Harus sentiasa berjaga-jaga apa yang harus dibuat atau harus tidak dibuat kerana nanti orang nampak. Atau orang akan bertindak balas.

Lalu dikatakan, penghuni rumah kaca jangan buang batu. Nanti apabila orang baling batu, rumah itu akan pecah dan musnah. Malangnya tidak semua ahli politik berkebolehan bersikap positif dan hati-hati sentiasa.

Apabila terlupa sedikit, ada sahaja mudarat yang sampai. Ada kalanya keaiban meletus pada saat-saat yang tidak disangka-sangka. Ada kalanya jerat negatif mengena apabila seseorang itu sudah lama bersara.

Sekarang berbahang sana sini orang bercakap pasal pilihan raya umum ke-14. Tumpang lalu pun tidak mahu ketinggalannya.

Bab wakil rakyat sudah bersara, kita tidak boleh buat apa. Sudah sampai masanya. Tetapi bagaimana pula kisah wakil rakyat bermusim yang muncul sekali-sekali dalam tempoh lima tahun. Tak menyingakah kita? Dulu waktu nak merayu undi, bukan main manisnya mulut. Tetapi apabila sudah duduk di kerusi yang dicita-citakan, buat kerja pun longlai.

Yang tak sedapnya, lembu punya susu, sapi pula dapat nama. Dalam satu-satu kerusi Parlimen itu dan Dewan Undangan Negeri itu, orang lain lebih bekerja keras berbanding wakil rakyat. Pendek kata, ada dua wakil rakyatlah da­lam satu kawasan.

Sebab itu marah benar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dengan kelibat aktif Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said yang gigih berkhidmat untuk rakyat Permatang Pauh.

Ini sehinggakan Guan Eng pa­nggil sidang akhbar mempersoalkan mengapa dia tidak boleh masuk sekolah bagi bantuan.

“Dia buat sidang akhbar baru-baru ini hentam saya...persoalkan kenapa dia tak boleh masuk ke sekolah-sekolah bagi bantuan. Pemberita akhbar Cina telefon saya kata Guan Eng tunjukkan keratan akhbar memaparkan saya buat begitu.

“Punca utama saya masuk sekolah kerana kesemua 35 sekolah di Permatang Pauh bersilih ganti jemput saya.

“Saya tidak pernah berpolitik dalam sekolah, cuma beri motivasi berbanding Guan Eng yang memanjang asyik berpolitik,” katanya.

Sebenarnya bukan Mohd. Zaidi seorang sahaja berasa janggal dengan cemuhan Guan Eng, di kawasan Parlimen Lembah Pantai pun begitu juga. Yang buat banyak kerja untuk rakyat kelihatannya ketua UMNO bahagian di situ, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Pernah berlaku kebakaran di Lembah Pantai, habis dispinnya penyokong si polan kononnya wakil rakyat terbabit ada di situ sibuk membantu mangsa. Walhal, dia berada di tempat lain. Yang bertungkus lumus adalah orang Raja Nong Chik.

Yang tidak sedapnya, spin sebegitu hingga ke tahap menabur fitnah pula dengan mengatur sidang akhbar berhubung pembelian tanah membabitkan Raja Nong Chik. Itu dilakukan Nurul Izzah Anwar sehari sebelum pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei.

Setahun tiga bulan kemudian, Nurul Izzah mengemukakan kenyataan maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Ogos 2014 dengan me­nyuarakan kekesalan mengeluar­kan kenyataan itu dan berjanji untuk tidak akan mengulanginya.

Tetapi malangnya pada hari menjelang PRU-13 itu imej Raja Nong Chik sudah tercemar. Akibatnya tahu-tahu sahajalah.

Tumpang lalu difahamkan, Nu­rul Izzah mahu berpindah ke Permatang Pauh menggantikan ibunya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, betulkah? Opps, sudah minta maafkah anak sulung Anwar Ibrahim ini dengan kira-kira 30 keluarga di Kampung Kerinchi yang terlepas mendiami rumah berharga hampir setengah juta ringgit gara-gara terpengaruh dengan dakyahnya?

Ya, bukan semua wakil rakyat dari Pakatan Harapan tidak boleh diharapkan. Mana yang bagus, harus dipuji. Misalnya, ADUN Su­bang Jaya, Hannah Yeoh. Selama dua penggal berkhidmat ke­pada hampir setengah juta penduduk Subang Jaya, banyak khabar yang molek-molek singgah di telinga Tumpang lalu tentang Hannah. Sampaikan paip pecah pada pukul 4 pagi pun, dia sudah terpacul di tempat kejadian sibuk menghubungi pihak berkuasa.

Di Parlimen Bukit Katil, de­ngarnya pengundi di situ mahu kembalikan undi mereka kepada calon yang tewas pada 2013, Tan Sri Mohd. Ali Rustam. Ini kerana mereka berasa dibohongi, me­ngapa?

Jangan bagi muka kepada wakil rakyat bermusim yang sekadar berperwatakan ’halimunan’ pada tahun pertama, kedua, ketiga dan keempat. Tetapi tiba-tiba muncul di kawasan pada tahun kelima.

Dilirik ialah padi
Diendang anak desa
Yang baik ialah budi
Dikenang ialah jasa.