Hilang kesungguhan apa? Hilang kesungguhan hendak terus ‘mengayat’ orang perempuanlah. Bila sudah berumahtangga atau bila sudah mengenali orang perempuan itu lama sikit, dia macam sudah hilang segala ‘skil’ yang beria-ia ditunjukkan masa mula-mula mengurat dulu.

Kita selalu dengar ada segelintir orang lelaki merungut dan mengumpat, mengata orang perempuan apabila sudah kahwin mulalah tidak jaga penampilan. Serabai sana sini. Tak macam mula-mula kenal atau bercinta dulu. Bukan main bersolek dan berpakaian cantik walaupun setakat bawa ‘mengeteh’ di restoran mamak. Orang perem­puan ketika itu, kata mereka, bersungguh-sungguh hendak menarik dan menjaga hati teman lelakinya.

Namun, sikap orang perempuan dikata berubah selepas kahwin. Lebih memberikan tumpuan kepada anak-anak dan sudah malas melayan suami berbual dan pada masa sama, suka pula melenting dan marah-marah.

Tetapi sebenarnya, orang lelaki pun apa kurangnya. Tak payah tunggu masa kahwin, belum kahwin lagi pun ada yang sudah hilang kesungguhan. Sedikit demi sedikit boleh nampak perubahannya. Dulu kesungguhan 200 peratus. Lama sikit berkurangan 150 peratus, 80 peratus, akhirnya tinggallah 20 peratus, itu pun markah kasihan.

Sebabnya dia yakin, orang perempuan itu suka pada dirinya dan sudah jadi isteri pun, jadi tak perlu bersungguh-sungguh lagi. Buat acuh tak acuh sajalah.

Dulu masa mula-mula bercinta bukan main lagi kejap-kejap hantar mesej di WhatsApp, hantar gambar selfie dan telefon tanya itu ini. Kalau teman wanita demam, sanggup hantar Panadol walaupun duduk jauh. Bila sudah kahwin, lama-lama semuanya hilang. Isteri hantar gambar selfie, dia tak tengok langsung, terus delete atau dikata mengada-ngada pula.

Jadi di manakah letaknya kesungguhan seorang lelaki itu? Akak cun pun tak dapat hendak jawab, sebab akak cun bukan lelaki. Tetapi akak cun ada juga tanyakan orang lelaki, pasal hal ini. Jawapan standard mereka: “Eh, mana ada. Pandai-pandai saja kau ni bawa mulut. Suka cari salah lelaki”.

Akak cun pun dalam masa tak berapa nak ada kerja sangat, melayarilah internet. Mencari kalau-kalau ada isu ini dibincangkan. Rupanya ramai juga orang yang menulis tentang hal ini. Dan ini akak cun ambil di media sosial tentang tanda-tanda orang lelaki itu sudah hilang minat dan kesungguhan. Di bawah ini antaranya:-

Perubahan mood

Sebelum ini orang lelaki itu cukup gembira bila dapat berjumpa atau berbual-bual dengan anda. Dia akan mencari banyak sebab untuk berjumpa dan membawa isteri atau bagi yang belum berkahwin teman wanita keluar, tetapi sekarang mencari macam-macam alasan untuk mengelak keluar bersama. Ini termasuk sibuk bekerja dan letih. Tak payahlah pening-pening kepala tertanya-tanya sama ada anda ini sudah membosankankah? Sebenarnya, dia yang sudah berubah. Bukan anda.

Lebih suka layan telefon pintar

Bila bersama anda dia lebih suka menumpukan perhatian pada telefon pintar. Tanya soalan, dia jawab sepatah dua. Kadang-kadang dia langsung tidak menghiraukan anda ada di depannya. Mungkin dia ingat di depannya itu patung cendana.

Resah bila bersama anda

Semasa keluar bersamanya, dia akan resah semacam. Asyik melihat jam. Semuanya disuruh cepat. Termasuk disu­ruh segera menghabiskan makanan dan pulang ke rumah.

Pentingkan kawan-kawan

Dia lebih mementingkan kawan-kawan daripada anda. Kawan-kawan ajak keluar, laju saja dia pergi. Tak ajak pun, dia siap angkat tangan hendak ikut juga. Sedangkan, bila anda yang mengajak, dia akan beri macam-macam alasan. Ini menunjukkan dia telah menukar keutamaan. Kawan-kawan jadi keutamaan nombor 1, nombor 2 baru anda, atau sebenarnya anda jatuh nombor 10.

Berterusan menyakitkan hati

Bila anda sudah menegur banyak kali tentang perangai yang tidak disukai, tetapi dia berterusan melakukannya, walaupun berjanji akan berubah. Nampak macam sengaja. Itu maknanya dia tidak kisah lagi untuk menjaga hati anda. Dia malas untuk berterus-terang, maka ditunjuk dengan perbuatan.

Mengelak cakap pasal kahwin

Bagi yang belum berumahtangga, tiba-tiba lelaki itu mengelak bercakap pasal kahwin, sedangkan sebelum ini dia yang tak sabar-sabar, ketahuilah ini adalah isyarat yang cukup jelas. Jangan ditunggu-tunggu lagi lelaki sebegini. Lebih baik, cari lain.

Tiba-tiba jadi workaholic

Anda kenal sangat dia seorang yang biasa-biasa saja dalam kerja, malah suka ponteng dan ambil MC, tetapi tiba-tiba saja rajin di pejabat. Balik pun tengah malam untuk mengelak bertembung atau berbual dengan anda.

Bagi akak cun, akak cun memang sukakan perubahan. Tetapi biarlah hal yang baik-baik saja. Tak baiklah orang lelaki yang bersikap hangat-hangat tahi ayam dan yang perempuan pula dibuat macam tahi ayam, busuk dan dibuang. Tak bolehkah lelaki maintain dengan kesungguhannya?

Janganlah asyik mengata orang perempuan berubah penampilan bila sudah kahwin. Kalau hendak isteri cantik, belikanlah dia baju, kasut cantik-cantik dan set penjagaan muka serta badan. Ini sabun mandi pun berkira hendak beli! Lagi nak cerita pasal isteri tak cantik. Entah apa-apa.