Majoriti ulama berpandangan bahawa mengadakan pertuna­ngan itu sekadar harus hukum­nya. Walau bagaimanapun, Mazhab Shafie mempunyai pandangan bahawa bertunang itu hukumnya sunat.

Antara rasionalnya adalah, membina hubungan pertunangan bererti membina fasa eksklusif antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang mempunyai perancangan untuk hidup bersama sehingga akhir hayat. Suasana eksklusif perlu dibina supaya bakal pengantin dapat memberi tumpuan kepada perhubu­ngan mereka tanpa ada sebarang gangguan daripada pihak-pihak yang tidak berkaitan.

Sehubungan itu, syariah meng­hukumkan haram untuk mana-ma­na lelaki melamar seorang ­pe­-
rempuan yang sudah pun dilamar oleh seorang lelaki tertentu, atau secara ringkasnya seorang perem­puan yang sudah menjadi tuna­ngan orang. Kecuali lelaki berkenaan yang mahu melamar perempuan terbabit mendapat izin daripada tunangannya, ataupun pertunangan tersebut diputuskan.

Serentak dengan perkara ini juga, disunatkan pula untuk ­me­rahsiakan hubungan pertuna­ngan daripada orang lain atau orang ramai. Hal pertunangan le­bih baik dirahsiakan bagi mengelakkan berlakunya perasaan-pe­ra-
saan yang tidak diingini sekiranya perhubungan yang terjalin hanya menemui kegagalan.

Walau apa pun punca kegagalan perhubungan berkenaan, nama baik setiap individu dan ahli keluarga serta kerabat dapat di­lindungi. Hanya kalangan mereka yang terdekat sahaja yang mengetahui pasangan berkenaan pernah menjalinkan hubungan pertuna­ngan tetapi gagal. Keadaan ini juga dapat mengelakkan timbulnya pandangan kurang baik daripada masyarakat awam.

Ironinya, perkara ini keliha­tan berbeza dengan amalan masyarakat kita yang lebih teruja untuk menghebahkan majlis pertunangan. Malah sesetengahnya berasa bangga dengan status menjadi tunangan orang. Sedangkan keadaan itu hakikatnya sudah agak lari dengan konsep pertuna­ngan yang dianjurkan oleh agama.

Tujuan pertunangan sebenar­nya untuk memberikan masa kepada kedua-dua belah pihak, iaitu bakal pengantin untuk saling mengenali. Kedua-dua mereka tentunya dapat mengukur sejauh mana mereka saling dapat ­menerima diri masing-masing. Walaupun tempoh masa bertunang akan digunakan untuk membuat berbagai-bagai persediaan sebelum mendirikan perkahwinan, tetapi persediaan dari aspek mental dan emosi juga adalah suatu keperluan bagi individu yang sedang mengorak langkah ke gerbang alam rumah tangga.

Bukan hanya pihak lelaki sahaja yang berhak untuk mendapat calon isteri terbaik, bakal pengantin perempuan juga mempunyai ruang untuk merumuskan sama ada calon suaminya itu mempunyai potensi menjadi pemimpin dan pembimbing kepada mereka yang berada di bawah naungannya nanti.

Jika tempoh ‘darah manis’ ini tidak dapat diharungi dengan baik, sehingga salah satu pihak nekad untuk memutuskan pertunangan tanpa alasan yang munasabah, terdapat justifikasi dan implikasi tertentu yang diberikan oleh ulama.

Menurut Mazhab Maliki, jika pembatalan tanpa alasan munasabah dibuat oleh pihak perem­puan, maka semua pemberian yang diberi oleh pihak lelaki hendaklah dipulangkan semula. Sementara pembatalan yang dibuat oleh pihak lelaki mengakibatkan semua pemberiannya menjadi hak mutlak kepada pihak perempuan.

Dalam hal ini, Mazhab Shafie dan Hanbali mempunyai panda­ngan sama dengan Mazhab Maliki apabila pembatalan dibuat oleh pihak lelaki, iaitu semua hadiah dan pemberian menjadi milik perempuan secara sempurna.

Sehubungan ini juga, Mazhab Maliki memberi penekanan supaya adat dan amalan masyarakat setempat diberi keutamaan dalam menentukan penyelesaian antara pihak-pihak yang terlibat.

Sekiranya persiapan perkahwinan sudah pun dibuat, seperti telah mengedarkan kad undangan, membayar deposit khemah kenduri, membaiki bahagian-bahagian tertentu rumah dengan tujuan kelancaran majlis perkahwinan yang sudah dirancang, tetapi salah satu pihak tiba-tiba membuat keputusan untuk menarik diri tanpa sebarang alasan kukuh, maka ia perlu membayar ganti rugi mengikut jumlah yang dibelanjakan oleh pihak satu lagi.

Ini selaras dengan pendapat Mazhab Maliki yang mengatakan bahawa, pihak yang membatalkan pertunangan perlu membayar ganti rugi berdasarkan prinsip tanggungjawab sekiranya pihak yang dijanjikan telah menunaikan keperluan-keperluan yang sepatutnya.

Sebaliknya, alasan yang munasabah untuk membatalkan perhubungan ialah perkara-perkara yang memberi kesan kepada kepentingan agama dalam perkahwinan sama ada secara langsung atau tidak langsung. Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah berkata: “Setiap keaiban (sama ada aspek fizikal, mental atau akhlak) yang boleh menjauhkan pasangan antara satu sama lain, atau keaiban tersebut boleh menghalang perkahwinan dari mencapai tujuannya yang sebenar iaitu mendapat rahmat dan kasih sayang, ia layak diberikan khiyar (hak untuk membatalkan akad), malah akad perkahwinan lebih aula berbanding akad jual beli”.

Sebagai rumusan, walaupun pertunangan itu bukan sesuatu yang mencapai tahap wajib, tetapi ia satu medium yang amat bermanfaat kepada pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga.

Dalam hal merahsiakan status pertunangan itu sebagai sesuatu yang sunat hukumnya, maka sewajarnya umat Islam menerima ini sebagai satu perkara yang serius dan tidak meremehkannya.

Garis panduan yang disusun kemas oleh para ulama atas penge­tahuan mereka yang amat mendalam dalam bidang munakahat, tentunya menyimpan pelbagai hikmah yang tidak terjangkau oleh golongan marhaen.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Syariah,
Undang-undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).