dan ‘kegilaan’ mereka.

Yang penting, anda pasti mampu jadi popular dengan sekelip mata hanya dengan cerita ‘gila’. 

PS: Nyaris biul...