Namun, satu-satunya tempat yang boleh saya bertoleransi dengan kesesakan ialah di dalam stadium.

Kalau sesak di jalan raya, habislah minyak. Sesak di pejabat imigresen, habislah bayar parking. Sesak di klinik, habislah dengar bayi meraung. Tetapi yang tak habis-habis ialah gelagat manusia yang seronok diperhatikan dan diperdebatkan atau ditular, kalau ada video.

Tanyalah sesiapa sahaja pencatat hal-ehwal kemanusiaan, duduk berseorangan di dalam bilik, maknanya mencedok dari internet sahajalah untuk bahan artikel.

Jadi kebetulan seminggu lepas, hampir saban hari saya kena bertugas di luar, bertemu sahabat dari Johor yang berasal dari Kuching, berbincang dengan peneraju syarikat mengenai kemungkinan projek bersama pada 2019, berkenalan dengan wakil pelabur China yang diharap sudi mengiklan di dalam akhbar ini dan makan rojak sotong dengan rakan dari jabatan pemasaran, berdiskusi selepas solat Jumaat hal-hal pasca-VSS.

Dalam pertemuan-pertemuan itu, saya catat apa yang terlihat, terdengar dan juga cerita merapu atau lawak yang saya simpan dalam kotak memori.

Berikut adalah catatan Merrepak tanpa mengikut susunan nombor atau kepentingan:

1. Iklan Trivago di televisyen yang menyatakan anda tidak perlu susah-susah melayari internet mencari tawaran istimewa hotel boleh dikategorikan lawak. Ini kerana Trivago dengan Expedia.com, Hotels.com, Hotwire.com, Trivago, Travelocity dan Orbitz kesemuanya dimiliki oleh syarikat yang sama, Expedia Inc.

2 Seorang datuk menempelak cucunya sebagai terlalu bergantung kepada teknologi. Merujuk kepada internet, telefon pintar dan Grab. Cucu pula membalas balik: “Atuk pun bergantung kepada teknologi!” Merujuk kepada mesin sokongan hayat yang disambung ke badannya.

3Wahai milenials, Sungai Amazon di Brazil tidak dinamakan bersempena sebuah laman web.

4Anda bekerja seperti biasa di meja anda sehinggalah anda meminta cuti separuh hari, menjadikan anda pekerja ‘contoh’ selama 6 bulan. Contoh yang diberi kepada semua pekerja semasa town hall dan pengambilan pekerja baru.

5Suami isteri yang ideal ialah pasangan yang merancang pelbagai aktiviti hujung minggu bagi melepaskan penat lima hari bekerja, dan akhirnya memutuskan lena di sofa sebagai pilihan terbaik.

6Nama pada makanan di dalam peti sejuk pantri pejabat merujuk kepada pemiliknya. Bukan nama makanan. Ali, sila ganti balik kuih Seri Muka. Kuih itu milik Cik Seri dari Jabatan Gaji.

7CEO yang cekap ialah seorang yang berani menyatakan penghargaan kepada pegawainya bahawa syarikat mengiktiraf dan menghargai sumbangan perkhidmatannya, mengatasi segala-galanya termasuk dari segi wang ringgit. Terjemahan: terima kasih, tapi tiada kenaikan gaji.

8Maafkan saya lewat sampai. Saya terpaksa buat semua kerja mencari dan mendapatkan benda di rumah yang suami saya tidak dapat jumpai depan mata dia seperti stoking, pinggan, sudu, air sirap dan kunci rumah.

9Erti kerukunan perkahwinan hari ini ialah apabila isteri memuat turun gambar di dalam Instagram, suaminya hendaklah pertama komen dan Like. Kegagalan berbuat demikian melayakkan suami anda kena cerca dalam WhatsApp.

10Anda patut insaf diri sudah tua bila anda tidak lagi merujuk lutut sebagai lutut kiri atau kanan, tetapi menamakannya mengikut klasifikasi ‘lemah’, ‘bisa’ dan ‘lenguh’.

11Kalau lampu isyarat warna merah, berhentilah di simpang. Kalau rambut dah putih, takkan tak faham-faham.

12Seorang mangsa kemalangan terjaga daripada koma: “Doktor, ada masalah. Saya tidak dapat rasa apa-apa pada kaki saya!” Doktor menjawab, “ya, kami terpaksa memotong kedua-dua tangan awak.”

13Bila ke tandas, saya tidak kata “saya ke jamban” tetapi “saya ke jim.” Orang ingat saya hendak bina badan, bukan buang sisa pepejal.

14 Apa pasal setiap kali kursus jenazah, saya saja kena jadi model jenazah?

15Seorang lelaki bertanya kepada pustakawan untuk meminjam buku mengenai cara membunuh diri. Dengan tegas pustakawan menyergahnya. “Tak boleh pinjam. Nanti kamu tak pulang-pulangkan buku.”

16Anda meminta pindah kerusi di dalam pesawat atas alasan tidak tahan mendengar bayi menangis. Namun, tidak dibenarkan oleh pramugari atas faktor bayi tersebut adalah anak anda sendiri.