Memandangkan isu ekonomi adalah antara isu yang memberi kesan terhadap rakyat, pastinya rakyat ternanti-nanti akan pengu- muman dasar dan polisi yang membantu ekonomi mereka.

Antara aspek yang paling utama mengenai isu ekonomi, sudah tentulah berkait dengan isu kos sara hidup. Tiada siapa dapat menafikan kos sara hidup pada masa kini cukup tinggi. Misalnya, dua hari lalu, penulis memesan minuman di gerai makanan di Jitra yang mana beberapa tahun lalu harganya dalam lingkungan RM1.80-RM2.00 segelas, namun telah meningkat kepada RM3.00 segelas.

Penulis tidak dapat bayangkan berapa harganya di bandar-bandar besar. Sudah tentulah lebih mahal lagi. Itu baharu contoh minuman, belum lagi menyentuh harga makanan dan produk-produk yang selalu dibeli oleh rakyat. Jadi, dalam hal ini, rakyat berharap kos sara hidup ini dikawal supaya kesannya tidak membarah.

Kos sara hidup ini termasuklah dalam hal kos pendidikan anak-anak dan tidak kurang juga kos pemilikan rumah pertama. Pemilikan rumah pertama ini melibatkan generasi baharu dan muda. Mereka berumur 20-an yang baharu sahaja tamat belajar atau berkahwin memerlukan rumah. Dengan kenaikan harga rumah yang cukup tinggi, sudah tentulah akan membebankan mereka.

Isu ini perlu ditangani secara holistik agar generasi muda dapat menjalani kehidupan yang lebih baik. Tidak hanya melibatkan isu perumahan, satu lagi isu ekonomi yang dekat dengan rakyat tidak lain tidak bukan isu pendapatan rakyat Malaysia.

Bayangkan dengan peningkatan pendapatan yang tidak begitu tinggi pastinya tidak dapat mengatasi kesan kenaikan kos sara hidup. Maka, sudah tentulah ini amat membebankan rakyat. Perlu ada mekanisme untuk mengurangkan jurang gaji antara golongan bawahan dan atasan.

Sejauh manakah rakyat yang bekerja dapat menikmati gaji yang setimpal dengan kehidupan pada masa kini. Meskipun wajar penetapan gaji perlu berdasarkan kelayakan dan pengalaman, namun jurang yang besar dalam kalangan golongan bawahan dan atasan boleh menyebabkan ketidakseimbangan dalam aspek kesaksamaan pendapatan antara rakyat Malaysia.

Ini bukan bermaksud perlu menyamaratakan pendapatan tetapi bagaimana untuk melihat secara menyeluruh gaji rakyat Malaysia agar setimpal dengan kehidupan mereka pada masa kini.

Berhemah

Tidak hanya isu ekonomi yang dekat dengan rakyat. Isu melibatkan perdagangan ekonomi negara cukup penting buat rakyat Malaysia. Kerajaan baharu yang kini memilih bersikap neutral dalam perdagangan antarabangsa perlu menarik sebanyak mungkin perdagangan agar ekonomi negara bergerak lebih pantas lagi.

Tidak kiralah ideologi atau fahaman negara-negara tersebut, sebarang dasar dan polisi ekonomi negara yang berkesan dan cekap akan merancakkan perdagangan negara, seterusnya bakal meningkatkan lagi prospek ekonomi negara.

Adakah akan ada pengenalan struktur fiskal baharu yang boleh membantu kewangan kerajaan atau melalui hasil-hasil baharu yang akan diusahakan untuk meningkatkan pendapatan kerajaan? Rakyat menanti akan usaha ke arah tersebut.

Isu perbelanjaan secara berhemah juga perlu dilihat secara menyeluruh agar tiada berlaku sebarang pembaziran dan ketirisan. Ini termaksuklah dalam hal melibatkan projek-projek mega berimpak tinggi yang mungkin akan diperkenalkan oleh kerajaan.

Dengan ini akan memberi kesan terhadap ekonomi negara di samping melihat semula akan keperluan mengenai projek-projek mega yang diperkenalkan oleh kerajaan terdahulu. Kajian perlu dibuat secara menyeluruh agar sebarang keputusan bakal memberi kesan positif terhadap rakyat.

Malaysia tetap memerlukan projek-projek baharu yang bukan setakat menguntungkan negara tetapi juga yang paling penting memberi manfaat kepada rakyat.

Di samping itu, rakyat juga melihat usaha kerajaan melibatkan isu subsidi dan juga tol. Kedua-dua ini amat dekat dengan rakyat. Namun begitu, kedua-dua isu ini juga boleh memberi kesan terhadap pendapatan kerajaan. Dengan itu, sebarang pengurangan pendapatan terhadap penghapusan tol atau menstrukturkan semula subsidi perlu dilihat secara menyeluruh termasuklah kesannya terhadap kewangan kerajaan selain daripada meringankan beban rakyat.

Tidak kurang juga bagaimana kerajaan berusaha untuk menjana pekerjaan buat rakyat Malaysia terutamanya bagi generasi muda. Dengan jumlah graduan yang tamat belajar saban tahun semakin ramai, maka semakin banyak peluang pekerjaan perlu dijana untuk mereka. Di sini, gaji yang setimpal melibatkan peluang pekerjaan yang baharu buat generasi muda perlu ditekankan dalam hala tuju ekonomi kerajaan.

Melaksanakan jaringan keselamatan berkesan buat rakyat Malaysia dalam hal ekonomi juga cukup penting. Misalnya meneruskan dasar bantuan kewangan kepada rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah.

Hal ini cukup penting kerana sebarang bantuan sama ada berbentuk kewangan atau bukan kewangan boleh meringankan bebanan golongan berpendapatan rendah. Namun begitu, golongan berpendapatan rendah juga perlu dibantu agar mereka berdikari dalam menjana pendapatan yang lebih baik pada masa akan datang.

Hala tuju seterusnya yang tidak kurang pentingnya melibatkan sektor korporat. Di sini, amat penting untuk kerajaan melaksanakan dasar yang boleh menjadi pemangkin kepada sektor korporat dalam merancakkan ekonomi negara. Malah, sektor manakah yang akan menjadi tumpuan adalah cukup penting untuk dilaksanakan dengan melibatkan asas ekonomi negara pada masa kini.

Di samping itu, sebarang pengenalan dasar dan polisi bukan setakat perlu dilihat dalam ruang lingkup ekonomi domestik tetapi juga ekonomi global. Hal ini cukup penting dalam mengukuhkan pasaran modal dan kewangan negara selain daripada mengukuhkan kedudukan mata wang Ringgit Malaysia (RM) berbanding mata wang negara-negara utama di dunia.

Inilah antara perkara-perkara yang perlu diteliti oleh kerajaan untuk memacu hala tuju ekonomi Malaysia pasca PRU-14.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia.